Categories
AGENDA NASIONAL

Nestlé agih pek makanan kepada lebih 5,000 mangsa banjir Shah Alam

SHAH ALAM, 25 DIS: Nestlé (Malaysia) Berhad melalui Pejabat Dato’ Menteri Besar menyumbang pek makanan sedia dimakan kepada lebih 5,000 mangsa banjir sekitar Shah Alam.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulannya Dato’ Adnan Pawanteh berkata antara produk yang diagihkan ialah Maggi Hot Cup, Milo 3in1 Activ-Go dan Nescafe.

“Antara yang menerima manfaat adalah lebih 1,000 pelajar Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) yang terperangkap di asrama penginapan sekitar Seksyen 13 serta 1,000 keluarga sekitar Shah Alam.

“Sumbangan keseluruhan termasuk kepada beberapa badan lagi seperti Bulan Sabit Merah Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya.

Menurut Adnan hampir 100 sukarelawan Nestlé Cares dari Nestlé (Malaysia) Berhad turut turun padang di Shah Alam dan Klang dua hari lalu bagi gotong-royong membersihkan rumah pekerja yang terjejas banjir.

“Kami turut menyampaikan ‘goodie bag’ barang makanan daripada Nestle,” tambahnya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA meterai MoU dengan Nestlé, KPT Recycle jaya kitar semula kawasan strata

SHAH ALAM, 26 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Nestlé Products Sdn Bhd (Nestlé) dan KPT Recycle Sdn Bhd (KPT Recycle) pada Program Kitar Semula Perumahan Strata hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata kerjasama itu bertujuan menggalakkan aktiviti kitar semula dilaksana di kawasan kediaman bertingkat strata terpilih melibatkan 540 isi rumah di Seksyen 18 dan 24 di sini.

“Ini merupakan program perintis yang mana pihak Nestlé menyediakan tong kitar semula strata berkapasiti tiga tan dan penduduk hanya perlu mengasingkan barangan yang sudah dibersihkan mengikut kategori.

“Ia bagi menggalakkan masyarakat terutamanya komuniti Shah Alam mempraktikkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian ke arah menjadikan Bandar Raya Shah Alam Sifar Sampah (Zero Waste) menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis MoU MBSA bersama Nestlé dan KPT Recycle di Dewan Bankuet, Wisma MBSA di sini hari ini.

Majlis disempurnakan EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Juan Aranols berkata projek perintis pertama bersama MBSA itu memudahkan kutipan bahan kitar semula bagi kediaman bertingkat selepas ia berjaya dilaksana di Petaling Jaya dan Subang Jaya.

“Kami berbesar hati meluaskan usaha tersebut bagi memberi manfaat kepada komuniti di Selangor dengan momentum positif ini diteruskan di Shah Alam.

“Usaha ini adalah sejajar dengan sasaran kami untuk mengumpul sehingga 25 tan bahan kitar semula sebulan menjelang 2022 dan mencapai misi tiada bungkusan dimasukkan dalam kambus tanah atau dibuang sebagai sampah sarap,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Nestle, MBSJ bekerjasama kutip bahan kitar semula di Subang Jaya

SHAH ALAM, 7 OKT: Nestle Malaysia Berhad (Nestle) menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi mengutip bahan kitar semula di daerah itu.

Nestle menerusi kenyataan berkata program Kutipan & Kitar Semula Pintu ke Pintu ke Subang Jaya bertujuan mengurangkan pengeluaran sisa isi rumah selain melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan di kawasan bandar.

Pengeluar produk makanan dan minuman terkemuka itu menjelaskan buat masa ini khidmat kutipan bahan kitar semula dijalankan di kaki lima di lapan taman perumahan di Petaling Jaya membabitkan lebih 20,000 isi rumah.

Tambahnya, fasa pertama program itu dilaksanakan di Zon 1 dan 4 di Subang Jaya yang memanfaatkan sekurang-kurangnya 5,500 isi rumah seterusnya ke Zon 3 dan 6 melibatkan 8,500 isi rumah menjelang akhir tahun ini.

Terdahulu, majlis MoU program dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Juan Aranols serta Yang Dipertua MBSJ yang juga Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan.

Aranols berkata program tersebut bukan sahaja memudahkan penduduk untuk mengitar semula, tetapi juga menyediakan platform yang sesuai untuk mendidik penduduk tentang langkah kitar semula yang berkesan.

“Kami ingin meningkatkan liputan ke kawasan kediaman yang lebih luas sejajar dengan wawasan kami untuk memastikan tiada pembungkusan, termasuk plastik, berakhir di tapak pelupusan sampah atau dibuang sebagai sampah sarap dan meningkatkan usaha mengurangkan penggunaan dan kebergantungan kepada plastik mentah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Sistem POIS kekang penularan virus lebih 1,500 kilang

SHAH ALAM, 14 OGOS: Lebih 1,500 syarikat beroperasi di pusat perindustrian besar hingga kawasan perkampungan mendaftar Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

Diperkenal Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC) yang ditubuhkan Kerajaan Selangor bagi membendung wabak Covid-19, program itu bertujuan mencegah penularan virus dalam sesebuah kilang.

Hakikatnya, jumlah kes di kilang tidak banyak, sudah berjaya dikekang termasuk menggunakan kaedah POIS, tetapi penularan dalam masyarakat semakin meningkat.

POIS yang ditubuhkan pada 6 Januari bertujuan memastikan tatacara operasi piawai ketat supaya risiko perebakan Covid-19 di sesebuah premis pada tahap minimum.

Wartawan Amin Ridzuan Ishak dan jurufoto Ahmad Zakki Jilan meninjau pelaksanaan POIS di kilang Nestlé (M) Berhad di Seksyen 15, Shah Alam dan Fondant Industries Sdn Bhd di Tebuk Pulai, Sabak Bernam pada 5 Ogos.

 


Inspektor kawalan kualiti Fondant Industries Chow Yee Mun mencuci tangan di bilik khas sebelum membuat pemantauan produk bagi mengelak jangkitan menerusi sentuhan anggota tubuh

 

 

Pekerja dan pelawat perlu membersihkan diri dari debu di bilik mandian udara sebelum dibenar memasuki bahagian memproses di Fondant Industries yang menggaji 10 pekerja

 


Pekerja beratur mengikut penjarakan fizikal untuk ke bilik khas bagi menukar sut perlindungan kepada pakaian biasa selepas habis waktu bekerja di kilang Fondant Industries

 

Pekerja atau pelawat kilang Nestlé berbaris mengikut petak khas yang disediakan. Mereka juga dilarang berbual sementara menunggu keputusan calitan Covid-19


Amalan penjarakan fizikal antara pekerja pemprosesan dipermudah dengan penyediaan penghadang lutsinar selain pekerja dilengkapi pemakaian pelitup muka KN95 dan pelindung muka. Foto Nestlé

 

Pengurus Kejuruteraan Nestlé Manufacturing Malaysia Bryan Wong Aun Ee menunjukkan sistem pengisytiharan kesihatan yang perlu diisi sebelum pekerja dibenar memasuki kilang

 

Bilangan pekerja pembungkusan dihad kepada empat orang bagi memudahkan penjarakan fizikal di Fondant Industries. Mereka menggunakan cecair ethanol (ethyl alcohol) bagi membersihkan mesin dan peralatan

 

Pekerja Nestlé diwajibkan membuat ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) dua kali seminggu bagi mengelak penularan virus

 

Nestlé menggunakan mesin penapis udara di ruang tertutup bagi memastikan pengudaraan baik. Had maksimum kandungan karbon dioksida (CO2) tidak lebih 800 bahagian setiap juta (ppm)

 

Laluan pejalan kaki dua hala di koridor kilang ditandai garisan kuning bagi memastikan pergerakan pekerja mematuhi penjarakan fizikal di kilang Nestlé

 

Pekerja mengelap meja menggunakan cecair pembasmi kuman selepas makan di kilang Nestlé. Penghadang lutsinar turut dipasang. Mereka hanya dibenar duduk di meja yang ditandai unit masing-masing

 

Pekerja membersihkan pemegang besi tangga setiap satu jam bagi mengelakkannya terdedah kepada virus Covid-19 di Nestlé

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

POIS syor kerap uji pekerja, Nestle’ saring dua kali seminggu

SHAH ALAM, 8 OGOS: Pekerja Nestle’ (Malaysia) Berhad terutama yang bertugas di kawasan kilang wajib membuat ujian Covid-19, antara langkah yang disyor dalam Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

Pengarah eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulannya berkata ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) turut diwajibkan kepada pelawat dan kontraktor bagi mengelak penularan virus ke kilang seterusnya mengganggu operasi.

Dato’ Adnan Hisham Pawanteh menjelaskan ujian itu mulanya dijalankan seminggu sekali sebelum kekerapannya ditambah kepada dua kali susulan peningkatan kes dalam sektor industri kebelakangan ini.

Pengurus Kejuruteraan Nestle’ Manufacturing Malaysia, Bryan Wong Aun Ee menunjukkan sistem pengisytiharan kesihatan dibangunkan Nestlé yang perlu diisi sebelum memasuki kilang bagi mengesan sama ada pekerja mempunyai gejala wabak atau sebaliknya. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ada orang yang tiada gejala dan tidak boleh dikesan, sebab itu kita guna ujian RTK-Ag dan ini salah satu cadangan (POIS) yang kita sudah laksana,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Syarikat pengeluar makanan dan minuman terkemuka menjadi kilang terawal memenuhi komponen POIS. Sijil pengiktirafannya disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 22 Februari lalu.

Di Selangor, syarikat berkenaan memiliki tiga kilang, semuanya terletak di sini iaitu di Seksyen 15, Sri Muda dan Batu Tiga selain satu pusat pengedaran.

Adnan berkata syarikat mengadakan perbincangan dengan Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) Dr Mohammad Farhan Rusli termasuk kaedah berkesan bagi menjejak pembawa virus sebelum menyertai POIS.

Beliau turut menyifatkan pengiktirafan POIS sebagai penghargaan kepada warga kerja Nestle’ yang berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai dalam membendung penularan virus di kilang.

“Pengiktirafan ini juga beri keyakinan kepada pekerja dan tidak was-was datang bekerja di kilang kerana persekitarannya selamat,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Nestle labur RM150 juta di Selangor bukti keyakinan pelabur

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Nestle Malaysia (Nestle) mewujudkan Pusat Pengeluaran Makanan Berasaskan Tumbuhan Nestle membabitkan pelaburan hampir RM150 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor bertuah dapat menjadi tuan rumah kepada kemudahan berteknologi tinggi yang bakal menghasilkan makanan berasaskan tumbuhan berkualiti untuk pasaran tempatan dan import.

“Pusat ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan menjadi cerminan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan pentadbiran Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan menerusi Facebook.

Semalam, beliau mengiringi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ke pusat berkenaan di sini.

Amirudin berkata pusat pengeluaran berteknologi tinggi (state of the art) bukan sahaja baik kepada semua malah dibangunkan secara lestari untuk alam kerana hampir setiap elemen pembungkusannya boleh dikitar semula.

“Tahniah Nestle atas komitmen baik terhadap alam sekitar malahan melengkapi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menjadi panduan global saat ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan rasmi kilang proses makanan berasas tumbuhan pertama di Asean

SHAH ALAM, 8 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat menyempurnakan perasmian pusat pengeluaran makanan berasaskan tumbuhan pertama di Asean.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook berkata kemudahan milik Nestle Malaysia Berhad di Shah Alam itu juga merupakan dua kilang seumpamanya di Asia.

“Sejurus merasmikan pusat berkenan, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dibawa melawat ke kemudahan pengeluaran makanan berasaskan tumbuhan itu yang akan menghasilkan makanan berasaskan tumbuhan bukan hanya bagi memenuhi pasaran tempatan malah untuk dieksport,” katanya.

Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Nestlé (Malaysia) Bhd Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Semalam, Nestle membuka kilang pembuatan penyelesaian makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan pertamanya di Asean bagi memenuhi permintaan yang meningkat terhadap segmen makanan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Juan Aranols berkata Nestle melabur sebanyak RM150 juta untuk kemudahan di Kompleks Industri Shah Alam.

“Kilang pengeluaran di Shah Alam ini membolehkan kami membekalkan produk makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai kualiti tinggi, lazat dan disahkan halal,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Keuntungan bersih suku ketiga Nestle meningkat kepada RM137.68 juta

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd bagi suku ketiga 2018 meningkat sebanyak 15.7 peratus kepada RM137.68 juta berbanding RM119.01 juta pada suku ketiga 2017, dipacu oleh jualan domestik dan eksport yang kukuh.

Hasil bagi suku tersebut yang berakhir 30 Sept, 2018, meningkat 8.3 peratus kepada RM1.43 bilion daripada RM1.32 bilion sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan berkadar sifar dari Jun 2018 hingga Ogos 2018 terus meningkatkan lagi perbelanjaan pengguna, membawa kepada permintaan tinggi dan peningkatan jualan,” kata syarikat itu.

Nestle berkata dengan perpindahan ke Pusat Pengedaran Nasional (NDC) baharunya, yang siap sepenuhnya pada suku kedua 2018, kumpulan itu mendapat manfaat daripada situasi pasaran yang menggalakkan.

“Trend harga bahan mentah yang baik dan usaha berterusan kami meningkatkan kecekapan rantaian bekalan membawa kepada peningkatan margin ini.

“Pada suku itu juga aktiviti promosi dan pemasaran yang kukuh telah menyokong jualan tinggi dan ini dicerminkan menerusi perbelanjaan operasi tinggi yang direkodkan,” kata Nestle.

Bagi tempoh terkumpul sembilan bulan, keuntungan bersih Nestle meningkat kepada RM535.06 juta daripada RM511.13 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala hasil naik kepada RM4.17 bilion daripada RM3.97 bilion.

Mengenai prospek masa depan, syarikat itu berkata ia terus komited kepada strategi jangka panjangnya untuk ‘Merangsang Pertumbuhan’ menerusi usaha inovatif dan pengukuhan portfolio jenama yang kukuh.

“Kami yakin pelaburan kami, termasuk NDC baharu itu, akan membolehkan kami mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh kami,” kata syarikat itu.

Sejajar dengan komitmennya, kumpulan itu baru-baru ini mengumumkan pelaburan berjumlah RM100 juta untuk mengembangkan kilangnya di Chembong, Negeri Sembilan, menjadikan ia Pusat Kecemerlangan Pembuatan MILO terbesar di dunia.

Nestle berkata, syarikat itu akan terus berusaha menambah baik kecekapannya dalam seluruh rantaian bekalan dan melabur semula simpanan untuk mencapai pertumbuhan mampan dan menguntungkan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Nestle peroleh untung RM1.43 bilion suku pertama 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 APR: Nestle (M) Bhd mencatat perolehan bagi suku pertama meningkat 4.2 peratus menjadi RM1.43 bilion bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alois Hofbauer berkata, prestasi itu diterajui oleh jualan domestik dan eksport yang kukuh.

Katanya, syarikat berkenaan berjaya memacu pertumbuhan pada suku tahun dan prestasi itu dicapai berlandaskan kepada tiga tunggak utama iaitu Menjana Demi Pertumbuhan, Inovasi Demi Pertumbuhan dan Transformasi Demi Pertumbuhan.

“Strategi yang berkesan ini menyumbang kepada pertumbuhan mampan kumpulan, seterusnya membolehkan kita meningkatkan kecekapan dan produktiviti.”

“Pelaburan kukuh dalam inisiatif pemasaran dan promosi meningkatkan jualan di samping inovasi kekal sebagai salah satu daripada pemacu pertumbuhan utama kumpulan,” katanya memetik laporan Kosmo.

Hofbauer berkata, keputusan positif kumpulan itu turut disokong oleh aktiviti pemasaran dan strategi promosi dalam tempoh Tahun Baharu Cina pada suku tahun yang dilaporkan.

“Untung operasi meningkat 1.3 peratus kepada RM303 juta manakala untung sebelum cukai berjumlah RM295 juta, iaitu kenaikan 1.3 peratus.

“Perolehan lebih tinggi ini juga mengimbangi harga komoditi lebih tinggi dan pelaburan pemasaran lebih tinggi sepanjang tempoh Tahun Baharu Cina,” katanya.

Justeru, katanya, pihak mereka berpuas hati terhadap prestasi kewangan yang dicatat oleh syarikat pada awal tahun kewangan semasa.

Beliau berkata, selain mencatatkan keputusan kewangan baik, pihaknya tekad untuk memenuhi matlamat Nestle bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih sihat untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Walaupun tahun akan datang dijangka mencabar, kita yakin bahawa strategi jangka panjang syarikat, portfolio jenama kukuh, modal insan berbakat dan tumpuan berterusan terhadap inovasi terus menyumbang kepada pertumbuhan syarikat yang lebih menguntungkan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Sultan rasmi kilang Nestle RM288 juta tawar 2,000 peluang kerja

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 OKT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan kilang kelapan syarikat gergasi pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan sedunia, Nestle yang berharga RM288 juta.

Pengarah Eksekutif, Teknikal dan Pengeluaran Nestle, Adnan Pawanteh, berkata kilang yang terletak di kawasan Kompleks Kilang Nestle Shah Alam di Sri Muda itu berkeluasan 40,000 meter persegi turut menawarkan 2,000 peluang pekerjaan.

Sultan Rasmi Kilang Baru NESTLE MB (1)“Pekerja kami adalah warganegara tempatan yang ini adalah sebahagian sumbangan kami kepada negara ini,” kata Adnan.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis Perasmian Kilang Sri Muda Nestle dan Lawatan Kilang Maggi Shah Alam di sini, hari ini.

Katanya, kilang yang dibina itu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran produk sedia diminum itu merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang Nestle.

Dalam majlis itu selain melawat Kilang Sri Muda, DYMM Sultan Sharafuddin turut berkenan melawat Kilang Batu Tiga yang menghasilkan produk mi segera, Mi Maggi terbesar di Malaysia dan Singapura.

Turut mengiringi Baginda Sultan, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin.

EZY

JURNAL BERITA: Anak Rosmah beli kondo RM110 juta disangsi ramai

1- Selangor tawar pinjaman pertanian, lahir lebih ramai petani muda

2- DUN Tanjung Sepat bangun pertanian durian belanda

3- Rafizi lapor polis, pastikan blogger Umno sebar maklumat palsu dihukum

4- Warga emas disaran lanjut pengajian ke universiti

5- Selangor bangun sektor pertanian dengan kerjasama Nestle

6- Pembelian kondo RM110 juta babitkan rakan kongsi Riza Shahriz

7- Rafizi anjur pertandingan e-mel palsu uji konsistensi PDRM

8- Tiada peruntukan kekang harga naik, BN mimpi peniaga sukarela turun harga

9- AKTIVITI YB: 40 set kerusi, meja untuk KAFA Jalan

Kerjasama Nestle maksimumkan perolehan sektor pertanian Selangor

Pemilihan syarikat Nestle dibuat ekoran kejayaan syarikat yang berasaskan produk makanan itu memperoleh pendapatan yang tinggi walaupun sekadar mengusahakan tanah seluas sepuluh hektar.