Categories
AGENDA SUKANKINI

Latihan berpusat secara kuarantin atlet negara diteruskan – KBS

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Latihan pusat sepenuh masa melibatkan atlet negara yang sedang berjalan ketika ini di beberapa venue sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan yang menggunakan pendekatan secara kuarantin akan diteruskan dengan kawalan pergerakan yang lebih ketat.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi memaklumkan ia melibatkan venue di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil; Kompleks MSN Taman Keramat; Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara; Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan dan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Pihak kementerian turut meminta orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi sektor sukan dan rekreasi di kawasan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas semalam memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Pelaksanaan PKP berkenaan melibatkan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah.

Muhyiddin turut mengumumkan PKPB akan dilaksanakan di enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

PKPP pula akan terus dijalankan di Sarawak, manakala negeri Perlis bakal melaksanakan PKPP dan kesemua peraturan berkenaan akan berkuat kuasa bermula dari 13 Jan hingga 26 Jan ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

KBS yakin program sukan kembali rancak tahun depan

PASIR MAS, 27 DIS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin aktiviti sukan yang suram pada tahun ini akan kembali rancak pada tahun depan meskipun negara masih berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Timbalan Menterinya Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pada masa sama kementeriannya akan memastikan segala tatacara operasi piawai (SOP) tidak diabaikan jika kerajaan bersetuju membenarkan beberapa acara sukan itu diadakan.

“Kita (KBS) sedang melihat segala kemungkinan sebelum menganjurkan acara-acara sukan. Disebabkan itu, kita telah memperkenalkan model gelembung sukan dan tidak membuka ruang untuk penonton bagi sesetengah sukan.

“KBS melihat bagaimana rakyat telah dapat menerima perkara baharu ketika ini namun kita yakin acara sukan akan kembali rancak pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sukarelawan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Kelantan di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di sini hari ini.

Katanya model gelembung sukan yang akan diperkenalkan oleh KBS awal Januari depan ialah dengan penganjuran acara sukan permotoran percubaan di Litar Antarabangsa Sepang apabila pasukan MotoGP dari luar negara akan datang melakukan percubaan di litar tersebut.

Beliau berkata menerusi model gelembung sukan itu, penunggang tidak boleh keluar dari kawasan tersebut selain jumlah kehadiran penonton juga terhad.

“Penganjuran percubaan MotoGP itu merupakan satu eksperimen sebelum dijalankan terhadap acara sukan lain dan kita mahu melihat bagaimana rakyat dapat mengadaptasi kelaziman baharu melalui sukan,” katanya.

Ditanya mengenai penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2026, Wan Ahmad Fayhsal berkata kerajaan pusat melalui kementeriannya akan membantu dalam pembinaan beberapa venue utama seperti stadium dan kompleks sukan.

“Kita akan tunggu peruntukan yang akan dibentangkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 pada penghujung Januari depan.

“Kos keseluruhan penganjuran Sukma 2026 masih dalam perbincangan dan KBS komited untuk membantu Kelantan terutamanya dalam aspek pembinaan infrastruktur baharu di negeri ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPKT cadang kerjasama KBS, latih penduduk PPR sertai sukan

PETALING JAYA, 19 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk jalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melatih penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berminat untuk menjadi jurulatih sukan.

Ketua Setiausaha KPKT, Mohammad Mentek berkata, cadangan itu ekoran daripada kerja menaik taraf gelanggang sukan di tiga PPR membabitkan PPR Lembah Subang 1, Seri Cempaka dan Perumahan Awam Seri Kedah.

Katanya, beliau optimis apabila gelanggang sukan itu sudah berwajah baharu ia akan memberi semangat kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti sukan dengan lebih aktif.

“Melalui program itu kelak, penduduk PPR yang berminat akan dilatih oleh KBS untuk menjadi jurulatih sukan contohnya badminton dan futsal seterusnya akan melatih belia di PPR masing-masing.

“Menerusi usaha ini, secara tidak langsung kita dapat membudayakan ‘Gaya Hidup Sihat’ dan seterusnya kita juga boleh menganjurkan Karnival Sukan Antara PPR yang mampu mengintegrasikan hubungan komuniti melalui aktiviti sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah sempena Program Sayangi Rumahku di PPR Lembah Subang di sini, hari ini.

Terdahulu, gelanggang sukan itu dinaik taraf menerusi inisiatif EdgeProp.my-Paramount Property Sayangi Rumahku membabitkan kerjasama tiga sektor swasta antaranya EdgeProp Malaysia, Paramount Property Development Sdn Bhd dan Nippon Paint Malaysia.

Inisiatif EdgeProp.my-Paramount Property Sayangi Rumahku ditubuhkan bagi menyokong Dasar Komuniti Negara (DKN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Februari lalu.

Dasar ini diperkenalkan KPKT untuk mewujudkan komuniti dan generasi mampan khususnya di kawasan perumahan berstrata serta memberi manfaat buat golongan B40.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SUKANKINI

KBS keluar piawaian agih peruntukan pembangunan sukan

BEAUFORT, 25 MEI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan satu piawaian untuk mengagihkan peruntukan RM100 juta yang diperuntukan untuk pembangunan sukan di kawasan luar bandar.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, piawaian yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat itu, bertujuan mendemokrasikan cara permohonan peruntukan pembangunan sukan berkenaan.

“Kita mahu mendemokrasikan cara penyaluran peruntukan ini… kita mahu permohonan bukan sahaja datang daripada pimpinan tertinggi.

“Kita mahukan agar permohonan juga datang daripada ketua-ketua kampung atau ketua-ketua persatuan. Cuma mereka perlu tunjukkan bahawa itu memang kawasan luar bandar, dan tidak ada infrastruktur sukan yang mencukupi di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis Konsultasi KBS bersama belia di sini, malam ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai projek pembinaan kompleks sukan di Kuala Penyu, Syed Saddiq berkata sebelum ini projek berkenaan telah dibatalkan kerana terdapat masalah tanah.

“Anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun telah menyuarakan perkara ini sebelum ini, dan saya berterima kasih kepada beliau kerana sangat prihatin dengan perkembangan sukan di kawasan ini.

“Saya dimaklumkan bahawa isu tanah berkenaan telah selesai, dan mereka telah mendapatkan tapak tanah baharu membina kompleks sukan berkenaan. Oleh itu kementerian akan memastikan projek pembinaan kompleks sukan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

KBS cadang perkenal modul budaya Malaysia kepada atlet, sukarelawan

BEIJING, 18 MEI: Bagi melahirkan atlet berkualiti yang membawa nama baik negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang memperkenalkan modul budaya Malaysia sebagai pengetahuan tambahan kepada atlet negara.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ini kerana setiap atlet yang mewakili negara merupakan duta kecil Malaysia.

“Sebagai contoh, sekiranya mereka (atlet) mewakili negara di temasya sukan antarabangsa, pasti akan ada rakan atlet negara luar yang bertanya mengenai Malaysia, jadi dengan adanya pengetahuan asas ini, mereka tidak kekok untuk menerangkannya.

“Selain itu, ia menjadi salah satu platform yang baik untuk mempamerkan budaya Malaysia yang penuh dengan kesantunan dan kepelbagaian budaya kepada negara luar,” katanya kepada Bernama selepas sesi ramah mesra bersama pelajar Malaysia di Beijing pada majlis berbuka puasa di Kedutaan Malaysia, malam ini.

Majlis yang dihadiri 100 pelajar itu turut disertai wakil kedutaan Malaysia di China.

Ketika ditanya antara initipati modul itu, Sim berkata pihaknya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan agensi berkaitan bagi memperincikan inisiatif tersebut.

“Selain atlet, kita turut merancang memperkenal modul ini kepada kumpulan sukarelawan MYCorps di bawah KBS.

“Aktiviti sukarelawan MYCorps bukan hanya tertumpu dalam negara sahaja, tetapi ia meliputi negara luar. Jadi dengan membekalkan modul ini kepada anak muda kita, mereka pasti akan membawa identiti Malaysia, terutamanya budaya kita ke seluruh dunia,” katanya.

Sim dalam rangka lawatan kerja enam hari ke Beijing bermula Selasa, bagi mewakili kerajaan pada ‘Persidangan mengenai Dailog Ketamadunan Asia’ yang bertemakan ‘Pertukaran dan Pembelajaran Bersama Dalam Kalangan Tamadun Asia dan Komuniti Dengan Masa Hadapan Bersama’.

Dalam lawatan itu, beliau turut melawat Sekolah Sukan Beijing Shi Cha Hai dan Litar Goldenport Park Beijing, yang antara lain bagi meneroka kerjasama dalam bidang kesukanan dan membina perkongsian baharu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

‘Reben Kuning’ usaha kerajaaan bantu belia bekas banduan dan bermasalah

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Projek Reben Kuning yang bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan terutama golongan belia, selain belia bermasalah menjadi bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan belia.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Oktober tahun lalu telah memperkenalkan projek itu bagi memberikan peluang kedua buat bekas banduan daripada kalangan belia dan mereka daripada sekolah pemulihan akhlak untuk diterima kembali ke pangkuan masyarakat.

Inisiatif dengan kerjasama Jabatan Penjara dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan memberikan ruang bagi golongan tersebut untuk mendapat peluang pekerjaan, pendidikan dan hidup dalam masyarakat tanpa diskriminasi atau pandangan serong.

Usaha itu secara langsung membantu belia terlibat untuk kembali dan berbakti kepada masyarakat tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu yang tidak seharusnya menjadi bebanan buat mereka.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata, masalah utama buat belia bekas banduan adalah untuk mendapatkan semula kepercayaan daripada masyarakat, majikan dan malah keluarga mereka sendiri.

Oleh itu, katanya, sokongan setiap lapisan masyarakat penting bagi mengembalikan keyakinan diri pada golongan tersebut dan memberi jaminan kepada mereka yang kesaksamaan akan diberikan ketika mereka kembali di luar.

Malah menurutnya, MBM yang terlibat sama dalam Projek Reben Kuning turut membantu dengan menyediakan ‘Job Coaching’ kepada banduan muda sebelum mereka keluar dari penjara.

“Kita bawa majikan berpotensi untuk masuk terus ke dalam penjara bagi menerangkan mengenai skop pekerjaan dan keperluan industri kepada golongan tersebut.

“Malah ada juga majikan tersebut yang terus menawarkan pekerjaan kepada mereka, jadi sebelum mereka keluar lagi dah secure kerja dan apabila keluar terus boleh mula bekerja,” katanya kepada Bernama.

Pakatan Harapan yang mula menerajui kerajaan Persekutuan sejak 9 Mei tahun lalu sememangnya memberikan perhatian kepada bekas banduan dalam dasar mereka, dan ini terbukti dalam Belanjawan 2019 yang memberi pemotongan cukai tambahan ke atas majikan yang menggaji golongan itu.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, Projek Reben Kuning penting dalam memastikan belia bekas banduan terus kekal di jalan yang lurus dan tidak kembali semula melakukan jenayah.

“Kita perlu pastikan mereka ini kekal di jalan yang baik dengan menyediakan peluang mencari pendapatan kerana jika tidak, jaringan jenayah yang pernah disertai mereka dulu sedia untuk menerima mereka kembali.

“Tidak susah (untuk menerima bekas banduan), majikan cuma perlu sesuaikan tempat kerja kepada golongan ini sama seperti majikan menyesuaikan tempat kerja mereka untuk golongan orang kurang upaya. Mungkin majikan boleh mulakan dengan kerja yang ringan kepada mereka, jika sudah baik boleh beralih kepada lebih berat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan ke Program Felo Perdana dibuka hari ini

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 15 APR: Sebagai usaha melahirkan pelapis kepimpinan negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru belia memohon ke Program Felo Perdana yang dibuka bermula hari ini.

Program yang sudah berlangsung sejak 2013 itu bertujuan memberi peluang kepada anak muda mendapatkan bimbingan dan latihan secara terus daripada barisan Menteri Kabinet sekali gus mendedahkan kepada mereka perjalanan urus tadbir negara.

Menurut entrinya di Twitter, permohonan dibuka kepada warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 30 tahun ke bawah dan tarikh tutup pemohonan pada 14 Mei 2019.

Mereka yang ingin memohon, perlu menyediakan resume terkini, gambar berukuran pasport dan esei tidak melebih 500 patah perkataan mengenai “Importance of Youth Empowerment Post 2020 for A Better Malaysia”.

Tempoh program itu bagi mahasiswa adalah enam minggu sehingga tiga bulan, manakala untuk graduan adalah tiga hingga enam bulan.

Permohonan boleh dibuat dengan melayari laman rasmi http://myfelo.kbs.gov.my.

Tahun lalu, seramai 60 graduan dari dalam dan luar negara ditempatkan di 27 kementerian pada program terbabit.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Atlet mampu capai prestasi terbaik di Olimpik 2020 – KBS

BUKIT MERTAJAM, 14 APR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya kontinjen negara mampu mencapai prestasi terbaik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah penstrukturan semula program latihan sukan berprestasi tinggi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa memberi sokongan penuh kepada atlet kebangsaan, malah peruntukan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah dipertingkatkan agar kontinjen negara dapat mencapai matlamat tersebut.

“Melalui penstrukturan semula ini, apa kita mahu ialah peningkatan prestasi atlet. Kemudian, kita tidak berhenti memberi fokus pada Sukan Olimpik Tokyo sahaja. Kita mahu menjalankan strategi jangka panjang untuk bersedia menghadapi temasya sukan seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas merasmikan program Semai Harapan di Taman Eko Rimba di sini hari ini.

Steven berkata, KBS sentiasa menggalakkan dan akan memberi sokonggan kepada persatuan sukan tempatan untuk terus berusaha menganjurkan pelbagai kejohanan sukan peringkat antarabangsa di negara ini.

“Sebagai contoh, Le Tour de Langkawi (LTDL) berjaya membuktikan Malaysia mampu menjadi hab sukan pelancongan antarabangsa. Oleh itu kita menggalakkan agar lebih banyak temasya sukan antarabangsa diadakan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, program Semai Harapan anjuran Pejabat Parlimen Bukit Mertajam dengan kerjasama Junior Chamber International (JCI) bertujuan untuk menanam 1,000 pokok setahun dalam jangka masa lima tahun.

“Program menanam pokok pada kali ini memfokuskan penglibatan daripada kanak-kanak untuk memupuk semangat cintakan negeri dan negara, mengajar anak-anak mengenai kepentingan pembangunan yang seimbang.

“Selain itu, ia juga untuk mengajar generasi muda melabur pada masa hadapan, tidak hanya boleh fikirkan kepentingan dalam jangka pendek,” katanya.

Program itu disertai kira-kira 100 murid berumur sekitar tujuh hingga 12 tahun daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beng Teik dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam.

Steven berkata, inisiatif itu turut dibantu Jabatan Perhutanan Pulau Pinang yang bertanggungjawab menyediakan benih serta peralatan penanaman benih serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang bertanggungjawab menempatkan anak-anak pokok daripada penanaman benih hari ini di kawasan-kawasan sekitar Bukit Mertajam.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bekas pegawai kanan KBS gagal ketepi hakim dari dengar kesnya

KUALA LUMPUR, 5 APR: Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi daripada mendengar perbicaraan kesnya, dan memindahkan kes itu untuk didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baharu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusof juga memerintahkan perbicaraan kes itu didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang sama sehingga kes selesai.

Dalam penghakimannya, Rozana berkata, keputusan isu penarikan seseorang hakim bicara hanya boleh dicabar atas alasan berat sebelah sebenar atau bahaya berat sebelah sebenar dan bukan atas alasan berat sebelah yang jelas.

“Alasan kemungkinan wujud ‘real danger of bias’ di hadapan hakim bicara yang sama tidak mempunyai merit, oleh itu permohonan ini ditolak dan saya arahkan perbicaraan dijalankan di hadapan hakim yang sama sehingga selesai,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod, 63 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan, dan sekiranya permohonan itu dibenarkan ia akan menyebabkan pihak-pihak terlibat mengalami lebih banyak pembaziran kos dan masa.

“Berlaku pembaziran untuk mendengar kes pemohon (Otman) sekiranya hakim baru yang ditugaskan unuk mendengar kes ini memutuskan untuk buat perbicaraan ‘de novo’ dalam kes ini,” katanya.

Otman, 60, memfailkan permohonan untuk mengetepikan hakim Azura Alwi daripada mendengar perbicaraan kesnya dan memindahkan kes itu untuk didengar oleh hakim Mahkamah Sesyen yang lain pada 25 Jan 2019 menerusi penguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Permohonan itu dibuat dengan alasan wujudnya kemungkinan keadaan bias yang benar daripada hakim Azura memandangkan semasa prosiding pengakuan salah tertuduh kedua iaitu Abdul Gafar Abdul Rahman pada 23 Nov 2018, fakta kes telah dibacakan dan dikemukakan di hadapannya.

Otman juga berkata, haknya akan diprejudiskan dengan teruk dan dinafikan satu perbicaraan yang adil sekiranya perbicaraan didengar di hadapan hakim bicara sama.

Semasa prosiding di hadapan hakim Azura, Abdul Gafar, 45, dihukum penjara setahun dari tarikh jatuh hukum pada 23 Nov 2018, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan memindahkan wang ke akaun milik Otman, manakala isterinya Siti Rohanah Hussien, 45, seorang suri rumah dilepas tanpa dibebaskan dari tuduhan sama.

Pasangan suami isteri itu dituduh atas 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa yang sama.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 sehingga 11 Dis 2015.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya AMLA Lee Keng Fatt dan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abdul Rashid Sulaiman.

Kes itu masih di peringkat perbicaraan saksi pendakwaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Mini Cub Prix KBS lahir bakat sukan permotoran

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 14 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited terhadap pembangunan sukan termasuk permotoran dengan pengenalan perlumbaan Mini Cub Prix KBS.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pelancaran perlumbaan itu adalah selaras dengan matlamat kementerian membangunkan sukan permotoran di Malaysia.

“KBS memberi sokongan penuh terhadap pembangunan sukan permotoran di negara ini dan ia dapat dilihat dengan komitmen kementerian dari peringkat akar umbi hingga ke tahap MotoGP.

“Kementerian ingin melihat lebih ramai belia mendapat faedah daripada pelbagai program sukan dilaksanakan berbanding dengan beberapa elit terpilih,” katanya pada majlis pelancaran Mini Cub Prix KBS di sini, semalam.

Dengan itu, beliau berkata, KBS berharap dapat membuka ruang dan memberi peluang kepada lebih ramai generasi muda untuk merealisasikan impian menjadi pelumba profesional.

Sementara itu, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg menyifatkan Mini Cub Prix KBS sebagai landasan melengkapkan eko sistem Cub Prix untuk pelumba Malaysia.

“Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) berjaya dianjurkan dan menjadi tumpuan dalam industri perlumbaan motosikal dengan menyediakan dua platform ini pelumba negara dapat membangunkan kerjaya serta kami membantu mewujudkan industri lumba motosikal berkembang maju di Malaysia.

“Dengan pelancaran Mini Cub Prix KBS, kami menambah platform lain kepada eko sistem serta menyempurnakan proses pengenalan bakat,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran perlumbaan itu sangat bermakna kerana Kejuaraan Cub Prix Malaysia meraikan ulang tahun ke-25 musim ini.

Mini Cub Prix KBS adalah perlumbaan versi motosikal poket iaitu rogram perintis untuk penunggang junior berumur enam hingga 12 tahun.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA tingkatkan Stadium Shah Alam jadi ‘venue’ terbaik

stadium

SHAH ALAM 19 OGOS : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sentiasa meningkatkan kualiti Stadium Shah Alam agar menjadi stadium terbaik di Malaysia.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, MBSA mengambil berat kemudahan stadium berkenaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik apabila diperlukan.

“MBSA sentiasa bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah pertandingan bola sepak jika diperlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui melawat stadium berkenaan.

Katanya, MBSA tiada halangan jika stadium berkenaan dipilih menjadi ‘venue’ utama perlawanan bola sepak domestik dan antarabangsa berikutan penutupan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

“Stadium Shah Alam kini menjadi tumpuan kepada persatuan sukan dan juga pihak pengurusan acara untuk menganjurkan pertandingan bola sepak bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Turut hadir, Jamsari Khamin, Pengurus Bahagian Pengurusan Stadium, Pengarah-pengarah jabatan serta ahli-ahli Majlis MBSA.

Stadium yang berusia 19 tahun itu bakal menjadi tuan rumah kepada perlawanan akhir Piala Malaysia, Piala Asian (AFC) serta Piala Sultan Selangor.

Ini berikutan arahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menutup SNBJ serta merta bagi kerja-kerja baik pulih padang stadium berkenaan yang dijangka bermula selewat-lewatnya awal November ini.

Berkeluasan 155,000 kaki persegi, stadium berkenaan boleh memuatkan seramai 80,000 penonton dalam satu-satu masa.

Mengulas lanjut, Mohd Jaafar berkata, MBSA bersedia membantu daripada aspek kepakaran penjagaan padang jika diperlukan pihak SNBJ.

– HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kit Siang Dakwa Menteri Dalam Negeri Ada Kes Jenayah – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 06062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih tidak membersihkan namanya daripada tuduhan serangan yang disabitkan ke atasnya pada 2006.

2. Lim Kit Siang menyambut baik pendakwaan terhadap anggota polis yang terlibat dalam kes kematian N Dharmendran.

3) Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat bagi membincangkan kerjasama dan halatuju pembangunan sukan di negeri itu.