Categories
SELANGOR

Karnival Komuniti dedahkan masyarakat peranan UNISEL

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 1 SEPT: Karnival Komuniti dan Hari Terbuka Universiti Selangor (UNISEL) menjadi wadah tepat kepada masyarakat untuk mengetahui secara inklusif peranan dan sumbangan dimainkan universiti itu.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hal itu kerana program terbabit turut memberi ruang bagi memperjelaskan kepada masyarakat bahawa institusi pengajian berkenaan amat menggalakkan pendidikan untuk semua.

“Saya menyifatkan sebagai program yang cukup bagus kerana selain memaparkan mengenai UNISEL, ia pada masa sama mempamerkan agensi-agensi berkepentingan lain yang terdapat di Selangor tentang tawaran yang mereka miliki untuk kepentingan masyarakat.

“Ia juga sebahagian daripada program sumbangan kepada masyarakat dengan hasrat untuk mengajak orang ramai bersama berkumpul menjayakannya,” katanya ketika ditemui SelangorKini, di sini, petang ini.

Mengulas lanjut berhubung penganjuran di luar kampus, Prof Redzuan berkata, ia bertujuan menyebarluas kebolehan UNISEL sekali gus mendukung prinsip ‘Peneraju Transformasi’.

Katanya, penglibatan beberapa agensi terbabit sepanjang karnival itu turut memberi input yang signifikan dan berguna kepada masyarakat.

“Contohnya melalui Slot@Santai “Dadah 1001 Masalah” boleh menimbulkan kesedaran tentang gejala sosial dan dadah yang harus ditolak oleh masyarakat.

Karnival edisi kelima itu merupakan projek tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat sekitar khususnya di Selangor, susulan kejayaan penganjuran empat edisi sebelum ini.