Categories
SELANGOR

1,500 sertai jalan santai 10,000 langkah MDKL

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LANGAT, 24 OKT: Acara berjalan santai 10,000 langkah anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di Dataran Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (PULAPES) di sini, Ahad lalu disertai kira-kira 1,500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, acara tahunan itu terus dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan amalan gaya hidup sihat dan cergas.

“Acara memasuki edisi ke 5 bermula 2014 berjaya menarik penyertaan penduduk sekitar dari pelbagai umur serta pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam, Institut Pengajian Tinggi Swasta, dan Sekolah Menengah.

“Secara tidak langsung acara ini turut mempromosikan kawasan sekitar Bukit Jugra sebagai kawasan rekreasi keluarga menjadi tumpuan orang awam saban hari,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Bukit Jugra dikunjungi penduduk di sekitar kawasan terbabit mula mendaki serta berjogging selain menikmati pemandangan indah menghadap Selat Melaka dari Pusat Luncur Udara Bukit Jugra.

“Dalam masa sama peserta turut menikmati pemandangan peserta Kejohanan Paragliding Terbuka Jugra 2018 melakukan penerbangan di dalam kejohanan berkenaan,” katanya.