Categories
NASIONAL

Tol: Kerajaan kaji alternatif kurang beban rakyat

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan sedang mengkaji alternatif terbaik bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol, selepas penghapusannya ditangguhkan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ia termasuk cadangan merendahkan kadar bayaran tol, mewujudkan kadar sama rata dan memberi diskaun tertentu, pada waktu bukan puncak.

Beliau turut menegaskan kerajaan secara dasarnya memutuskan tol tidak akan dihapuskan sehingga keadaan kewangan negara distabilkan ke peringkat ‘sihat’.

“Mungkin juga kita tidak akan naikkan harga tol untuk tempoh tertentu, ini dalam perbincangan buat masa sekarang,” katanya pada sesi pertanyaan menteri, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas berkenaan jumlah tol yang dicadang di Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) menghubungkan Banting dan Taiping yang sedang dibina, Baru berkata ia membabitkan 20 plaza tol.

“Kaedah kutipan tol yang akan digunakan ialah sistem kutipan tol tertutup dengan enam plaza tol terletak di laluan utama dan 14 lagi di persimpangan bertingkat,” katanya.

Beliau berkata, ia juga membabiatkan tempoh konsesi selama 50 tahun bermula tarikh perjanjian konsesi dengan syarikat WCE Sdn Bhd yang ditandatangani, pada 2 Jan 2013.

Katanya kemajuan pembinaan lebuh raya terbabit ialah 60 peratus dan dijangka dibuka berperingkat mulai tahun hadapan dan sepenuhnya, pada 2022.

*Sumber: BERNAMA