Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

PKNS tawarkan penjimatan produk hartanah sehingga RM100,000

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan penjimatan sehingga RM100,000 bersempena Koleksi Hartanah PKNS Siri 2/2018 yang berlangsung di Atria Lagenda, Kompleks PKNS sehingga 12 Ogos hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, pelancaran koleksi bermula 3 Ogos itu bagi mempromosikan hartanah PKNS dan anak syarikat di seluruh Selangor meliputi projek sedia ada terdiri daripada kediaman serta komersil selain projek baharu bakal dilancarkan.

“Berikutan permintaan menggalakkan daripada siri koleksi sebelum ini, PKNS mengambil inisiatif melanjutkan Skim Insentif Ownership PKNS sehingga 31 Disember 2018.

“Antara projek menarik perhatian adalah Projek Puteri Elaisha serta Puteri Daffina 2 dan 3 di Kota Puteri yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus.

“Selain itu, potongan harga sama turut diberikan untuk Projek Azhara di Antara Gapi yang dijual pada harga RM668,000 dan Hijauan Enklaf pada harga RM3.08 juta,” katanya pada majlis pelancaran Koleksi Hartanah PKNS Siri 2/2018.

Menurutnya, PKNS menyasarkan jualan sebanyak 50 unit rumah pada koleksi kali ini dan yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan potongan harga serta tawaran menarik yang diberikan kepada pembeli.

Tawaran Rumah Mampu Milik

Bersempena siri koleksi kali ini, PKNS turut melancarkan Program Pendaftaran Rumah Mampu Milik secara besar-besaran khususnya bagi projek di Selangor Cyber Valley dan Kota Puteri.

“Sebanyak 1,154 unit rumah mampu milik dibina dengan harga RM185,000.

“Selain itu, PKNS juga mempunyai projek rumah mampu milik di Kota Puteri, Antara Gapi, Rasa dan Klang yang berbaki 206 unit sahaja dengan tawaran harga serendah RM42,000.

 

“Sempena ulangtahun PKNS ke-54, 54 pembeli terawal yang membeli produk hartanah PKNS dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2018 akan menerima rebat tunai RM5,400.

“Tawaran itu tidak tertakluk kepada rumah mampu milik, kos rendah dan rumah Taman Selayang Mutiara,” katanya.

Selain itu, insentif turut diberikan kepada sesiapa sahaja yang berjaya menarik pelanggan untuk membeli produk-produk PKNS menerusi Skim Insentif MyPKNS.

Berkonsepkan ‘introducee fee’, skim ini membolehkan orang ramai menerima insentif sehingga RM30,000 mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.