Categories
AGENDA SUKANKINI

KOM cadang anjur Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Januari 2021

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bercadang menganjurkan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada awal Januari 2021 sebagai platform kepada atlet negara membuat persiapan awal bagi menghadapi beberapa temasya sukan tahun depan.

Presiden KOM Datuk S.M. Muthu berkata badan induk itu akan terus memantau situasi semasa pandemik Covid-19 sebelum memutuskan sama ada kejohanan berkenaan akan diteruskan atau sebaliknya.

“Kalau tiada masalah, kita turut akan menjemput beberapa negara Asia untuk mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan, namun kita perlu lihat keadaan semasa Covid-19.

“Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, kita mungkin akan mengadakan kejohanan dalaman sahaja melibatkan atlet negara bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan atlet dan pegawai tempatan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

KOM sebelum ini pernah menganjurkan kejohanan dalaman pada bulan lepas bagi menguji prestasi semasa skuad olahraga negara susulan ketiadaan kejohanan pada tahun ini akibat Covid-19.

Muthu sebelum ini dilaporkan berkata bahawa KOM merancang untuk mengadakan Terbuka Malaysia dari 11 hingga 13 Dis, selain ‘National Under Distance Trials’ pada 7 Nov, namun kedua-dua kejohanan berkenaan terpaksa dibatalkan susulan penularan Covid-19 di negara ini.

Skuad olahraga kebangsaan tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sejak Mac lepas susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Muthu mengesahkan KOM akan mendapatkan keputusan ujian doping pelari maraton negara, Tan Huong Leong sebelum memutuskan sama ada catatan masa 2 jam 23 minit 13 saat dilakar pelari kelahiran Johor itu pada Kejohanan Taipei City Marathon, dikira sebagai rekod baharu kebangsaan.

“Kita masih menunggu keputusan ujian doping daripada pihak penganjur yang dijangka mengambil masa selama dua minggu sebelum kita mengesahkan sama ada catatan berkenaan boleh diiktiraf sebagai rekod baharu kebangsaan atau sebaliknya,” jelas Muthu.

Tan dilaporkan mencipta rekod baharu berkenaan selepas menduduki tempat keenam keseluruhan dalam acara maraton penuh (42 km) pada kejohanan tersebut baru-baru ini, sekali gus mengatasi rekod terdahulu miliknya 2 jam 24 minit 04 saat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukma 2020: Skuad olahraga kembali berlatih awal Ogos

SHAH ALAM, 10 JULAI: Semua atlet olahraga Selangor yang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 dijangka kembali berlatih di balapan selewat-lewatnya awal Ogos hadapan.

Jurulatihnya Simon Lau berkata persiapan atlet kini dilakukan bersendirian mengikut program latihan ditetapkan dan dipantau melalui rakaman video yang dihantar.

“Untuk atlet yang tinggal di luar bandar, ada ibu bapa bimbang membenarkan mereka kembali berlatih tetapi kita pantau sesi latihan mereka melalui video.

“Kita jangkakan latihan di balapan akan dimulakan pada 22 Julai ini atau awal Ogos hadapan bergantung kepada situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Simon turut menjangka 28 atlet olahraga negeri dihantar ke Johor bagi acara larian dan setakat ini 19 orang layak secara merit.

Pada Sukma 2018 di Perak, Selangor berjaya mengumpul lapan pingat emas sekali gus muncul juara keseluruhan olahraga selepas 20 tahun.

Categories
AGENDA SUKANKINI

KOM sedia lunas bayaran insentif rekod baharu kebangsaan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi jaminan untuk menjelaskan bayaran insentif rekod baharu kepada beberapa atlet kebangsaan yang masih belum diselesaikan oleh kepimpinan terdahulu badan sukan itu.

Presiden KOM, Datuk S.M Muthu berkata, badan induk sukan itu sedang mengumpul segala dokumen berhubung catatan rekod baharu kebangsaan yang dilakar oleh atlet kebangsaan sebelum bayaran dapat dijelaskan dalam tempoh terdekat.

“Kami akan bayar dan atlet yang terlibat jangan risau, cuma saya minta mereka kemukakan dokumen secara hitam putih.Mungkin dalam tempoh dua bulan kami akan selesaikan bayaran kepada atlet terlibat,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, beberapa atlet olahraga kebangsaan termasuk pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh, Andre Anura Anuar dan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin mendakwa KOM masih belum melunaskan bayaran insentif hasil kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Bernama difahamkan KOM memberi bayaran insentif sebanyak RM1,000 bagi rekod baharu kebangsaan yang berjaya dicipta atlet negara dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Muthu mengesahkan beberapa atlet elit kebangsaan akan dibenarkan menjalani latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau menjelaskan latihan penuh akan dibuka kepada semua atlet kebangsaan pada 5 Julai ini sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) MSN dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Beberapa atlet olahraga kebangsaan sebelum ini melahirkan kebimbangan berhubung persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa tahun depan selepas KOM dikatakan gagal mendapat kata putus daripada MSN berhubung tarikh sebenar mereka dibenarkan memulakan latihan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad olahraga tunggu keputusan MSN sambung latihan

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Skuad olahraga negara masih menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum kembali menyambung latihan di Bukit Jalil sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada tahun hadapan.

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil memaklumkan, barisan kejurulatihan masih belum mendapat sebarang pengesahan daripada MSN walaupun Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk S.M Muthu baru-baru ini mendakwa skuad kebangsaan akan memulakan latihan pada 1 Julai ini.

Buat masa ini, fasiliti di Bukit Jalil hanya dibuka kepada atlet di bawah kem latihan pusat program ‘Road to Tokyo’ (RTT) 2020 sehingga kem berkenaan tamat pada 30 Jun ini.

“Setakat ini, kita masih menunggu kata putus daripada MSN sebelum atlet kita dibenar meneruskan latihan di Bukit Jalil. Saya tidak pasti sama ada KOM sudah menghantar permohonan latihan atau tidak kepada MSN.

“Kita kena jelas, selagi MSN tidak keluarkan sebarang arahan, maka atlet kita hanya akan meneruskan latihan seperti biasa di kawasan masing-masing,” jelas Mohd Manshahar ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, bekas atlet kebangsaan itu mendedahkan kenyataan jaguh lompat tinggi lelaki negara, Lee Hup Wei baru-baru ini yang meluahkan kekecewaan selepas tidak disenaraikan dalam Program RTT 2020 lebih bersifat peribadi, namun memahami tindakan atlet kelahiran Kajang, Selangor itu berbuat demikian.

Pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan edisi 2012 di London, meluahkan rasa kecewa setelah namanya tidak tersenarai dalam program berkenaan yang bermula sejak 8 Jun lepas di MSN, Bukit Jalil.

“Beliau (Hup Wei) ada menghubungi saya dan memaklumkan kekecewaannya tidak dapat menyertai program berkenaan, namun beliau harus faham hanya atlet yang layak secara merit sahaja, selain sukan tertentu sahaja dibenarkan menjalani latihan mengikut tatacara operasi piawai MSN bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Bagi saya, peluang Hup Wei ke Tokyo masih belum tertutup rapat kerana terdapat beberapa kejohanan kelayakan pada awal tahun hadapan,” jelas Mohd Manshahar.

Setakat ini, tiada atlet olahraga negara yang layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Olahraga Selangor dapat satu gangsa

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 19 OKT: Olahraga Selangor menyumbang satu pingat gangsa menerusi acara lompat tinggi dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, di Stadium Perak, di sini, semalam.

Ia diraih Muhammad Najib Pauzi dengan lompatan setinggi 1.45m dalam percubaan kedua acara berkenaan.

Pingat emas acara itu dimenagi Nor Shah dan Muhammad dari Terengganu yang mencatat rekod baharu, 1.68m mengatasi rekod lama (1.66m) milik Khairul Azri (Wilayah Persekutuan), pada 2014.

Khairul Azri mendapat perak, pada edisi kali ini apabila sekadar mencatat 1.61m dalam lompatan keenam.

Gangsa diperolehi Muhammad Najib adalah pingat pertama Selangor dalam olahraga, pada edisi kali ini.

Categories
SUKANKINI

SOPMA18: Olahraga Selangor harap cipta kejutan

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Skuad olahraga Selangor berharap melakar kejutan memenangi pingat emas dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018.

Jurulatihnya, P Paramasevam berkata, kejohanan di Perak mulai 15 hingga 21 Oktober itu menyediakan ruang bagi atlet Selangor mempamerkan persembahan terbaik untuk merealisasikannya.

“Saya yakin atlet olahraga akan berusaha memberikan persembahan terbaik pada temasya SOPMA 2018 ini walaupun akan menerima tentangan hebat pasukan lain.

“Kita menaruh harapan supaya atlet mampu mencatat keputusan baik dan mengatasi pencapaian pada SOPMA 2016 lalu,” katanya kepada Media Selangor.

Ketika SOPMA 2016 di Sarawak, pasukan olahraga Selangor membawa pulang dua perak dan dua gangsa.

Beliau berkata, peluang dilihat cerah untuk Selangor mencipta kejutan dalam acara merejam lembing lelaki, pada kejohanan tahun ini.

“Dalam acara ini, peluang dilihat 50-50 tetapi diharap atlet akan berusaha memberikan yang terbaik untuk melakukan kejutan memenangi emas,” katanya.

Seramai 11 atlet olahraga menyertai SOPMA 2018 dan Paramasevam berkata, tujuh atlet lelaki serta empat atlet wanita terbabit dalam pelbagai acara seperti lumba lari 400m, 800m, 1,000m dan 1,500m selain melempar cekera, merejam lembing juga melontar peluru.

“Dengan persiapan dilakukan, kita yakin atlet tidak mudah mengaku kalah ketika turun ke gelanggang nanti,” katanya yang bertindak selaku jurulatih untuk Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor itu.