Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas terap aura positif, tenangkan hati pesakit Covid-19 sambut Aidiladha

SERDANG, 20 JULAI: Biarpun tidak dapat berhari raya di sisi keluarga, petugas barisan hadapan masih cekal menjalankan tanggungjawab sambil menerapkan aura positif dalam kalangan pesakit Covid-19 di pagi Hari Raya Aidiladha.

Itulah usaha terbaik yang boleh dilakukan oleh petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang bagi memenangkan hati pesakit yang berjauhan daripada keluarga.

Penyelia Penolong Pegawai Perubatan Dewan DG, PKRC MAEPS 2.0, Engku Mohd Nazri Engku Mansor berkata perasaan sedih mula bermain di fikiran pesakit apabila menjelang Hari Raya Aidiladha dan bertambah pilu ketika takbir raya.

“Memang amat sedih apabila berjauhan dan tidak berada di sisi keluarga ketika sambutan raya. Oleh itu, kita menyediakan juadah kepada pesakit supaya kerinduan untuk berkumpul bersama itu sedikit sebanyak dapat diubati dan sambutan itu dapat dirasai,” katanya kepada Bernama ketika tinjauan di PKRC MAEPS 2.0, di sini hari ini.

Engku Mohd Nazri berkata sebagai bekas pesakit Covid-19, beliau amat memahami perasaan murung serta kecelaruan fikiran dihadapi pesakit namun mereka boleh mendapatkan khidmat kaunseling yang disediakan Kementerian Kesihatan bagi menyelami hati pesakit untuk berkongsi perasaan.

“Pesakit yang dihantar ke pusat kuarantin ini bingung di peringkat awal dan bertukar sedih dan risau selepas beberapa hari. Kita perlu pandai membaca emosi dan riak wajah sedih pesakit supaya tekanan emosi mereka ditangani serta mengubah suasana sedih itu kepada gembira,” katanya.

Beliau menasihati pesakit Covid-19 agar tidak sesekali lemah dan tunduk kepada virus Covid-19.

“Semangat kita kena kuat untuk melawan virus ini. Jika minda kita lemah, virus ini akan menekan dan sel badan akan berubah. Pendekatan saya ketika dijangkiti walaupun sedih pada mulanya tetapi saya bangkit semula hasil daripada perkongsian dengan pesakit yang pernah dirawat di pusat kuarantin sebelum ini,” katanya.

Engku Mohd Nazri berkata pesakit Covid-19 tidak harus mengalah dan duduk diam malah perlu meneruskan aktiviti harian kerana kehidupan yang sihat akan dapat menangani kesan itu.

Ditanya persediaan mental dan fizikal petugas kesihatan dengan kes yang masih tinggi, beliau berkata anak buah di bawah seliaannya selalu diingatkan supaya perjuangan itu harus diteruskan kerana itu adalah tanggungjawab.

“Teruskanlah usaha…itulah peringatan kepada anak buah saya. Kita tidak boleh terduduk walaupun kes masih meningkat kerana ia adalah cabaran yang perlu diterima,” katanya dan menambah bahawa perasaan positif itu harus disulami aura positif.

Tinjauan Bernama pagi tadi di Dewan G MAEPS, mendapati kira-kira 50 pesakit Covid-19 menunaikan solat sunat Aidiladha seawal 8 pagi.

Di dewan yang menempatkan petugas barisan hadapan pula, alunan takbir raya berkumandang dan bacaan doa dipimpin KOR Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Pbt Mohamad Faris Zaini disertai kira-kira 1,300 petugas.

Walaupun tidak meriah dan tidak kelihatan petugas berbaju Raya, petugas diberi juadah rendang, nasi impit dan kuah kacang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bimbang rebakan kes, Sultan titah rai Aidiladha secara sederhana

SHAH ALAM, 13 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana di kediaman masing-masing dan tidak merentas daerah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah langkah itu bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 terus merebak seperti ketika Hari Raya Aidilfitri selain kes sporadik yang semakin tinggi.

“Baginda meminta rakyat berkorban kerana wabak ini masih meruncing, malah jangkitan baharu di Selangor melebihi 4,000 kes sehari selain jumlah kematian mencecah 2,063 orang,” menurut kenyataan Facebook Selangor Royal Office.

Kebimbangan itu dizahirkan baginda ketika menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu Prof Madya Dr Miszati Sitiris di Istana Bukit Kayangan, dekat sini hari ini.

Sultan Selangor turut menggesa jumlah vaksin untuk rakyat negeri ini ditambah supaya pemberiannya selari dengan nisbah populasi penduduk serta kadar jangkitan wabak.

“Memandangkan terdapat banyak kilang dan perindustrian di negeri ini, baginda menitahkan supaya pekerja kilang diberikan vaksin segera sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan dan mencapai imuniti kelompok,” menurut kenyataan itu.

Pada 8 Jun, Sultan Selangor berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini.

Baginda terkejut apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta seperti dakwaan sebelum ini.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB puas hati pematuhan SOP ibadah korban

GOMBAK, 31 JULAI: Dato’ Menteri Besar berpuas hati terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) penyembelihan lembu korban di masjid sekitar parlimen Gombak hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aktiviti sempena sambutan Aidiladha berjalan sempurna dalam suasana norma baharu mengikut garis panduan ditetapkan.

“Operasi penyembelihan berjalan lancar. Bagaimanapun ada penduduk yang datang ke kawasan penyembelihan kurang mematuhi SOP mungkin disebabkan teruja,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program korban di Kampung Sungai Chinchin dekat sini, hari ini.

Program turut disertai isteri beliau, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Sementara itu Amirudin berkata 30 ekor lembu disumbangkan kepada beberapa kampung, masjid dan surau parlimen itu semalam.

“Ini rutin tahunan namun jumlah (sumbangan) kali ini kurang berbanding tahun-tahun sebelum ini atas faktor masa serta pelaksanaan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan SOP sambutan Aidiladha mengehadkan jumlah haiwan tidak lebih 10 ekor di tempat penyembelihan dan kehadiran sewaktu ibadah korban mengikut nisbah 20 orang untuk setiap haiwan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan seru rakyat sambut Aidiladha ikut garis panduan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyeru umat Islam di negeri ini supaya mematuhi garis panduan ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ketika meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Baginda berdua bertitah rakyat juga seharusnya meraikan perayaan itu secara sederhana serta masih perlu berwaspada bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Umat Islam turut diseru menjalankan ibadah korban kali ini dengan tertib dan berhemah sebagaimana yang digariskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

“Semoga dengan tertunainya ibadah korban dan hikmah memperingati Aidiladha, umat Islam terutamanya dapat menjadi contoh terbaik kepada setiap umat manusia,” titah baginda berdua dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office semalam.

Baginda berdua juga sentiasa mendoakan seluruh rakyat dijauhi daripada malapetaka dan bencana, selain berdoa semoga wabak Covid-19 dapat dihapuskan.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negeri ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ibrah korban, patuh SOP elak jangkitan Covid-19

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Sambut Hari Raya Aidiladha dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), antaranya memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial.

Inilah antara semangat pengorbanan yang perlu ditunjukkan oleh masyarakat Islam negara ini dalam meraikan Hari Raya Haji yang juga dikenali sebagai Hari Raya Qurban esok, 31 Julai bersamaan 10 Zulhijjah.

Meskipun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang Isnin lalu mengumumkan tidak ada sekatan untuk “Balik Kampung”, namun buatlah keputusan bijak dan pastikan SOP dipatuhi untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 yang masih belum dapat diputuskan rantaian penularannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang media mengenai perkembangan Covid-19 semalam (27 Julai), Malaysia akan menghadapi gelombang ketiga wabak sekiranya orang ramai gagal mematuhi SOP.

Justeru, dalam kegembiraan berkumpul dengan ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai, pastikan kita semua mengamalkan SOP yang sudah banyak kali diulang oleh Dr Noor Hisham.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang semalam berkata meskipun kerajaan memberi kelonggaran untuk perayaan Aidiladha, orang ramai masih tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

Antaranya, bagi jamuan di rumah, bilangan tetamu dihadkan maksimum 20 orang. Individu yang dikuarantin dilarang keluar dari kediaman masing-masing.

Untuk ibadah qurban pula, jumlah haiwan qurban tidak melebihi 10 ekor bagi masjid dan surau sementara jumlah petugas dihadkan 20 orang untuk setiap ekor haiwan qurban.

Ibadah qurban boleh dilakukan selama hanya empat hari iaitu pada hari Raya pertama selepas solat Aidiladha dan tiga hari tasyrik.

Sejarah korban

Sudah tentunya bukan semua termasuk yang bertugas di pejabat dapat “Balik Kampung” untuk meraikan Hari Raya Qurban, sama-sama menunaikan solat hari raya sehinggalah kepada meraikan tetamu di rumah atau berkunjung ke rumah jiran, saudara-mara dan rakan taulan.

Inilah masanya untuk mereka yang diperlukan bertugas benar-benar menghayati hikmah Hari Raya Qurban itu sendiri yang jelasnya bukan semata-mata merujuk kepada ibadah Qurban.

“Qurban” turut melibatkan amalan harian umat Islam, amalan bekerja termasuk di pejabat, mematuhi prosedur tugas serta etika perkhidmatan termasuk penjawat awam.

Galilah kembali kisah sejarah ibadah korban untuk kita mengambil iktibar, daripada ibadah yang disifatkan amat mulia di sisi Allah S.W.T. Bagaimana taatnya Nabi Ibrahim A.S yang menuruti perintah Allah S.W.T untuk menyembelih putera kesayangannya, Ismail, yang dengan kuasa Allah S.W.T. kemudiannya digantikan dengan seekor kibas.

Dalil ayat Quran yang merujuk kepada peristiwa qurban Nabi Ibrahim iaitu Firman Allah S.W.T dalam surah As-Shaffat:102 yang bermaksud, “Ibrahim berkata, ‘Hai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”

Firman Allah S.W.T berikutnya menyebut Ismail berkata, “Hai bapakku! Kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. (surah al-Soffat ayat 102).

Di dalam surah al-Soffat ayat 107 pula, Allah S.W.T berfirman, maksudnya : “Dan Kami tebus anaknya itu (Ismail) dengan seekor binatang sembelihan (kibash) yang besar”.

Urutan sejarah menunjukkan ibadah korban disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah dan haiwan yang disembelih sama ada unta, lembu atau kambing dengan niat beribadah kepada Yang Maha Kuasa. Ia juga untuk memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W

Kalau diikutkan, peristiwa korban telah wujud pada zaman Nabi Adam di mana Allah S.W.T memerintah kedua-dua putera baginda iaitu Habil dan Qabil membuat persembahan korban. Allah S.W.T menerima qurban Habil dan menolak qurban Qabil.

10 hari pertama Zulhijjah

Jika beribadah pada 10 hari terakhir dikatakan kelebihan bulan Ramadan, bagi bulan Zulhijjah, 10 hari terawal dianjurkan umat Islam membanyakkan ibadah sunat termasuk berpuasa sehingga 9 Zulhijjah yang dikenali sebagai Hari Arafah.

Mengulas kelebihan perkara ini, Dr Mohd Shahid Mohd Noh, pensyarah kanan, Akademi Pengajian Islam, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Universiti Malaya memberitahu Bernama, mereka yang benar-benar menghayati 10 hari pertama Zulhijjah akan mendapat ganjaran pahala besar daripada Allah S.W.T.

Beliau merujuk kepada sabda Nabi Muhammad S.A.W : “Tidak ada satu hari pun yang amalan soleh pada hari itu lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini (10 hari pertama Zulhijjah).” – Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).

Justeru, Dr Shahid mengesyorkan mereka yang perlu bekerja pada bulan Zulhijjah untuk menunaikan ibadah puasa terutama untuk 10 hari pertama tetapi ia mestilah bergantung kepada kemampuan mereka.

“Bukan semua mampu berpuasa penuh 10 hari dan mungkin juga ada yang berpuasa sekiranya rakan mereka berpuasa juga.

“Rebutlah juga pahala berpuasa pada hari ke-9 Zulhijjah yang juga dipanggi Puasa Hari Arafah. Kemudian sama-sama berbuka puasa, menjadikan suasana di pejabat lebih meriah, ” katanya.

Korban dan etika kerja

Bercakap tentang ibrah yang boleh diperolehi daripada ibadah Qurban dan bagaimana ia boleh memperbaiki etika kerja seseorang, Dr Shahid menjawab dengan memberi tiga perkara utama.

Pertama, ‘istiqomah’ yakni ketaatan menjalankan sesuatu suruhan terhadap amalan penggajian. Para pekerja dinasihatkan agar kekal teguh dengan sikap mereka ketika menjalankan tugas.

“Nabi Ibrahim tetap teguh menuruti perintah Allah S.W.T untuk menyembelih puteranya sendiri.

“Untuk itu, pekerja perlu teladani kisah ini dengan konsisten dalam setiap amalan pekerjaan mereka di pejabat. Diharapkan sikap demikian akan menjadikan pekerja lebih cekap, ” jelasnya.

Kedua, pekerja perlu menghargai dan mencontohi semangat Nabi Ibrahim dan puteranya, Ismail yang patuh kepada perintah Allah S.W.T. Sikap sedemikian mampu meningkatkan etika kerja dengan mematuhi arahan majikan.

“Bagaimanapun, dalam mematuhi arahan majikan, ia mestilah tidak bercanggah dengan hukum Allah S.W.T. Sekiranya majikan memberitahu anda untuk melakukan sesuatu yang tidak betul, tentunya akan timbul konflik. Ini perlu dibawa berbincang,“ jelasnya.

Perkara terakhir ialah bagaimana ibadah Qurban boleh memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan pekerja.

“Dalam sebuah organisasi, sama ada anda mahu berusaha meningkatkan prestasi atau diberhentikan. Organisasi juga boleh hancur jika tidak ada kerjasama kukuh antara setiap pekerja.

“Kita lihat Nabi Ibrahim dan Ismail ketika hendaku berlaku penyembelihan. Katakan jika ada seorang yang tidak akur dengan perintah Allah S.W.T, tidak adalah ibadah Korban untuk orang Islam, “katanya.

Oleh yang demikian, bersempena dengan Hari Raya Aidiladha, marilah kita menghargai ibadah Qurban dan mengambil iktibar daripadanya.

Untuk menjadi pekerja yang disegani, kita perlu terus menyemai semangat memberikan yang terbaik untuk organisasi di mana kita bekerja dan turut sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Jemaah haji melakukan tawaf ketibaan mengikut pematuhan ketat susulan penularan Covid-19. Foto BERNAMA

Bulan Zulhijjah bulan haji

Bulan Zulhijjah yang juga bulan terakhir dalam takwim Hijrah sinonim dengan ibadah haji, iaitu Rukun Islam kelima.

Kali ini sudah tentunya ramai yang berasa hiba kerana sudah dapat giliran untuk menunaikan ibadah haji tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana pandemik Covid-19 yang turut melanda Arab Saudi.

Akibatnya, kerajaan Arab Saudi mengehadkan hanya 1,000 orang dibenarkan menunaikan ibadah haji pada musim haji 2020, berbanding berbanding 2.5 juta jemaah yang menunaikan ibadat haji pada tahun 2019.

Menurut Kerajaan Arab Saudi, ibadat haji tahun ini dibuka kepada jemaah pelbagai warganegara yang sudah berada di negara berkenaan.

Menurut laporan, lapan orang rakyat Malaysia dibei peluang untuk menunaikan ibadah haji pada musim haji tahun ini. Mereka adalah pelajar dan pekerja yang tinggal di Jeddah, Madinah dan Riyadh.

Ibadah haji tahun ini dilaporkan hanya terhad kepada jemaah berumur bawah 65 tahun dan tiada menghidap sebarang penyakit kronik. Mereka akan melalui ujian saringan Covid-19 sebelum tiba di Tanah Suci Makkah dan dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selepas menunaikan ibadat haji.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dekati erti ‘korban’ perantau

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut kedatangan Zulhijjah, iaitu Hari Raya Aidiladha atau cukup sinonim dengan Ibadat Haji dan Korban.

Bagi perantau di ibu kota, ini saat dinanti mereka yang mengimpikan untuk menyambutnya di kampung halaman bersama keluarga dan saudara mara.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir warga kota terpaksa meraikan kegembiraan itu di perantauan kerana terikat dengan tugas dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.

Tinjauan SelangorKini di Masjid Negara termasuk beberapa tempat sekitarnya mendapati, rata-rata masyarakat Islam menyambutnya dalam kesederhaan bagi menghayati dan memperingati pengorbanan yang dituntut dalam ajaran Islam.

Bagi Nur Afifi Mohamed Taib, 41, beliau berkata, Aidiladha memberi makna cukup mendalam kepada dirinya, termasuk semua insan yang meraikannya.

“Bagi saya pengorbanan itu mempunyai pengertian yang amat meluas dan besar, bukan sekadar yang ‘Muhkamat’ (jelas), tetapi perlu memahami serta mencari makna yang ‘Mutasyabihat’ (tersirat)

“Mengambil skop hari raya korban sempena Aidiladha, pengorbanan itu adalah sesuatu yang perlu diterap dalam diri seseorang individu kerana ia menjadi titik tolak ke arah mengubah diri menjadi muslim berguna dan berjaya pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, anak jati kelahiran Johor, Mohd Herin Mansor, 38, berkata, perayaan Aidiladha tahun ini disambut dengan lebih aman dan bersederhana tetapi dilengkapi rasa syukur serta semangat pengorbanan.

“Ini kali pertama saya menyambut Aidiladha di Kuala Lumpur bersama keluarga memandangkan ibu dan mertua berada di tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadat haji.

“Walaupun hati tetap terusik, namun ketiadaan ibu tercinta di samping pada pagi raya juga dianggap sebagai pengorbanan, iaitu dengan menggalas tanggungjawab diamanahkan sebagai anak sulung dan bapa untuk menjaga keselamatan keluarga,” katanya.

Categories
SELANGOR

Aidiladha Dun Batu Tiga disambut meriah

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 SEP: Sebanyak 20 ekor lembu korban diperuntukkan bagi Dun Batu Tiga sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini.

Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail, berkata ibadah korban menjadi acara tahunan di kawasannya sejak beberapa tahun lalu.

rodziah interview pink 01“Tahun ini, kita memilih Persatuan Penduduk Pengkalan Damai, Seksyen 19 kerana mereka merupakan persatuan yang aktif.

“Kita kumpulkan penama-penama yang ingin sertai dan kita buat di kawasan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikiam kepada pemberita di Majlis Korban Perdana, di sini hari ini.

Majlis yang bermula pada jam 8 pagi itu disertai kira-kira 100 orang penduduk

Selain memasak bersama, aktiviti gotong-royong mencegah denggi juga diadakan.

“Semangat perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat tergambar ketika ibadah ini dijalankan.

“Walaupun ekonomi merosot tapi semangat melakukan ibadah korban masih kekal,” katanya.

Secara keseluruhan, Shah Alam adalah kawasan paling tinggi menerima lembu korban iaitu sebanyak 40 ekor dan 20 ekor daripadanya diagihkan di Dun Batu Tiga.

-NR-

Perbezaan Sambutan Aidil Adha di Malaysia dan Mekah – Salam Selangor


 

Episod 22

Sinopsis : Aidil Adha adalah lebih besar berbanding Aidilfitri kerana takbir untuk hari raya Aidil Adha adalah selama 3 hari berbanding Aidilfitri hanya sehari. Aidil Adha melibatkan haji dan perhimpunan di Mekah, Madinah dan Padang Arafah. Dajjal tidak akan masuk di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Tetamu : YBhg Dr. Badrul Amin Baharon, Pendakwah dan Aktivis Sosial