Categories
EKONOMI NASIONAL

Keuntungan bersih suku ketiga Nestle meningkat kepada RM137.68 juta

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd bagi suku ketiga 2018 meningkat sebanyak 15.7 peratus kepada RM137.68 juta berbanding RM119.01 juta pada suku ketiga 2017, dipacu oleh jualan domestik dan eksport yang kukuh.

Hasil bagi suku tersebut yang berakhir 30 Sept, 2018, meningkat 8.3 peratus kepada RM1.43 bilion daripada RM1.32 bilion sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan berkadar sifar dari Jun 2018 hingga Ogos 2018 terus meningkatkan lagi perbelanjaan pengguna, membawa kepada permintaan tinggi dan peningkatan jualan,” kata syarikat itu.

Nestle berkata dengan perpindahan ke Pusat Pengedaran Nasional (NDC) baharunya, yang siap sepenuhnya pada suku kedua 2018, kumpulan itu mendapat manfaat daripada situasi pasaran yang menggalakkan.

“Trend harga bahan mentah yang baik dan usaha berterusan kami meningkatkan kecekapan rantaian bekalan membawa kepada peningkatan margin ini.

“Pada suku itu juga aktiviti promosi dan pemasaran yang kukuh telah menyokong jualan tinggi dan ini dicerminkan menerusi perbelanjaan operasi tinggi yang direkodkan,” kata Nestle.

Bagi tempoh terkumpul sembilan bulan, keuntungan bersih Nestle meningkat kepada RM535.06 juta daripada RM511.13 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala hasil naik kepada RM4.17 bilion daripada RM3.97 bilion.

Mengenai prospek masa depan, syarikat itu berkata ia terus komited kepada strategi jangka panjangnya untuk ‘Merangsang Pertumbuhan’ menerusi usaha inovatif dan pengukuhan portfolio jenama yang kukuh.

“Kami yakin pelaburan kami, termasuk NDC baharu itu, akan membolehkan kami mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh kami,” kata syarikat itu.

Sejajar dengan komitmennya, kumpulan itu baru-baru ini mengumumkan pelaburan berjumlah RM100 juta untuk mengembangkan kilangnya di Chembong, Negeri Sembilan, menjadikan ia Pusat Kecemerlangan Pembuatan MILO terbesar di dunia.

Nestle berkata, syarikat itu akan terus berusaha menambah baik kecekapannya dalam seluruh rantaian bekalan dan melabur semula simpanan untuk mencapai pertumbuhan mampan dan menguntungkan.

SUMBER: BERNAMA