Categories
AGENDA SUKANKINI

e-Sukan secara rasmi tawar pingat pada Sukan Asia 2022

KUALA LUMPUR, 1 MAC: E-sukan akan membuat penampilan sulungnya sebagai sukan yang ditawarkan pingat secara rasmi pada Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China tahun hadapan, demikian menurut Majlis Olimpik Asia (OCA) hari ini.

Perkara itu diumumkan semasa majlis menandatangani perkongsian secara maya yang mana OCA dan Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) menjadi rakan kongsi tunggal dalam menganjurkan dan menguruskan program e-sukan pada temasya yang dijadualkan berlangsung pada 10 Sept 2022.

Ini bermakna AESF akan menganjurkan dan menguruskan pertandingan kelayakan serantau dan temasya itu sendiri di Hangzhou 2022, dengan sokongan dan kuasa penuh OCA. Persediaan ini, menurut OCA akan diteruskan pada Sukan Asia di masa hadapan.

Sebanyak enam pingat acara akan dipertandingkan di bawah program e-sukan di Hangzhou 2022 dan AESF akan memilih tajuk permainan dan menyerahkan senarai untuk kelulusan oleh OCA.

Selain itu, OCA dan AESF turut mengumumkan kempen ‘Road to Asian Games’ pada majlis itu antaranya, akan merangkumi aspek pendidikan, projek kelestarian dan legasi, pembangunan akar umbi, laluan kerjaya, sokongan kesihatan dan kesejahteraan serta inisiatif membantu komuniti dikenali sebagai ‘AESF Experience Programme’.

Presiden AESF Kenneth Fok dipetik sebagai berkata Sukan Asia menampilkan platform terbaik untuknya berkongsi nilai Olimpik dengan komuniti e-sukan, dan ia akan berusaha untuk menjadikan komuniti e-sukan berkembang menerusi peluang ini.

“Kami mengalu-alukan kerjasama yang berjaya dengan OCA dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan untuk Sukan Asia Hongzhou ke-19 pada 2022,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah OCA Husain Al-Musallam berkata badan pengelola Sukan Asia akan memberikan sokongan penuh untuk menjayakan acara e-sukan pada temasya itu.

Pada Sukan Asia ke-18 di Indonesia pada 2018, e-sukan dipilih sebagai acara demonstrasi yang menampilkan tajuk e-sukan seperti League of Legends, Arena of Valor, Pro Evolution Soccer 2018, StarCraft II, Hearthstone dan Clash Royale.

– BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

Sukan Asia 2018: Skuad B-23 tundukkan Kyrgyztan 3-1

JAKARTA 15 OGOS: Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) membuka aksi saingan temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang dengan bergaya selepas menundukkan Kyrgyztan 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung petang tadi.

Pada perlawanan tersebut, Kim Swee membariskan kesebelasan terbaik termasuk trio serangan berbisa negara iaitu Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid.

Kejayaan meraih tiga mata penuh mencerahkan peluang pasukan muda Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee di landasan yang tepat untuk melangkah ke pusingan suku akhir.

Pemain Harimau Malaya,Akhyar mempamerkan aksi bertenaga selepas kelincahannya dibentes oleh tonggak pertahanan yang juga kapten Kyrgyztan, Tamirfan Kozubaef sekali gus memaksa pengadil dari Hong Kong, Lau Fong Hei menghadiahkan sepakan penalti buat skuad negara.

Tendangan tersebut berjaya disempurnakan oleh Safawi pada minit ke-37 untuk memberi kelebihan buat pasukan negara sehingga tamat babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kyrgyztan mengubah strategi dan ia ternyata berhasil selepas pemain tengah, Ernist Batyrkanov menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik untuk menewaskan Haziq Nadzli pada minit ke-55.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara memperkemaskan jentera serangan dan kerja keras yang dipamerkan oleh Safawi di bahagian sayap dengan membuat hantaran cantik ke kotak penalti dapat disudahkan dengan cemerlang oleh Akhyar untuk gol kedua negara berselang enam minit kemudian.

Skuad B-23 negara terus bersemangat dan bersungguh-sungguh dengan melakukan serangan balas pantas yang bijak memperdaya pertahanan Kyrgyztan untuk meledak gol ketiga hasil tandukan Syafiq pada minit ke-78.

Skuad negara akan beraksi dalam perlawanan kedua menentang Korea Selatan di venue yang sama Jumaat ini.

 

Categories
SUKANKINI

Sukan Asia 2018: PM sasar Malaysia di kedudukan 10 terbaik

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan kontinjen negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 untuk mencapai kedudukan antara 10 terbaik.

Katanya tidak mustahil untuk Malaysia pencapai kejayaan itu dan mengulangi kegemilangan kontinjen negara pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

“Jika Malaysia pernah menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik pada temasya sebelum ini, saya tidak nampak mengapa kontinjen kita pada kali ini tidak boleh mengulangi kegemilangan itu pada 2018, atau pun melakukan sesuatu yang lebih baik daripada itu.

“Saya yakin kontinjen kali ini amat berkemampuan untuk mencatatkan kejayaan yang lebih bermakna, insyaAllah,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata Malaysia mempunyai atlet-atlet bertaraf dunia seperti Al Jufferi Jamari (silat), Azizulhasni Awang (lumba basikal), Wong Weng Soon (Wushu) selain pasukan boling wanita dan skuad hoki lelaki yang tidak kurang hebatnya.

“Saya juga yakin mereka yang terpilih ini juga adalah yang terbaik dan mampu untuk sama-sama mengharumkan nama negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta menteri-menteri kabinet.

Sukan Asia edisi ke-18 itu dijadual berlangsung di ibu negara Indonesia iaitu Jakarta dan Palembang pada 18 Ogos-2 September ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut menyeru para atlet untuk membuktikan anak Malaysia mampu menjadi atlet terbaik dalam sukan masing-masing dan berjuang bukan hanya untuk diri sendiri, malah membawa nama Malaysia.

“Saya yakin, semua yang memikul tanggungjawab untuk negara tercinta ini akan berjuang berhabis-habisan bukan untuk wang ringgit semata-mata, tetapi demi maruah diri dan pasukan.

“Bukan untuk habuan dan insentif sahaja. Tetapi untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia. Untuk mengangkat martabat negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Dr Mahathir berkata anggota kontinjen negara juga sewajarnya mencontohi semangat juang jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan menjadikannya pemangkin untuk membawa pulang kejayaan lebih gemilang.

“Biarpun anda (Chong Wei) tidak dapat bersama-sama kontinjen negara ke temasya edisi kali ini, namun semangat juang anda selama ini diharap akan menjadi pemangkin untuk kontinjen negara membawa pulang kejayaan lebih gemilang,” katanya yang turut mendoakan Chong Wei kembali pulih.

Jaguh perseorangan lelaki negara itu terpaksa menarik diri daripada menyertai Sukan Asia selepas mengalami masalah pernafasan dan dinasihatkan untuk berehat bagi menjalani rawatan.

Pada edisi kali ini, kontinjen negara akan diwakili oleh 418 atlet.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Kim Swee cari kombinasi terbaik di China demi hadapi Sukan Asia

KUALA LUMPUR 5 OGOS: Aksi pemanas badan menentang skuad Bawah 23 (B-23) China di tempat lawan esok menjadi medan terbaik kepada Datuk Ong Kim Swee mencari kesebelasan terbaik untuk menghadapi saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan ini.

Pengendali skuad B-23 kebangsaan itu menegaskan beliau tidak terlalu memikirkan keputusan perlawanan berkenaan yang akan berlangsung di Stadium Pusat Sukan Olimpik Changzhou, tetapi mahu melihat peningkatan corak permainan 22 pemain dibawa ke China.

“Saya ingin lihat kombinasi dan persefahaman kerana kita hanya sempat berlatih selama seminggu dan ini perlawanan kita di peringkat antarabangsa sejak berdepan Korea Selatan sebelum ini,” katanya pada sidang media praperlawanan berkenaan, pada Sabtu.

Audio sidang media berkenaan turut diperoleh Bernama daripada pegawai media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui undian semula acara bola sepak Sukan Asia yang dilakukan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Jumaat, tidak mengubah laluan Malaysia yang perlu menghadapi ranjau berliku pada saingan kali ini.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sebelum ini diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Malaysia ditukar ke Kumpulan C bagi menggantikan Iraq yang menarik diri daripada saingan Sukan Asia pada saat akhir.

Perubahan terbaharu itu menyaksikan Malaysia hanya perlu menghadapi tiga aksi pusingan awal menentang juara bertahan Korea Selatan, Bahrain dan Republik Kyrgyzstan dalam Kumpulan E.

“Tiada banyak perbezaan kerana kita beraksi kurang satu perlawanan tetapi cabaran kita masih lagi sukar kerana kita tahu sebelum UAE diundi dalam Kumpulan E, kita mempunyai Korea Selatan dalam kumpulan kita,” kata Kim Swee.

Pengendali kelahiran Melaka itu memaklumkan beliau bercadang mengadakan satu aksi persahabatan di Kuala Lumpur, namun bergantung kepada jadual baharu acara bola sepak Sukan Asia yang akan dikeluarkan AFC dalam tempoh terdekat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Pegawai keselamatan iringi skuad B-23 ke Indonesia

PETALING JAYA 1 OGOS: Demi memastikan keselamatan pemain terjamin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghantar seorang pegawai keselamatan untuk mengiringi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ke Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan.

Perkara itu disahkan ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee selepas beliau dimaklumkan oleh Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Kim Swee berkata langkah FAM menghantar seorang pegawai keselamatan itu mampu meningkatkan tahap keselamatan pasukan sekali gus membantu pemain memberi sepenuh tumpuan terhadap saingan di Indonesia.

“Saya telah dihubungi Presiden FAM dan dimaklumkan bahawa kita akan mendapat seorang pegawai keselamatan untuk bersama pasukan di mana kita tahu keadaan amat tegang di sana (Indonesia).

“Apa paling penting ialah keselamatan pemain dan pegawai. Jika kita mempunyai perancangan dari segi keselamatan dengan adanya pegawai keselamatan ini, saya percaya beliau mempunyai perancangan tertentu jika berlaku sebarang kemungkinan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad B-23 negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Selasa.

Persengketaan dan provokasi membabitkan penyokong bola sepak Malaysia dan Indonesia merupakan satu senario lazim yang berlaku apabila kedua-dua negara bertanding dalam mana-mana kejohanan yang sama.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini situasi itu semakin tegang apabila skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara terpaksa berdepan detik cemas sejurus menewaskan Indonesia untuk melangkah ke final Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-19 2018.

Skuad B-19 kendalian ketua jurulatih, Bojan Hodak itu terpaksa berlari memasuki bilik persalinan dengan dilindungi perisai pihak pasukan keselamatan tempatan bagi mengelak daripada terkena objek keras yang dibaling penyokong tuan rumah.

Nasib sama turut menimpa skuad Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan apabila penyokong Indonesia bertindak menghina nama Malaysia dan menyanyikan ‘chant’ berbunyi “Malaysia itu anjing” pada aksi sulung Kejuaraan AFF B-16 2018 di Stadium Joko Samudro, Surabaya, berdepan Thailand, Isnin.

SUMBER: BERNAMA