Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tingkat hasil negeri demi manfaat rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 17 OGOS: Kerajaan Negeri komited untuk mempertingkatkan lagi hasil negeri supaya dapat memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keyakinan itu berprinsipkan semangat kebersamaan di dalam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta saf penjawat awam yang jitu.

“Semalam kami baru sahaja selesai program retreat bagi membincangkan pelan dan strategi bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Selangor selain dari menambah baik polisi sedia ada.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah untuk menyeleras dan menjajarkan semula program IPR yang dilaksanakan.

“Tujuannya, agar faedah IPR ini dapat sampai ke golongan sasaran yang tepat selain dari mengelak pertindihan lebih lebih lagi apabila sekarang Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah seiringan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Menyantuni dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat, di Masjid Al- Islamiah Kampung Lindungan, di sini.

Amirudin berkata komitmen yang ditunjukkan itu selaras konsep yang diketengahkan iaitu ‘Maju Bersama’.

Katanya, menerusi konsep itu semua rakyat dapat bersama-sama dalam memakmurkan negeri serta menikmati hasil negeri.

“Tiada yang tersisih, apa gunanya kalau kita menjadi ‘economic powerhouse’ di Malaysia serta penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi masih ada yang tersisih dan tertinggal.

“Inilah kenapa saya yakin dengan penjajaran semula IPR dan penyelarasan semula, maka IPR ini akan lebih efektif dalam memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya.