Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Olahraga Selangor harap cipta kejutan

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Skuad olahraga Selangor berharap melakar kejutan memenangi pingat emas dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018.

Jurulatihnya, P Paramasevam berkata, kejohanan di Perak mulai 15 hingga 21 Oktober itu menyediakan ruang bagi atlet Selangor mempamerkan persembahan terbaik untuk merealisasikannya.

“Saya yakin atlet olahraga akan berusaha memberikan persembahan terbaik pada temasya SOPMA 2018 ini walaupun akan menerima tentangan hebat pasukan lain.

“Kita menaruh harapan supaya atlet mampu mencatat keputusan baik dan mengatasi pencapaian pada SOPMA 2016 lalu,” katanya kepada Media Selangor.

Ketika SOPMA 2016 di Sarawak, pasukan olahraga Selangor membawa pulang dua perak dan dua gangsa.

Beliau berkata, peluang dilihat cerah untuk Selangor mencipta kejutan dalam acara merejam lembing lelaki, pada kejohanan tahun ini.

“Dalam acara ini, peluang dilihat 50-50 tetapi diharap atlet akan berusaha memberikan yang terbaik untuk melakukan kejutan memenangi emas,” katanya.

Seramai 11 atlet olahraga menyertai SOPMA 2018 dan Paramasevam berkata, tujuh atlet lelaki serta empat atlet wanita terbabit dalam pelbagai acara seperti lumba lari 400m, 800m, 1,000m dan 1,500m selain melempar cekera, merejam lembing juga melontar peluru.

“Dengan persiapan dilakukan, kita yakin atlet tidak mudah mengaku kalah ketika turun ke gelanggang nanti,” katanya yang bertindak selaku jurulatih untuk Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor itu.