Categories
NASIONAL

Kerajaan akui aliran tunai FELDA kritikal

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan FELDA mengalami masalah aliran tunai kritikal kerana memiliki baki pinjaman RM8 bilion dengan institusi kewangan, sehingga Jun lalu.

Justeru katanya, kerajaan kini sedang menyediakan pelan pemulihan FELDA khususnya bagi menstruktur semula hutang dengan institusi kewangan.

Katanya, harga minyak sawit mentah rendah juga salah satu faktor memberi kesan kepada kedudukan aliran tunai FELDA yang semakin berkurangan.

“Maka, pelan pemulihan kedudukan aliran tunai FELDA adalah salah satu pelan jangka panjang yang sedang diberikan tumpuan Lembaga Pengarah dan Pengurusan FELDA yang baharu dilantik, pada Julai lalu.

“Perkara ini sudah dimulakan dengan mengadakan perjumpaan bersama beberapa institusi kewangan untuk menstrukturkan semula pinjaman FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam sesi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat.

Mohamed Azmin berkata, menerusi penstrukturan semula pinjaman, FELDA dijangka dapat mengurangkan 15 peratus baki pinjaman kepada RM6.8 billion, pada akhir tahun ini.

Katanya, FELDA juga sedang dalam rangka melihat keperluan menjual aset bukan strategik seperti hartanah di London, Sarawak dan Sabah yang dibeli dengan kos RM2.2 bilion.

“Kertas Putih FELDA yang menyentuh isu pemulihan pengurusan kewangan dan tadbir urus akan dibentangkan secara terperinci dalam sidang Parlimen kali ini.

“Kaedah ini dapat menampung sebahagian daripada komitmen FELDA kepada 112,635 peneroka, sekali gus memulihkan kedudukan aliran tunai dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kerajaan ingin memberikan komitmen untuk memulihkan FELDA secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka selaras matlamat penubuhannya di bawah Akta Kemajuan Tanah 1956,” katanya.