Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Kasma buru podium di Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kasma Daniel Kasmayuddin belum mengalah sebaliknya berazam mengakhiri episod malang dua pusingan lalu menghadapi saingan pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, Sabtu dan Ahad ini.

Juara bertahan CP150 dari PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu memulakan musim ini dengan cemerlang apabila meraih kemenangan sewaktu pusingan pembukaan di Tangkak, Johor April lalu dan berjaya mengekal momentum podium pada perlumbaan berikutnya.

Namun, insiden kemalangan pada pusingan ke 4 di Temerloh dan pusingan selepas itu di Teluk Intan menyaksikannya gagal menamatkan saingan di kelompok depan sekali gus kini sekadar menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan 70 mata.

Kasma berkata, keputusan ketika ini tidak menggambarkan prestasi secara keseluruhan dan pasukan masih kekal kompetitif, namun tidak menafikan persaingan musim ini jauh lebih sengit berbanding musim lalu.

“Di Temerloh, saya terjatuh dan berjaya bangkit untuk mengejar dan tamat di kedudukan ketujuh.

“Begitu juga di Teluk Intan, saya terjatuh dari awal perlumbaan dan walaupun berjaya menyambung kembali tetapi jentera mengalami masalah dan tidak mampu mengejar pelumba di depan,” katanya.

Kedudukan pendahulu setakat ini menjadi milik Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) dengan 115 mata diikuti rakan sepasukan, Mohd Hafiz Nor Azman (74 mata).

Kasma berkata, masih terlalu awal untuknya mengalah kerana saingan masih panjang dan apa saja boleh berlaku.

“Fokus utama adalah untuk kembali ke podium minggu ini,” katanya.

Sebagai rekod, Kasma adalah pemenang kategori CP130 ketika kali terakhir perlumbaan berlangsung di Kangar pada 2016.