Categories
NASIONAL

Gempa bumi Sulawesi: Tiada rakyat Malaysia terjejas

KUALA LUMPUR 29 SEPT: Sekurang-kurangnya seorang maut dan 10 lagi cedera dalam gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter yang melanda Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia pada pukul 5.02 petang waktu tempatan (6.02 waktu Malaysia).

Wisma Putra dalam satu kenyataan malam tadi, menyatakan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung akibat kejadian gempa bumi itu.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar di Jakarta dan Konsul Kehormat di Makassar telah berhubung dengan para pelajar Malaysia yang berada di sekitar Makassar bagi memastikan keselamatan mereka,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia diminta supaya sentiasa tenang dan terus mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini berikutan masih terdapat beberapa gempa susulan.

Rakyat Malaysia yang berada di sekitar Sulawesi Tengah yang memerlukan bantuan konsular hendaklah menghubungi pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi emel [email protected] atau talian +62 813 8081 3036.

SUMBER: BERNAMA