Categories
GLOBAL NASIONAL

California dilanda banjir terburuk

LOS ANGELES, 28 FEB: Bandar Guerneville di California Utara berdepan banjir buruk dalam tempoh 20 tahun, menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan ribuan penduduk berpindah atau berisiko terperangkap beberapa hari.

Air dilaporkan naik sehingga ke bumbung rumah dan menenggelamkan kereta apabila paras Sungai Russia melimpahi tebing ekoran hujan lebat.

Keadaan itu sekali gus memaksa pihak berkuasa di Daerah Sonoma, kira-kira 110 kilometer ke utara San Francisco memindahkan 3,600 penduduk.

“Saya sudah menetap di sini selama 30 tahun. Saya tidak pernah lihat hujan sebegini lebat,” kata pengarah pemasaran hotel Farmhouse Inn, Brian Gipson, lapor Reuters.

Hotel berkenaan turut memindahkan tetamu selepas air menenggelamkan tempat letak kenderaan.

Bandar raya Santa Rosa menerima 11.8 sentimeter hujan, mengatasi rekod lama empat sentimeter, menurut data Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Banjir itu dijangka menjadi paling buruk sejak 1995, apabila paras Sungai Russia naik kepada 14.6 meter.

Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan: California tingkat usaha cari mayat, lebih 600 hilang

PARADISE 17 NOV: Pekerja penyelamat dengan bantuan anjing pengesan mayat meningkatkan pencarian lebih ramai mangsa dalam kebakaran di bandar raya utara California semalam ketika pihak berkuasa berusaha mendapatkan petunjuk kepada nasib lebih 600 lagi yang dilaporkan hilang dalam kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah negeri itu.

Mayat sekurang-kurangnya 63 mangsa ditemui setakat ini di dan sekitar kawasan sekitar kaki bukit Sierra di Paradise, yang menempatkan hampir 27,000 penduduk sebelum ia dimusnahkan kebakaran Camp Fire pada malam 8 November lalu.

Lebih seminggu kemudian, pasukan bomba berjaya mewujudkan garisan kepungan sekitar 45 peratus daripada perimeter kebakaran, meningkat daripada 35 peratus sehari sebelum itu, walaupun ketika tanah yang terbakar bertambah sedikit kepada 57,000 hektar.

Selain kehilangan nyawa yang mengejutkan, kerugian harta benda akibat kebakaran paling buruk dalam sejarah California, memberikan cabaran kepada penyediaan perlindungan jangka panjang untuk ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Dengan hampir 12,000 kediaman dan bangunan terbakar, ramai penduduk berlindung sementara dengan rakan dan keluarga, manakala yang lain mendirikan khemah atau berkhemah di luar kenderaan mereka.

Lebih 11,000 penduduk ditempatkan di 14 pusat perlindungan kecemasan yang didirikan di gereja, sekolah dan pusat komuniti sekitar wilayah itu, kata jurucakap Palang Merah Amerika, Greta Gustafson.

Sementara, pasukan mencari, mengharungi kawasan penempatan yang rentung untuk mencari mayat, atau apa saja yang membawa DNA manusia untuk tujuan pengecaman.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Kebakaran Hutan California: Ribuan penduduk dipindahkan

SAN FRANSISCO 5 OGOS: Lagi beribu-ribu penduduk di kawasan gunung dipindah daripada laluan api kebakaran hutan yang terbesar di California semalam ketika anggota bomba bertungkus lumus menangani salah satu bencana kebakaran terburuk lebih sedekad lalu berikutan berlakunya angin kencang .

Kebakaran dikenali sebagai Kompleks Mendocino semalam memusnahkan lebih 157,450 ekar tanah, iaitu menyamai separuh saiz Los Angeles, menyebabkan memaksa hampir 16,000 pemilik kediaman di utara San Francisco itu melarikan diri.

 

Pasukan bomba dari 16 buah negeri bergegas ke California dan pihak berkuasa telah mengerahkan 3,232 kakitangan untuk memadamkan api yang marak daripada dua kebakaran berasingan di kawasan tersebut.

Saiz kebakaran Kompleks Mendocina mengatasi tragedi kebakaran Carr Fire yang merupakan antara 17 kebakaran hutan terbesar berlaku akibat cuaca kering sejak 2011.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, kebakaran hutan Carr Fire yang berlaku pada 26 Julai lalu diburukkan lagi dengan angin kencang selaju 230 kilometer sejam, membawa puting beliung dan menyebabkan bekalan kuasa terputus.

“Ekoran suhu panas sehingga mencapai angka tiga digit Farenheit, kebakaran hutan di California kini disifatkan sebagai yang terburuk dan membawa kemusnahan terbesar sejak 2008.

“Kebakaran ini tidak dapat diramalkan dan amat berbahaya dan membunuh, ” kata Timbalan Ketua Bomba California, Scott McLean.

Seramai empat anggota bomba terkorban di California pada tahun ini termasuk seorang ope­rator bulldozer yang dilenyek kenderaan itu ketika menyertai usaha memadam kebakaran hutan berhampiran Taman Negara Yosemite.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan AS semakin buruk, 200,000 diarah pindah

CALIFORNIA 9 DIS: Hampir 200,000 penduduk kini dipindahkan susulan kebakaran hutan di selatan California yang semakin buruk.

Agensi Berita Antarabangsa BBC NEWS melaporkan, kira-kira 5,000 anggota bomba dikerah untuk memadamkan kebakaran di empat hutan yang telah memusnahkan ratusan kediaman di selatan negeri ini.

Jumlah penduduk yang dipindahkan terus meningkat apabila kebakaran hutan baharu dilaporkan berlaku di utara San Diego.

Sehingga kini, satu laporan kematian dibuat melibatkan penemuan satu mayat wanita dalam keadaan rentung di Ventura County.

Akhbar Ventura Country Star pula melaporkan satu lagi kematian melibatkan kemalangan kereta, namun tidak dapat dipastikan sama ada situasi itu dikaitkan de­ngan kebakaran yang berlaku.

Jabatan Bomba California memaklumkan sebanyak 189,000 penduduk sudah dipindahkan.

Kebakaran di San Diego dilaporkan telah memusnahkan kawasan seluas 1,000 hektar.

Dalam pada itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran ungu yang merupakan tahap amaran tertinggi dan menyifatkan situasi kini sebagai cuaca yang sangat kritikal.

Selain itu, Universiti California di Los Angeles terpaksa membatalkan banyak kelas bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Satu daripada empat buah sekolah di Los Angeles juga ditutup, selain menyaksikan pasukan bomba memindahkan barangan mewah termasuk karya seni dari beberapa kediaman di Bel Air yang menempatkan selebriti serta orang ternama ketika kebakaran yang dikenali sebagai Skirball Fire melanda kawasan itu.

Kawasan estet kepunyaan bilionair Rupert Murdoch turut musnah dalam kebakaran yang berlaku akibat cuaca panas serta angin kencang Santa Ana.

Sementara itu, Muzium Getty akan terus ditutup sehingga keadaan menjadi stabil dan menegaskan untuk tidak memindahkan semua karya seni memandangkan muzim tersebut dilengkapi dengan sistem penapisan udara yang canggih.

Kebakaran Thomas Fire di Ven­tura County kekal sebagai kebakaran terbesar dan merebak sehingga ke perairan Pasifik manakala kebakaran di utara Los Angeles yang dikenali sebagai Creek Fire hanya berjaya dipadamkan seba­nyak 10 peratus dan memusnahkan kawasan seluas 5,101 hektar.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Kebakaran terburuk AS: 35 sah terbunuh, lebih 10,000 diarah berpindah

GLOBAL 15 OKT: Ribuan lagi penduduk California mengosongkan kediaman masing-masing semalam ketika kebakaran hutan merebak berikutan arah angin yang kerap bertukar, dan pegawai menjangka angka kematian akan meningkat dengan ratusan lagi masih hilang.

Enam belas kebakaran besar, sebahagiannya adalah beberapa api kecil yang bergabung, di kawasan utara San Francisco memusnahkan kawasan hampir seluas 86,000 hektar sejak tujuh hari lalu, atau secara kasar 537 kilometer, kawasan lebih luas daripada New York City, lapor REUTERS.

Kematian disahkan setakat ini adalah 35, termasuk 19 di Sonoma, menjadikan ia adalah kes kebakaran paling buruk dalam sejarah California.

Kira-kira 10,000 dipaksa berpindah, termasuk 3,000 semalam dari San Francisco, dan 250 lagi dari Sonoma. Bencana itu memusnahkan banyak rumah dan premis perniagaan.

“Ia amat sukar dikawal ketika ini,” kata pegawai penerangan kebakaran, Dennis Rein.

Lebih 10,000 anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran, yang sudah memusnahkan 5,700 bangunan.

Sekurang-kurangnya 12 ladang anggur di Napa Valley dan Sonoma rosak atau musnah, menjadikan industri wain dan pelancongan negeri itu terjejas.

Dari udara, 70 helikopter dan pesawat besar termasuk 747, dua DC-10 dan 12 tangki udara memadamkan kebakaran di seluruh kawasan terjejas menggunakan bahan kalis api.

Di darat, banduan membantu anggota bomba dengan menggali laluan untuk membantu mengekang api, menyediakan makanan di pusat arahan, dengan dipantau pengawal.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Lebih 68,800 hektar hutan & 3,500 rumah terbakar di California

SANTA ROSA, Amerika Syarikat (AS) 13 OKT: Lebih 8,000 anggota bomba bersama ratusan jentera dari seluruh negara dikerah bagi membantu memadamkan kebakaran paling dahsyat di California di sini kelmarin.

Setakat ini, kebakaran itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh, manakala beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Keadaan kini menjadi satu bencana yang kritikal dan dahsyat.

“Apa yang pasti kami tidak akan keluar dari hutan ini untuk beberapa hari lagi sehingga kesemua kebakaran berjaya dipadamkan,” kata Ketua Jabatan Bomba California, Ken Pimlott kepada wartawan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Pimlott berkata, kerja-kerja memadamkan kebakaran terpaksa ditangguhkan pada Selasa lalu berikutan angin kencang dan cuaca kering sekali gus menghalang usaha pasukan bomba.

Menurutnya, jumlah kematian akibat kebakaran kali ini merupakan antara paling dahsyat pernah berlaku di California dan dijangka akan terus meningkat.

Kira-kira 13 kematian dilaporkan berlaku di daerah Sonoma yang merupakan sebuah daerah terkenal sebagai pengeluaran wain di California, manakala enam orang mati di daerah Mendocino.

Terdapat dua kematian di daerah Napa dan dua di daerah Yuba.

“Dilaporkan hampir 600 orang hilang di sekitar daerah Sonoma tetapi sebahagiannya telah berjaya dikesan semula,” kata seorang syerif, Robert Giordano.

Bencana itu turut meng­akibatkan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, manakala 25,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka di daerah Sonoma sahaja, kata beberapa pegawai.

Pihak berkuasa menganggarkan 3,500 buah rumah dan premis perniagaan hangus termasuk beberapa kilang membuat wain di daerah Sonoma dan Napa.

Pimlott berkata, pasukan bomba sedang berusaha untuk memadamkan sejumlah 22 kebakaran hutan melibatkan keluasan tanah hampir 68,800 hektar.

Sebanyak 170 jentera bomba dari negeri kejiranan Arizona, Nevada, Oregon dan Washington serta 154 di negeri lain turut dikerahkan untuk mema­damkan kebakaran itu.

Mereka turut dibantu oleh 73 helikopter dan 30 pesawat dengan keseluruhan hampir 8,000 anggota bomba.

Berikutan itu, Gabenor California, Jerry Brown mengisytiharkan darurat di lapan daerah.

Kebakaran hutan dikatakan sering berlaku di beberapa negeri di barat AS terutamanya pada musim panas dan cuaca kering tetapi kejadian pada tahun ini disifatkan antara paling dahsyat di California.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan antara terburuk dalam sejarah AS

CALIFORNIA 10 OKT: Sekurang-kurangnya 10 terkorban dan banyak rumah serta premis musnah dalam kejadian kebakaran antara yang terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan kebakaran itu memusnahkan sekurang-kurangnya 1,500 bangunan dan memaksa negeri itu membuat pengisytiharan darurat di tiga daerah paling teruk dilanda kebakaran.

Kebakaran yang bermula malam Ahad lalu diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang selaju 80 kilometer sejam.

Pasukan bomba California berkata, kebakaran hutan itu sudah memusnahkan kawasan seluas 30,000 hektar.

“Pejabat Sheriff mengesahkan tujuh kebakaran mengorbankan nyawa yang disahkan pasukan bomba Sonoma. Takziah kepada keluarga dan rakan mereka,” tulis Sheriff Sonoma.

Kebanyakan kawasan yang terbakar membabitkan wilayah pengeluar wain terkenal.

Secara keseluruhan terdapat 14 kebakaran utama membabitkan daerah Napa, Sonoma dan Yuba. Ketiga-tiga daerah ini mendapat perlindungan atas perintah Gabenor Jerry Brown.

Pemindahan besar-besaran turut melibatkan lebih 20,000 penduduk di daerah Napa, Sonoma dan Yuba.

=EZY=