Categories
SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor: UNISEL tawar rebat 30 peratus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) menawarkan rebat 30 peratus bagi yuran pendaftaran sempena Jelajah 360° Smart Selangor di Batang Kali, hujung minggu ini.

Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan berkata, ia hanya boleh didapati sempena Program Santai @UNISEL siri 13 di Oasis Street Mall, Batang Kali, Hulu Selangor.

Katanya, tawaran itu dibuat bagi orang ramai yang berminat menyambung pelajaran ke UNISEL bagi kemasukan bermula April 2019.

“Tawaran ini hanya diberikan kepada pengunjung sempena Jelajah 360° Smart Selangor sahaja, ia tidak ditawarkan melalui sistem online dan lain-lain,

“Oleh sebab itu, saya menyeru kepada ibu-bapa yang berminat mendaftarkan anak mereka di UNISEL, bolehlah datang ke Hulu Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Hasril berkata, tambah menarik, program kali ini turut dimeriahkan Man Raja Lawak, Ezad Lazim, Bell Ngasri dan Syuk Hot FM.

“Kami tidak mahu program pendidikan sebegini dianggap membosankan, biarlah ia dijalankan secara santai sahaja supaya lebih ramai yang akan datang.

“Ini selari dengan matlamat UNISEL yang mahu ‘merakyatkan pendidikan’,” katanya.