Categories
NASIONAL SUKANKINI

Mini Cub Prix KBS lahir bakat sukan permotoran

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 14 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited terhadap pembangunan sukan termasuk permotoran dengan pengenalan perlumbaan Mini Cub Prix KBS.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pelancaran perlumbaan itu adalah selaras dengan matlamat kementerian membangunkan sukan permotoran di Malaysia.

“KBS memberi sokongan penuh terhadap pembangunan sukan permotoran di negara ini dan ia dapat dilihat dengan komitmen kementerian dari peringkat akar umbi hingga ke tahap MotoGP.

“Kementerian ingin melihat lebih ramai belia mendapat faedah daripada pelbagai program sukan dilaksanakan berbanding dengan beberapa elit terpilih,” katanya pada majlis pelancaran Mini Cub Prix KBS di sini, semalam.

Dengan itu, beliau berkata, KBS berharap dapat membuka ruang dan memberi peluang kepada lebih ramai generasi muda untuk merealisasikan impian menjadi pelumba profesional.

Sementara itu, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg menyifatkan Mini Cub Prix KBS sebagai landasan melengkapkan eko sistem Cub Prix untuk pelumba Malaysia.

“Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) berjaya dianjurkan dan menjadi tumpuan dalam industri perlumbaan motosikal dengan menyediakan dua platform ini pelumba negara dapat membangunkan kerjaya serta kami membantu mewujudkan industri lumba motosikal berkembang maju di Malaysia.

“Dengan pelancaran Mini Cub Prix KBS, kami menambah platform lain kepada eko sistem serta menyempurnakan proses pengenalan bakat,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran perlumbaan itu sangat bermakna kerana Kejuaraan Cub Prix Malaysia meraikan ulang tahun ke-25 musim ini.

Mini Cub Prix KBS adalah perlumbaan versi motosikal poket iaitu rogram perintis untuk penunggang junior berumur enam hingga 12 tahun.