Categories
GLOBAL

China tuduh Taiwan ada perisik di Tanah Besar

BEIJING 16 SEPT: China hari ini menuduh agensi perisikan Taiwan mempertingkat usaha mencuri maklumat risikan bertujuan terus merisik dan mensabotaj negara itu.

Beijing juga memberi amaran kepada Taipei bahawa padah menanti jika ia terus cuba menjejaskan hubungan antara mereka yang sudah pun berada dalam keadaan tegang.

Agensi terbabit dalam perkara itu bagi Taiwan mesti hentikan segera aktiviti berkenaan, kata agensi berita Xinhua yang memetik An Fengshan, jurucakap Pejabat Hal Ehwal Taiwan yang merangka dasar China berhubung pulau berkenaan.

Televisyen rasmi di sini semalam mula menyiarkan permulaan daripada beberapa siri program mendedahkan kes pelajar China di Taiwan menjadi sasaran perisik negara itu yang menawarkan wang kepada mereka selain wanita dan persahabatan.

Dakwaan itu dibuat ketika Beijing memperhebat usaha menggalakkan warga Taiwan menjadi warga negara China dengan memberi kad penganalan baru dan insentif lain.

Sehubungan itu, Taiwan memberi amaran kepada warganya mengenai risiko tinggal di China yang dituduhnya mengamalkan dasar autokratik, menapis internet dan faktor negatif lain.

China dan Taiwan kerap tuduh menuduh pihak lawan melakukan risikan.

Pada 2017, seorang pelajar China yang belajar di Taipei dihukum penjara kerana mengambil maklumat sensitif melalui pihak kenalannya di sekolah dan jabatan kerajaan Taiwan selain cuba mewujudkan rangkaian perisikan di pulau itu.

Taiwan mula membenarkan pelajar China belajar di universitinya pada 2009.

SUMBER: REUTERS