Categories
NASIONAL

Parlimen kecam penculikan dan rampasan Kapal Al-Awda

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Parlimen Malaysia konsisten mengecam kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza dan tindakan menahan serta memenjarakan aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Mohd Afandi yang menyertai misi flotila ke Gaza ‘Just Future for Palastine’ (JFP).

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, walaupun Mohd Afandi bersama rakan dalam Kapal Al-Awda selamat pulang ke negara masing-masing, namun misi pembebasan Gaza daripada kepungan zalim Israel perlu diteruskan.

“Halangan dalam misi ini bukanlah satu kegagalan tetapi ia usaha berterusan rakyat antarabangsa memecah kepungan Gaza, lebih 11 tahun.

“Kami dimaklumkan ini adalah misi ke-17 dan kapal ke-33. Kepungan ini bertentangan dengan Artikel 33 dan 55 Konvensyen Geneva Keempat.

“Gaza mempunyai hak untuk hidup bebas seperti wilayah lain. Menyekat Gaza dari dunia luar bukan jalan menuju perdamaian dan keamanan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Mohd Afandi ditahan dan dipenjarakan secara haram oleh rejim Israel, pada 29 Julai lalu apabila Kapal Al-Awda ditahan di perairan antarabangsa selain 22 orang anak kapal serta kru dicederakan.

Selain kapal, bantuan perubahan dan barang peribadi dibawa peserta misi turut dirampas.

Nurul Izzah berkata, beliau sudah mengemukakan satu usul bagi mengutuk kekejaman Israel, pada 23 Julai lalu tetapi dibawa ke Kamar Khas.

Katanya, beliau akan terus membawa isu itu untuk dibahaskan ke Dewan Rakyat supaya Parlimen dapat mengecam tindakan zalim Israel secara kolektif.

Dalam sidang media sama, Mohd Afandi berharap suara Malaysia akan terus kehadapan bagi mengutuk tindakan Israel dan berharap lebih banyak pihak tampil untuk meneruskan misi membebaskan Gaza.

“Kezaliman Israel turut mendapat tekanan daripada negara luar. Rakan yang menyertai misi seperti dari Sweeden dan Denmark, mereka lantang mengutuk tindakan kekejaman itu,” katanya.