Categories
NASIONAL

Guan Eng dedah RM18 bilion wang balik cukai input GST lesap

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan sejumlah RM18 bilion wang daripada Tabung Bayaran Balik GST diseleweng ekoran baki sedia ada hanya sekitar sekitar RM1.49 bilion.

Menurutnya, kedudukan tunggakan bayaran balik GST sehingga 31 Mei 2018 adalah sebanyak RM19.39 bilion bahkan Kerajaan terdahulu yang dipimpin Barisan Naisonal (BN) telah gagal membayar tuntutan cukai input dalam masa dua minggu.

“Rekod Jabatan Kastam DiRaja Malaysia yang disahkan menunjukkan bahawa jumlah tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST lebih daripada dua minggu adalah sebanyak RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018.

“Daripada jumlah tunggakan RM19.4 bilion ini, sebanyak RM9.2 bilion (47% daripada jumlah) adalah dari 2018, RM6.8 bilion (35%) dari 2017, RM2.8 bilion (15%) dari 2016 and RM0.6 bilion (3%) dari tahun 2015.

“Tunggakkan besar bayaran balik sampai melebihi dua tahun ini berlaku bukan sahaja kerana garis panduan tidak dipatuhi sepenuhnya, tetapi dianggap sebagai satu peluang oleh kerajaan terdahulu untuk menyelewengkan wang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bacaan Kali Kedua Untuk Pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat.

Katanya, tunggakan bayaran balik adalah disebabkan kelemahan aliran tunai Kerajaan Persekutuan akibat kekurangan disiplin fiskal, pembaziran berleluasa dan pertambahan hutang yang besar.

“Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh pentadbiran lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik cukai untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit supaya mereka dapat menunjukkan keadaan lebihan.

“Saya amat terperanjat apabila diberitahu bahawa tunggakan ini berlaku akibat kegagalan kerajaan terdahulu memasukkan kutipan GST ke dalam akaun amanah yang dikhaskan untuk melunaskan tuntutan cukai GST.

“Sebaliknya, Kerajaan Barisan Nasional telah merompak akaun amanah tersebut dengan memasukkan wang tunai kutipan cukai GST terus kepada kumpulan wang disatukan sebagai hasil untuk dibelanja dengan sewenang-wenangnya.

“Wang ini kemudiannya tidak dikeluarkan daripada kumpulan wang disatukan dan tidak dimasukkan ke dalam akaun amanah seperti yang diharapkan. Bak kata pepatah Melayu, harapkan pegar, pegar makan padi,” katanya.

Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan berpendirian bahawa tunggakan bayaran balik cukai GST wajib dilangsaikan dalam masa terdekat kerana ia bukan wang Kerajaan tetapi milik rakyat dan syarikat-syarikat.

“Kita (Kementarian Kewangan) akan mengambil langkah untuk mengkaji pelbagai cara untuk memperoleh dana mencukupi untuk membuat pembayaran balik penuh kepada pembayar cukai pada tahun depan,” katanya.