Categories
NASIONAL SUKANKINI

Cub Prix: Rozaiman yakin mampu bersaing

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 9 APR: Pelumba Cilik RCB Motorsport, Mohd Rozaiman Md Said bersedia tampil dengan aksi terbaik pada pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di lamannya sendiri, Batu Kawan, Pulau Pinang pada 13 dan 14 April ini.

Meskipun beralih ke pasukan baharu pada saingan musim 2019 ini, beliau yakin Cilik RCB Motorsport mampu memberikan cabaran kepada pasukan yang lebih besar dan berpengalaman.

Katanya, meskipun banyak kekurangan dalam pasukan baharu, namun dengan pengalaman dan kerja keras seluruh pasukan beliau yakin kuasa jenteranya akan terus meningkat.

“Perlumbaan di Jasin sebelum ini, jentera kami mempunyai sedikit masalah dan kami mengenalpasti kelemahan tersebut. Selepas melakukan perubahan dan ujian, jentera kami menunjukkan banyak peningkatan dan saya berharap keupayaan jentera akan bertambah baik sewaktu minggu perlumbaan nanti.

“Saya menetapkan untuk layak ke Superpole bagi mencari petak mula yang terbaik. Tahun lalu saya menamatkan saingan di kedudukan ke-15, dan minggu ini saya berharap dapat meraih keputusan membanggakan,” katanya selepas menamatkan perlumbaan pusingan pembukaan di Jasin, Melaka.

Beliau yang pernah bergelar naib juara keseluruhan CP115 2010 itu turut menyifakan seluruh pasukannya senang memberikan kerjasama bagi membantu mereka beraksi dengan lebih baik.

Categories
SUKANKINI

Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2019 kembali

SHAH ALAM, 10 JAN: Kejuaraan Cub Prix AAM MAlaysia PETRONAS secara rasmi mengumumkan kalendar perlumbaan bagi musim 2019 dengan memperkenalkan satu venue baharu dan juga kembalinya Litar Sepang ke dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix.

Sama seperti musim terdahulu, kejuaraan kebangsaan yang terbuka kepada semua pengeluar (kelas terbuka) akan berlangsung 10 pusingan semusim.

Perlumbaan pembukaan musim akan berlangsung di Jasin, Melaka pada 23 dan 24 Mac.

Litar Sepang akan kembali ke dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix musim ini sebagai venue penutup tirai pada 7 dan 8 Disember.

Venue seperti di Batu Kawan, Teluk Intan, Kuala Terengganu dan Jempol akan terus berada dalam kalendar kejuaraan musim ini.

Peminat diharap terus memberi sokongan kepada pelumba tempatan dan pelumba kegemaran di setiap lokasi sepanjang musim 2019.

 

Categories
SUKANKINI

Pendaftaran pelumba OMR Cub Prix kini dibuka

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 DIS: Pendaftaran bagi sesi pemilihan pelumba Kategori Satu Pengeluar (OMR) bagi musim 2019 kini dibuka untuk remaja berbakat dan berminat menceburi bidang perlumbaan secara profesional.

Ia berita baik buat golongan itu menjelang perlumbaan terakhir saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Penawar, Johor, 15 dan 16 Disember ini.

Sama seperti musim lalu, perlumbaan anjuran bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd itu terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pelumba tempatan berbakat di peringkat pembangunan.

Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg berkata, sebanyak 60 slot pelumba kategori itu tersedia untuk musim 2019 dengan pertambahan 20 slot perlumbaan kedua dianjurkan Hong Leong Yamaha.

“Setiap tahun, perlumbaan kategori ini terus memperlihatkan muka baharu yang menjadi pelapis kepada generasi pelumba hari ini.

“Perlumbaan satu pengeluar ini mempunyai sejarah melahir dan mengembangkan bakat ramai pelumba terbaik negara ketika ini,” katanya.

Antara bakat yang lahir dari program itu termasuklah Hafizh Syahrin Abdullah, Mohd Ramdan Rosli, Adam Norrodin, Kasma Daniel Kasmayuddin yang memulakan karier dalam siri perlumbaan Yamaha, Khairul Idham Pawi bersama Honda.

Manakala Mohd Zulfahmi Khairuddin memulakan karier di dalam siri perlumbaan Junior GP pada 2007 dan ramai lagi.

Kepada remaja berusia 13 hingga 18 tahun yang berminat, pendaftaran boleh dibuat di laman http://malaysiancubprix.com/rider-search-2019/

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Afif juara CP150 musim 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 NOV: Ahmad Afif Amran mengesahkan gelaran sebagai juara keseluruhan CP150 selepas muncul naib juara pada perlumbaan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu hanya memerlukan enam mata untuk dinobatkan sebagai juara tetap mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya memulakan perlumbaan akhir dari petak pertama.

Afif yang bermula dengan baik berjaya memimpin perlumbaan, namun berjaya dipintas Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) pada penghujung perlumbaan sekali gus terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan masa keseluruhan 14’58.966s.

Kasma memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 14’58.587s manakala Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing) menghadiahkan podium pertama buat jentera Honda pada musim ini setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga (15’05.163s).

Selepas sembilan pusingan, Afif kini mengumpul 200 mata manakala Kasma di kedudukan kedua (161 mata) dan tempat ketiga ketika ini milik rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman (116 mata).

Afif berkata, beliau sangat gembira dengan kemenangan ini dan menghadiahkannya kepada seluruh pasukan yang bekerja keras sepanjang musim ini.

“Walaupun terpaksa akur di tempat kedua namun saya tetap berpuas hati dapat menamatkan saingan dan mengesahkan gelaran di atas podium.

“Selepas ini misi kami untuk memastikan gelaran pasukan terbaik menjadi milik pasukan kami,” katanya yang pernah bergelar juara keseluruhan CP115 musim 2013.

Sementara itu, saingan kelas CP115 menjadi milik duo Motul Zeneos Yamaha YY Pang dengan kemenangan menjadi milik Md Fareez Afeez dengan masa keseluruhan 9’30.509s manakala juara keseluruhan, Tengku Amirul Haffirudin di kedudukan kedua dengan masa 9’30.564s.

Tempat ketiga dimenangi Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 9’32.163s.

Kemenangan ini juga meletakkan Fareez muncul naib juara keseluruhan dengan 166 mata manakala Tengku Amirul di tangga teratas (208 mata).

Dalam kategori WIRA KBS, Md Syarifuddin Azman meneruskan aksi cemerlang apabila meraih kemenangan keenam berturut-turut sekali gus mengesahkan kedudukan selaku juara keseluruhan bagi musim 2018.

Pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing itu menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 9’45.758s mengatasi rakan sepasukan, Md Fadlyshah Redzuan di tempat kedua (9’58.005s).

Tempat ketiga milik Abdullah Qayyum A Razak (PETRONAS Sprinta YAMAHA) dengan masa 9’58.336s.

Dengan 25 mata yang dipungut, Syarifuddin kekal di tangga teratas dengan 158 mata, 25 mata mengatasi Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) namun memiliki kelebihan jumlah kemenangan berbanding pencabarnya itu.

Kemenangan itu menyaksikan gelaran keseluruhan kembali ke pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing selepas dimenangi Khairul Idham Pawi pada tahun 2014, Md Harith Farhan Baharin (2015) dan Md Syafiq Ezzariq (2016).

KEPUTUSAN PUSINGAN 9, JEMPOL, NEGERI SEMBILAN

CP150

1 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 14:58.587s

2 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 14:58.966s

3 Azroy Hakeem Anuar (KUL) Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing 15:05.163

4 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 15:06.298s

5 Md Fitri Ashraff Razali (SGR) Weststar Cilik Racing Team 15:10.741s

Kedudukan Keseluruhan

1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 200 mata

2 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 161 mata

3 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 116 mata

4 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 102 mata

5 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 63 mata

CP115

1 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 9:30.509s

2 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 9:30.564s

3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 9:32.163s

4 Md Aiman Azman (SGR) Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing Team 9:34.967s

5 Md Syafiq Rosli (PRK) ELF Koyoko Honda KC Racing 9:35.841s

Kedudukan Keseluruhan

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 208 mata

2 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 166 mata

3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 124 mata

4 Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 103 mata

5 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 92 mata

WIRA KBS

1 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 9:45.758s

2 Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 9:58.005s

3 Abdullah Qayyum A Razak (SGR) PETRONAS Sprinta YAMAHA 9:58.336s

4 Md Idil Fitri Mahadi (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 9:58.489s

5 Md Syahmi Md Anuar (NSN) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 9:59.256s

Kedudukan Keseluruhan

1 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 158 mata

2 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 133 mata

3 Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 112 mata

4 Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 93 mata

5 Md Harith Haziq Zamri (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 66 mata

 

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Syarifuddin berpeluang julang gelaran Wira KBS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 NOV: Md Syarifuddin Azman berpeluang bergelar juara keseluruhan WIRA KBS seandainya menjuarai perlumbaan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, pada Sabtu dan Ahad ini.

Pelumba Idemitsu Kozi YAM Honda Racing itu kini mendahului kedudukan dengan 133 mata, terikat jumlah pungutan mata bersama Md Danial Syahmi, namun memiliki kelebihan jumlah kemenangan berbanding pencabarnya itu.

Selepas lapan pusingan, Syarifuddin memiliki lima kemenangan berbanding Danial (dua kemenangan).

Namun, Danial terlepas aksi di Jempol minggu ini akibat kecederaan menyaksikan peluang lebih terbuka kepada Syarifuddin untuk meraih kemenangan keenam berturut-tutut pada musim ini.

Satu-satunya pelumba yang mampu memberikan cabaran ialah Md Alif Ashraf Tahiruddin kini di kedudukan ketiga (112 mata) seandainya pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha itu mampu menjuarai perlumbaan minggu ini.

Syarifuddin berkata, di atas kertas ada kelebihan kepada dirinya, namun situasi berbeza jika di litar dan banyak faktor lain perlu diambil kira terutama sewaktu perlumbaan.

“Ketiadaan Danial juga bukan alasan untuk saya mengambil mudah saingan minggu ini dan secara peribadi, saya turut bersimpati dengan kecederaan dialaminya.

“Persaingan di antara kami berdua cukup menarik dan sengit sepanjang musim ini, saya doakan dia cepat pulih dan kembali ke litar semula,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin rakan sepasukan Danial juga mampu memberikan saingan kepadanya begitu juga dengan Alif yang sentiasa konsisten berada di kelompok depan.

“Apa yang penting, saya perlu cukup bersedia dan pasukan juga pastinya akan menyediakan jentera terbaik.

“Berbanding memikirkan gelaran keseluruhan, saya lebih suka untuk fokus kepada perlumbaan sahaja,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Yuzy Racing taruh dua pelumba di Jempol

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 NOV: Pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing bakal mempertaruhkan dua pelumba bagi menghadapi saingan CP150 pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, 17 dan 18 November ini.

Hanya Azroy Hakeem Anuar dan Amirul Ariff Musa dari pasukan itu akan turun beraksi sementara Harith Farhan Baharin diketepikan selepas menjalani pembedahan lutut, baru-baru ini.

Manakala, Md Aiman Azman dan Shahrol Syazraz Shahrol Yuzy pula kekal membawa cabaran dalam kategori CP115.

Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, ketiadaan Harith tidak menjejaskan strategi pasukan dan mengakui beliau berkemungkinan turut tidak dapat beraksi pada pusingan penutup tirai musim 2018 di Johor, Disember depan.

“Kecederaan Harith sudah agak lama maka keputusan melakukan pembedahan ketika ini adalah tepat sebagai persediaan untuk menghadapi musim 2019 nanti dan kita juga harapkan dia dapat pulih dengan segera.

“Cuma strategi awal kami pada minggu ini adalah untuk meletakkan pelumba berpengalaman, Mohd Zaqhwan Zaidi sebagai pengganti di Jempol memandangkan saingan Kejuaraan Seluruh Jepun yang disertainya pada musim ini telah tamat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Zaqhwan terjatuh dan tangannya mengalami kecederaan pada perlumbaan terakhir kategori 1000cc di Jepun, baru-baru ini.

“Maka Zaqhwan tidak dapat beraksi minggu ini dan kemungkinan akan berlumba di Johor nanti sekiranya Harith belum sembuh sepenuhnya,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Fuad yakin pelumba mampu beri cabaran

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 NOV: Pasukan Sic Junior Team AFB Tech Racing yakin akan menampilkan aksi terbaik meskipun ketiadaan pelumba utama, Md Danial Syahmi dalam saingan WIRA KBS Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Pengurusnya, Ahmad Fuad Baharudin yakin pelumba lain seperti Harith Haziq Zamri, Danel El Fahim dan Md Sharul Ezwan Md Sharil mampu memberikan cabaran dan seterusnya dapat menamatkan saingan di atas podium.

Beliau berkata, memang satu kerugian besar kepada pasukan dengan ketiadaan Danial dan juga kepada dirinya sendiri.

“Namun ia tidak boleh dielakkan dalam dunia perlumbaan dan apa sahaja boleh berlaku.

“Kami doakan dia cepat sembuh dan menjadikan insiden ini untuknya bangkit lebih kuat pada masa akan datang.

“Harith antara pelumba pernah menaiki podium pada musim ini meskipun penggal pertama dia beraksi dalam kategori WIRA KBS dan tdak mustahil dia mampu mengulanginya minggu ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata, pasukan tidak menggantikan tempat Danial dengan pelumba lain cuma pada minggu ini, pelumba CP115, Md Idil Fitri akan beraksi dalam kategori WIRA KBS.

Dengan pengalaman beraksi bersama jentera yang lebih laju sebelum ini, katanya, tidak mustahil Md Idil mampu menempatkan diri di atas podium.

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Syafiq kekal positif ke Batu Kawan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 OKT: Dua podium berturut-turut dalam saingan kelas CP115 menjadi bekalan positif buat Md Syafiq Rosli menghadapi pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, pada 27 dan 28 Oktober ini.

Pelumba Elf Koyoko Honda KC Racing itu muncul pemenang tempat ketiga sewaktu pusingan keenam di Perlis seterusnya di Terengganu menyaksikannya muncul pelumba tunggal memacu jentera Honda ke pentas podium.

Syafiq berkata, pada awal musim prestasinya tidak begitu konsisten apabila sekadar menamatkan saingan di kelompok pertengahan.

“Namun keadaan semakin baik pada penghujung musim ini dan saya berharap dapat mengekalkan momentum serupa di Batu Kawan nanti,” katanya.

Selepas tujuh perlumbaan, Syafiq kini menghuni tangga ketujuh keseluruhan dengan 59 mata, namun tidak mampu mencabar takhta keseluruhan kini dipegang Tengku Amirul Haffirudin (163 mata) ketika perlumbaan hanya berbaki tiga pusingan sahaja lagi.

“Peluang untuk mengejar gelaran pendahulu memang sudah tertutup tapi saya berharap dapat menyekat Tengku Amirul daripada terus memenangi perlumbaan atau setidak-tidaknya memperbaiki kedudukan dan dapat berada di atas podium lagi.

“Mudah-mudahan pasukan sekali lagi dapat membekalkan jentera terbaik kerana bukan mudah untuk saya menyekat penguasaan barisan pelumba Yamaha yang menguasai perlumbaan musim ini,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Tengku Amirul sasar kemenangan keenam

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 OKT: Tengku Amirul Hafiruddin menyasarkan kemenangan keenam dan melebarkan jurang pendahulu keseluruhan CP115 apabila beraksi di halaman sendiri pada pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kuala Terengganu, Terengganu, 5 dan 6 Oktober ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu meraih lima gelaran juara daripada enam perlumbaan musim ini dan hanya sekali tamat di kedudukan keempat sewaktu pusingan keempat di Temerloh, Pahang.

Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu kini selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, 52 mata mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez yang berada di kedudukan kedua (86 mata) manakala Md Haziq Md Fairues ketiga (79 mata).

Tengku Amirul berkata, beliau gembira kerana selepas dua tahun, perlumbaan Cub Prix kembali ke Kuala Terengganu dan dapat beraksi di hadapan keluarga serta penyokongnya dengan harapan mengulangi pencapaian menaiki podium di sini, pada 2015.

“Walaupun memenangi lima perlumbaan setakat ini, saya tidak mahu terlalu yakin kerana perlumbaan CP115 ini sentiasa sengit dan tidak diduga.

“Apa yang pasti, saya akan memberikan yang terbaik dan yakin pasukan juga akan menyediakan jentera terbaik untuk saya minggu ini,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Kasma buru podium di Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kasma Daniel Kasmayuddin belum mengalah sebaliknya berazam mengakhiri episod malang dua pusingan lalu menghadapi saingan pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, Sabtu dan Ahad ini.

Juara bertahan CP150 dari PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu memulakan musim ini dengan cemerlang apabila meraih kemenangan sewaktu pusingan pembukaan di Tangkak, Johor April lalu dan berjaya mengekal momentum podium pada perlumbaan berikutnya.

Namun, insiden kemalangan pada pusingan ke 4 di Temerloh dan pusingan selepas itu di Teluk Intan menyaksikannya gagal menamatkan saingan di kelompok depan sekali gus kini sekadar menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan 70 mata.

Kasma berkata, keputusan ketika ini tidak menggambarkan prestasi secara keseluruhan dan pasukan masih kekal kompetitif, namun tidak menafikan persaingan musim ini jauh lebih sengit berbanding musim lalu.

“Di Temerloh, saya terjatuh dan berjaya bangkit untuk mengejar dan tamat di kedudukan ketujuh.

“Begitu juga di Teluk Intan, saya terjatuh dari awal perlumbaan dan walaupun berjaya menyambung kembali tetapi jentera mengalami masalah dan tidak mampu mengejar pelumba di depan,” katanya.

Kedudukan pendahulu setakat ini menjadi milik Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) dengan 115 mata diikuti rakan sepasukan, Mohd Hafiz Nor Azman (74 mata).

Kasma berkata, masih terlalu awal untuknya mengalah kerana saingan masih panjang dan apa saja boleh berlaku.

“Fokus utama adalah untuk kembali ke podium minggu ini,” katanya.

Sebagai rekod, Kasma adalah pemenang kategori CP130 ketika kali terakhir perlumbaan berlangsung di Kangar pada 2016.

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: CKJ Racing Takluk Teluk Intan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing meneruskan dominasi musim ini dengan satu lagi keputusan satu-dua melalui gandingan Ahmad Afif Amran dan Mohd Hafiz Nor Azman pada pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, semalam.

Litar sepanjang 1.305 km itu jelas sesuai dengan gaya tunggangan Afif yang mantap.

Bermula dari petak pertama setelah menguasai sesi SuperPole, Afif langsung tidak digugat pesaingnya sepanjang 20 pusingan perlumbaan dan pelumba dari Terengganu itu berjaya memperoleh kemenangan ketiga musim ini dengan catatan masa 17’15.623s.

Rakan sepasukan, Mohd Hafiz berjaya menaiki podium di tempat kedua dengan masa 17’22.237s. diikuti pemenang tempat ketiga, Mohd Hafiza Rofa dari ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 17’24.225s.

Sementara pasukan CKJ meraikan kejayaan satu-dua yang kedua musim ini, pasukan digeruni ramai, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pula bergelut dengan pusingan paling mencabar dan keputusan terbaik diperoleh menerusi Mohd Ramdan Rosli yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam di belakang Rozaiman Said dan Helmi Azman.

Kerosakan mekanikal menyebabkan Mohd Akid Aziz terpaksa menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama sementara Kasma Daniel Kasmayuddin juga terjatuh di selekoh pertama pada pusingan permulaan.

Afif berkata, jentera pasukan begitu mantap musim ini dan ia adalah hasil titik peluh dan usaha gigih kru kejuruteraan pasukan itu.

“Saya begitu yakin dengan jentera kami hasilkan bersama dan ketika dalam perlumbaan, saya hanya menumpukan sepenuh perhatian untuk mengekalkan rentak perlumbaan tanpa menghiraukan apa berlaku di belakang.

“Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua dalam pasukan,” katanya.

Afif, yang telah menaiki podium sebanyak lima kali berturut-turut musim ini mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan 115 mata manakala Mohd Hafiz naik ke tangga kedua (74 mata) sekali gus menolak Kasma Daniel Kasmayuddin turun ke tangga ketiga (70 mata).

Sementara itu, Tengku Amirul Hafiruddin kembali gah ke podium teratas kategori CP115 apabila berjaya mencatat kemenangan dengan catatan masa 13’50.314s iaitu 3.721 saat di hadapan pesaing di kelompok kedua.

Ahmad Syukran Aizat pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 13’54.035s diikuti Mohd Fareez Afeez di tempat ketiga (13’55.254s).

Kemenangan terbaharu ini memberi kelebihan 40 mata kepada Tengku Amirul dengan pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas dengan 113 mata manakala Mohd Fareez Afeez naik ke tangga kedua (73 mata) dan Mohd Haziq Mohd Fairues jatuh ke tangga ketiga (71 mata).

Dalam kategori Wira KBS pula, Mohd Syarifuddin Azman berjaya meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini di mana pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing itu memulakan perlumbaan dari garisan pertama, berjaya merampas holeshot dari pelumba di petak pertama iaitu Mohd Danial Syahmi dari pasukan SIC Junior Team AFB TECH Racing.

Syarifuddin membuktikan beliau mampu menangani tentangan hebat Danial Syahmi hingga menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa 11’15.080s.

Danial Syahmi terpaksa akur di tempat kedua dengan catatan masa 11’15.683s manakala tempat ketiga disambar Mohd Alif Ashraf Tahiruddin (11’15.700s).

Namun demikian, Danial Syahmi mempamerkan prestasi cukup konsisten musim ini, berjaya mengekalkan kedudukannya di tangga teratas dengan 97 mata diikuti Mohd Alif Ashraff Tahiruddin di tangga kedua (72 mata) dan Mohd Fadlyshah Redzuan, ketiga (60 mata).

Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS akan bersambung dengan pusingan keenam di Kangar, Perlis pada 22 dan 23 September nanti.

KEPUTUSAN PUSINGAN 5, TELUK INTAN, PERAK

CP150

1. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 17:15.623s
2. Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 17:22.237s
3. Md Hafiza Rofa (TRG) ONEXOX TKKR Racing Team 17:24.225s
4. Md Rozaiman Md Said (PNG) AHM Motorsports Yamaha Racing 17:41.015s
5. Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 17:41.693s

Kedudukan Keseluruhan

1. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 115 mata
2. Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 74 mata
3. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 70 mata
4. Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 45 mata
5. Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 40 mata

CP115

1. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:50.314s
2. Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 13:54.035s
3. Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:55.254s
4. Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 13:55.801s
5. Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:56.067s

Kedudukan Keseluruhan

1. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 113 mata
2. Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 73 mata
3. Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 71 mata
4. Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 70 mata
5. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 55 mata

WIRA KBS

1. Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 11:15.080s
2. Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:15.683s
3. Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 11:15.700s
4. Md Harith Haziq Zamri (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:20.920s
5. Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 11:22.781s

 

Kedudukan Keseluruhan

1. Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 97 mata
2. Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 72 mata
3. Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 60 mata
4. Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 58 mata
5. Md Harith Haziq Zamri (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 42 mata

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Helmi azam julang Honda

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Mohd Helmi Azman berazam menjulang Honda dan menyekat dominasi Yamaha daripada terus menguasai keseluruhan pentas podium saingan CP150 pada perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, hujung minggu ini.

Pelumba Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing itu mencipta kejutan apabila berjaya mengungguli sesi Superpole pada pusingan lalu di Temerloh sekali gus muncul pelumba Honda pertama melakukannya selepas kali terakhir dicatat Mohd Zaqhwan Zaidi sewaktu perlumbaan pertama CP150 diperkenalkan pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, permulaan tidak begitu baik dan sekadar menyaksikan Helmi sedikit ketinggalan dan menamatkan perlumbaan akhir di tempat keempat yang juga pencapaian terbaiknya pada musim ini.

Helmi beralih ke jentera Honda pada musim ini terus mempamer aksi konsisten dengan berada di kelompok enam pelumba terbaik sepanjang tiga pusingan lalu dan kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan mengumpul 34 mata.

“Apa ditunjukkan sewaktu di Temerloh menunjukkan kami berada di landasan tepat ketika ini.

“Mungkin faktor litar juga banyak membantu jentera kami mencapai tahap optimum, namun saya harap prestasi dapat dikekalkan di Teluk Intan,” katanya yang juga pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Helmi berkata, matlamatnya kini adalah untuk cuba mencari tempat di atas podium yang pertama buat pasukan dan Honda serta menyekat dominasi pelumba dari pasukan menggunakan jentera Yamaha.