Categories
GLOBAL

Juruterbang Lion Air hantar isyarat amaran

JAKARTA 2 NOV: Juruterbang pesawat Lion Air dari Bali menghantar isyarat amaran beberapa minit sejurus berlepas disebabkan masalah teknikal tetapi ia berjaya diatasi dan beliau meneruskan penerbangan ke Jakarta.

Ia adalah jet sama yang terhempas beberapa jam kemudian, mengorbankan semua 189 penumpang dan anak kapal.

Ketua pihak berkuasa lapangan terbang bagi kawasan Bali-Nusa Tenggara, Herson, memberitahu selepas panggilan itu, juruterbang memberitahu menara kawalan pesawatnya terbang seperti normal dan tidak akan kembali ke lapangan terbang seperti diminta.

“Kapten sendiri cukup yakin untuk terbang ke Jakarta dari Denpasar,” kata Herson.

Juruterbang pesawat lain yang mendekati Bali sejurus selepas jet Lion Air berlepas, memberitahu beliau diarahkan terbang mengelilingi lapangan terbang dan mendengar perbualan radio antara juruterbang Lion Air dan pengawal trafik udara.

Disebabkan panggilan Pan-Pan, kami diminta jangan mendarat lagi, mengelilingi lapangan terbang di udara.

“Pesawat Lion Air meminta untuk berpatah balik ke Bali lima minit sejurut berlepas, tetapi kemudian juruterbang berkata masalah sudah diselesaikan dan akan meneruskan penerbangan ke Jakarta,” kata juruterbang yang enggan dikenali itu.

Juruterbang menggunakan panggilan ‘Pan-Pan’ merujuk keadaan penting.

Ia adalah satu tahap di bawah ‘Mayday’, yang menunjukkan keadaan amat genting.

Jurucakap Lion Air enggan memberi ulasan apabila ditanya mengenai amaran yang diberikan terdahulu.

SUMBER: REUTERS