Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN YB ACTIVITIES

100 peserta PWB Batu Tiga sertai Program Air Tangan YB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kira-Kira 100 peserta dari Pusat Wanita Berdaya Dewan Undangan Negeri (DUN) menyertai Program Air Tangan YB.

Program selama tiga jam itu dikendalikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail dan Chef terkemuka negara, Mohd Anuar Draman.

Rodziah berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada golongan suri rumah atau wanita bekerja yang berminat menjadikan masakan sebagai sumber pendapatan.

“Program ini memberi pendedahan kepada mereka belajar kulinari lebih lagi pembuatan kek dan pastri.

“Terdapat lima resepi disamping tips dan teknik yang diajar oleh Chef Anuar.

“Saya berharap dengan pengetahuan yang diberikan, golongan ini mendapat sesuatu untuk dibawa pulang sekali gus, dipraktikkan,” katanya.

Dalam program itu, Chef Anuar berkongsi resepi dan demo masakan antaranya, Tart Labu, Kek Coklat Kukus, Royal Filling, Sugar Dough dan Steam Fish Teow Chew Style.

Chef Anuar merupakan seorang pakar masakan dalam bidang kek dan pastri. Beliau memiliki pengalaman lebih 25 tahun di beberapa buah hotel dan syarikat penerbangan antarabangsa.

Lebih 50,000 peserta kursus sudah mendapat ilmu masakannya dalam penyediaan kek, pastri, roti dan sebagainya.