Categories
GLOBAL

Kebakaran Hutan California: Ribuan penduduk dipindahkan

SAN FRANSISCO 5 OGOS: Lagi beribu-ribu penduduk di kawasan gunung dipindah daripada laluan api kebakaran hutan yang terbesar di California semalam ketika anggota bomba bertungkus lumus menangani salah satu bencana kebakaran terburuk lebih sedekad lalu berikutan berlakunya angin kencang .

Kebakaran dikenali sebagai Kompleks Mendocino semalam memusnahkan lebih 157,450 ekar tanah, iaitu menyamai separuh saiz Los Angeles, menyebabkan memaksa hampir 16,000 pemilik kediaman di utara San Francisco itu melarikan diri.

 

Pasukan bomba dari 16 buah negeri bergegas ke California dan pihak berkuasa telah mengerahkan 3,232 kakitangan untuk memadamkan api yang marak daripada dua kebakaran berasingan di kawasan tersebut.

Saiz kebakaran Kompleks Mendocina mengatasi tragedi kebakaran Carr Fire yang merupakan antara 17 kebakaran hutan terbesar berlaku akibat cuaca kering sejak 2011.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, kebakaran hutan Carr Fire yang berlaku pada 26 Julai lalu diburukkan lagi dengan angin kencang selaju 230 kilometer sejam, membawa puting beliung dan menyebabkan bekalan kuasa terputus.

“Ekoran suhu panas sehingga mencapai angka tiga digit Farenheit, kebakaran hutan di California kini disifatkan sebagai yang terburuk dan membawa kemusnahan terbesar sejak 2008.

“Kebakaran ini tidak dapat diramalkan dan amat berbahaya dan membunuh, ” kata Timbalan Ketua Bomba California, Scott McLean.

Seramai empat anggota bomba terkorban di California pada tahun ini termasuk seorang ope­rator bulldozer yang dilenyek kenderaan itu ketika menyertai usaha memadam kebakaran hutan berhampiran Taman Negara Yosemite.

SUMBER: REUTERS