Categories
GLOBAL

Gempa Bumi: Bot, pesawat tumpuan pelancong Lombok

MATARAM 7 OGOS: Pelancong yang ketakutan selepas gempa bumi kedua melanda Lombok dalam tempoh seminggu, berusaha meninggalkan pulau itu dengan menaiki pesawat atau bot.

Ketika ini, pasukan penyelamat masih bertungkus lumus untuk menyalurkan bantuan makanan dan tempat tinggal kepada mangsa, terutama di kawasan pedalaman.

Gempa bumi berukuran 6.9 magnitud pada Ahad lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 105 mangsa dan memusnahkan ratusan bangunan di Lombok, iaitu beberapa hari selepas gempa bumi pertama yang meragut nyawa 17 individu.

Sementara itu, pasukan penyelamat meneruskan usaha mengesan mangsa yang terselamat dalam kediaman, masjid dan sekolah yang runtuh akibat gempa bumi terbaru itu.

Lebih 200,000 penduduk dipercayai hilang tempat tinggal, dengan 236 daripadanya mengalami cedera parah dan pihak berkuasa merayu supaya lebih ramai pegawai perubatan dan bekalan asas dihantar ke Lombok.

Gempa terbabit dilaporkan berlaku ketika umat Islam, iaitu penduduk majoriti di pulau berkenaan sedang menunaikan solat Maghrib.

SUMBER: AFP