Categories
SELANGOR

Selangor catat 355 perkahwinan bawah umur tempoh 2013-2018

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 SEPT: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) merekodkan sebanyak 419 permohonan perkahwinan bawah umur bagi tempoh tahun 2013 hingga Jun 2018.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu sebanyak 355 permohonan diluluskan oleh Mahkamah Syariah di negeri itu.

“Manakala Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pula merekodkan 6,268 perkahwinan bawah umur orang Islam di seluruh negara bagi tempoh 2010 hingga 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU itu pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula merekodkan 2,775 perkahwinan bawah umur bagi orang bukan Islam.

Katanya, pada masa ini Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menetapkan had umur perkahwinan bagi wanita hendaklah berumur 16 tahun dan lelaki 18 tahun.

Bagaimanapun, RUU itu dipinda menerusi RUU Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2018 bagi menyelaraskan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.