Categories
PBT SELANGOR

Statistik denggi di kawasan MPSJ menurun

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 4 SEPT: Statistik kes denggi di zon sekitar Subang Jaya dilaporkan menurun 40 peratus, berbanding tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohammad Zulkurnain Che Ali berkata, hal itu didorong sikap masyarakat yang mulai sedar berkenaan bahaya denggi.

“Sebanyak 2,945 kes denggi di zon sekitar Subang Jaya direkod membabitkan dua kematian, sehingga tahun ini, menurun berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Generasi Sihat dan Merdeka MPSJ, di Surf Deck, Taman Tema Sunway Lagoon, di sini, hari ini.

Justeru, Mohammad Zulkurnain berharap masyarakat terus sedar dan berusaha meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit satu hari untuk membersihkan kawasan persekitaran bagi mengelak Aedes merebak.

“Bersesuaian dengan program hari ini, saya optimis guru dapat memupuk pelajar untuk bersama menjaga kebersihan dan memberi kesedaran kepada mereka berkenaan bahaya denggi.

“Sebenarnya untuk mengelak kes denggi daripada berlarutan bukan sesuatu yang sukar jika anda semua berusaha menghilangkan atau menghapuskan pembiakan jentik-jentik,” katanya.