Categories
SUKANKINI

Sukan Asia 2018: Skuad B-23 tundukkan Kyrgyztan 3-1

JAKARTA 15 OGOS: Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) membuka aksi saingan temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang dengan bergaya selepas menundukkan Kyrgyztan 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung petang tadi.

Pada perlawanan tersebut, Kim Swee membariskan kesebelasan terbaik termasuk trio serangan berbisa negara iaitu Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid.

Kejayaan meraih tiga mata penuh mencerahkan peluang pasukan muda Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee di landasan yang tepat untuk melangkah ke pusingan suku akhir.

Pemain Harimau Malaya,Akhyar mempamerkan aksi bertenaga selepas kelincahannya dibentes oleh tonggak pertahanan yang juga kapten Kyrgyztan, Tamirfan Kozubaef sekali gus memaksa pengadil dari Hong Kong, Lau Fong Hei menghadiahkan sepakan penalti buat skuad negara.

Tendangan tersebut berjaya disempurnakan oleh Safawi pada minit ke-37 untuk memberi kelebihan buat pasukan negara sehingga tamat babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kyrgyztan mengubah strategi dan ia ternyata berhasil selepas pemain tengah, Ernist Batyrkanov menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik untuk menewaskan Haziq Nadzli pada minit ke-55.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara memperkemaskan jentera serangan dan kerja keras yang dipamerkan oleh Safawi di bahagian sayap dengan membuat hantaran cantik ke kotak penalti dapat disudahkan dengan cemerlang oleh Akhyar untuk gol kedua negara berselang enam minit kemudian.

Skuad B-23 negara terus bersemangat dan bersungguh-sungguh dengan melakukan serangan balas pantas yang bijak memperdaya pertahanan Kyrgyztan untuk meledak gol ketiga hasil tandukan Syafiq pada minit ke-78.

Skuad negara akan beraksi dalam perlawanan kedua menentang Korea Selatan di venue yang sama Jumaat ini.