Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

EXCO: Tiba masanya wanita keluar daripada zon selesa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 OGOS: Golongan wanita disaran untuk keluar daripada zon selesa dengan meneroka peluang dan bidang baru bagi memajukan diri, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, ia bukan sesuatu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan sekiranya seseorang wanita itu mempunyai matlamat yang jelas dan tidak sesekali berputus asa.

“Persoalan yang bermain dalam fikiran saya adalah mahu memotivasikan wanita untuk mencabar diri mereka daripada terus berada di zon selesa dan mengubah ke arah yang lebih baik.

“Mungkin segelintir wanita tidak tahu atau hanya reda dengan keadaan mereka sekarang, namun saya rasa kini sudah tiba masanya untuk kita fikirkan cara mengeluarkan golongan ini daripada terus berada dalam zon selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bicara Inspirasi Bersama Ekspeditor Negara Kutub Utara Kutub Selatan dan Greenland, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai bicara inspirasi tersebut, Dr Siti Mariah berkata, beliau amat menggalakan golongan wanita mengikuti jejak langkah seperti Ekspeditor Negara tersebut yang sudah menjelajah ke tiga negara beriklim sejuk.

“Banyak pendedahan positif yang kita dapat daripada bicara tadi, dan saya berharap setiap yang hadir boleh mengubah diri mereka ke arah lebih baik dan bersemangat,” katanya.

Manakala, mengulas mengenai Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), beliau berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri memikirkan formula bagi mengubah nasib golongan wanita daripada terus menerima pelbagai pemberian.

“Kini, sudah tiba masanya kita perlu fikirkan jalan daripada terus “memberi ikan kepada memberi kail” supaya seseorang itu boleh berusaha pada masa sama akan menguntungkan mereka.

“Saya percaya setiap wanita ada potensi masing-masing, Kerajaan Negeri sedia untuk membantu mereka menggilapkan lagi bakat yang sedia ada.

“Walhal, kerajaan juga boleh menyediakan apa sahaja prasarana tetapi pucuk pangkalnya ia tetap terpulang kepada seseorang itu samada mahu atau tidak ambil peluang memajukan diri sendiri,” katanya.