Categories
GLOBAL

Perakam suara kokpit Lion Air ditemui

JAKARTA, 14 JAN: Indonesia sudah menemui perakam suara kokpit (CVR) milik penerbangan Lion Air setelah lebih dua bulan pesawat Boeing Co 737 MAX 8 itu terhempas di Laut Jawa, kata pihak berkuasa hari ini.

Timbalan Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT), Haryo Satmiko, CVR itu adalah satu daripada dua kotak hitam yang penting untuk siasatan nahas pesawat.

“Ia sudah ditemui, namun kami belum menerima maklumat berkaitan lokasinya,” katanya menerusi mesej teks.

Pada 29 Oktober lalu, pesawat Boeing Co 737 MAX 8 yang merupakan antara pesawat komersial terbaru dan paling canggih di dunia itu terhempas di Laut Jawa selepas berlepas dari Jakarta menuju ke bandar Pangkal Pinang.

Insiden itu mengorbankan kesemua 189 penumpang dan kru penerbangan.

. -Reuters

Categories
GLOBAL

Proses kenal pasti mangsa nahas Lion Air selesai

JAKARTA 24 NOV: Indonesia semalam menamatkan usaha mengenal pasti mangsa nahas pesawat Lion Air menerusi cebisan mayat yang ditemui manakala laporan awal berhubung punca kemalangan itu dijangka diketahui minggu depan.

Jet Boeing 737 Max yang merupakan antara pesawat komersial terbaru dan paling canggih di dunia itu terhempas di Laut Jawa pada 29 Oktober lalu selepas berlepas dari Jakarta menuju ke bandar Pangkal Pinang dengan mengorbankan kesemua 189 penumpang dan kru penerbangan.

Sejak itu, pasukan penyiasat telah melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada cebisan mayat mangsa yang ditemui.

Ketua pusat perubatan polis nasional, Arthur Tampi berkata, setakat semalam, identiti seramai 125 mangsa telah dikenal pasti menerusi ujian DNA pada cebisan tubuh manusia yang dikumpulkan di dalam 200 beg mayat.

“Kami mengenal pasti identiti 89 lelaki dan 36 wanita termasuk dua warga asing masing-masing dari Itali dan India yang merupakan juruterbang pesawat dan pembantunya, kata Tampi kepada pemberita di Jakarta.

Proses pengecaman ditamatkan kerana semua cebisan mayat yang ditemui telah diuji, tambahnya.

Sementara itu, pengurusan syarikat penerbangan tambang murah Lion Air berkata, pihaknya membayar pampasan melebihi AS$100,000 (RM419,630) kepada setiap waris mangsa.

Perakam data penerbangan JT610 itu telah dijumpai, namun pasukan penyelam masih mencari rakaman suara kokpit.

Laporan awal rasmi mengenai punca nahas itu pula akan diumumkan oleh pihak berkuasa Indonesia selewat-lewatnya Rabu depan.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Juruterbang Boeing 737 MAX perlu lebih latihan

JAKARTA 14 NOV: Pasukan penyiasat Indonesia berkata kelmarin bahawa juruterbang Boeing 737 MAX perlu menjalani lebih banyak latihan selepas mendapati situasi menimpa kru pesawat Lion Air yang terhempas, tidak terkandung dalam buku panduan aviasi kapal terbang tersebut.

Juruterbang-juruterbang Amerika Syarikat (AS) juga tidak menyedari kewujudan risiko itu, kata kesatuan juruterbang AS kepada agensi berita Reuters.

Kenyataan tersebut mendedahkan lebih lanjut tentang aspek tumpuan siasatan ketika pasukan penyiasat bersiap-sedia mengumumkan laporan awal mereka pada 28 atau 29 November ini, sebulan selepas Boeing 737 MAX milik Lion Air itu menjunam ke Laut Jawa, mengakibatkan semua 189 penumpang dan kru terbunuh.

Sehingga kini, fokus dan kritikan umum tertumpu kepada masalah penyelenggaraan termasuk kerosakan sensor pengumpulan data bagi membantu pesawat terbang pada sudut tepat ketika menempuh arus udara bagi mengelakkan ia pegun. Masalah itu berlaku kerana faktor aerodinamik dan bukan merujuk kepada enjin pesawat mati.

Situasi tersebut mengakibatkan pesawat hilang daya angkatan, sekali gus sukar dikawal.

Seorang juruterbang pesawat 737 dan jurucakap Kesatuan Juruterbang Bersekutu (APA), Dennis Tajer berkata, kesatuan sekerjanya dimaklumkan mengenai sistem baharu itu yang dipasang oleh syarikat ­Boeing pada jet 737 MAX selepas nahas tersebut.

Sistem itu, katanya, boleh mengarahkan muncung pesawat supaya menjunam tanpa juruterbang menyedari ia adalah pembetulan automatik dalam sesetengah situasi bagi mengelakkan pesawat pegun.

“Maklumat ini tidak diberitahu semasa latihan kami, ia juga tidak terkandung dalam buku panduan pesawat Boeing 737,” katanya.

Seorang jurucakap pentadbiran Amerika Syarikat berkata, Boeing dijangka memperkenalkan kemas kini perisian bagi mengurangkan risiko sistem perlindungan pegun 737 MAX itu kepada juruterbang tetapi tidak menyatakan tarikhnya.

Sementara itu, Ketua Komite Nasional Keselamatan Penerbangan Indonesia (KNKT), Soerjanto Tjahjojo berkata kelmarin bahawa pihak berkuasa Indonesia akan mengetatkan keperluan latihan susulan hasil siasatan nahas penerbangan JT610 tersebut.

“Kami tahu, kerana kemalangan ini berlaku. Kami tahu, kami memerlukan latihan tambahan,” katanya.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Tempoh mencari mangsa, kotak hitam kedua Lion Air dilanjut

JAKARTA 4 NOV : Pihak berkuasa Indonesia hari ini membuat keputusan melanjutkan tempoh mencari mangsa dan kotak hitam kedua dari lokasi nahas pesawat Lion Air yang terhempas minggu lalu.

“Kami memutuskan melanjutkan tempoh pencarian tiga hari lagi bermula esok, kata ketua agensi mencari dan menyelamat (BASARNAS), Muhammad Syaugi dalam satu sidang media.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian dan pemerhatian di lokasi nahas serta menyedari masih banyak mayat mangsa yang belum ditemui.

Sehingga hari ini, sejumlah 105 beg, dengan sebilangan kecil mengandungi mayat yang masih sempurna sudah ditemui dan diserahkan kepada polis untuk proses pengenalan identiti namun hanya tujuh mangsa berjaya dikenal pasti.

“Saya pasti jumlah itu akan meningkat,” kata Syaugi.

Fokus utama BASARNAS ketika ini adalah untuk mencari baki mayat mangsa dan perakam suara kokpot (CVR) atau kota hitam kedua dari bangkai pesawat Boeing 737 Max terhempas di Laut Jawa awal pagi Isnin lalu, 13 minit selepas meninggalkan Jakarta.

Penyelam pada ketika ini bergantung pada isyarat ping untuk mencari kotak hitam kedua, serentak dengan usaha penyiasat memperoleh data dari kotak hitam pertama yang ditemui Khamis lalu.

“Isyarat yang diperoleh pengesan ping itu telah digunakan sebaiknya namun kumpulan penyelam masih belum menemui kotak hitam kedua itu,” katanya.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

Pencarian pesawat Lion Air masuk hari keenam, penyelam turut terkorban

JAKARTA, 3 NOV: Operasi pencarian bangkai pesawat dan sebahagian lagi kotak hitam pesawat Lion Air kini turut mengorbankan seorang penyelam awam, yang dilaporkan mengalami “decompression sickness”.

Menurut laporan media Indonesia, mangsa, Syachrul Anto, 48, seorang penyelam dari Indonesia Diving Rescue Team, dikejarkan ke Hospital Koja, Jakarta pukul 10 malam tadi kerana tidak sedarkan diri selepas melakukan penyelaman di perairan Tanjung Karawang.

Agensi berita Antara yang memetik seorang pegawai tentera Indonesia, Kolonel Isswarto berkata mangsa disahkan meninggal dunia 10.30 malam tadi di hospital berkenaan.

Mangsa berasal dari Surabaya dilaporkan adalah seorang penyelam berpengalaman dan sering menyertai misi penyelamatan.

Pegawai Perhubungan Masyarakat Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas),Yusuf Latief ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, bagaimanapun berkata Basarnas masih menyiasat secara terperinci kes berkenaan.

Decompression Sickness adalah disebabkan meningkatnya gelembung nitrogen di dalam tubuh ketika melakukan penyelaman.

Sementara itu Basarnas dalam satu kenyataan berkata setakat tengah hari ini, sebanyak 73 kantung atau beg berisi cebisan dan anggota jenazah telah dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia, untuk proses kenal psdti menggunakan kaedah ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).

Tiga lagi jenazah telah dikenalpasti semalam dan telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengkebumian iaitu jenazah yang dikenali sebagai Chandra Kirana, 29, Hizkia Jorry Saroinsong, 23, dan Monni, 41 tahun.

Identiti pertama korban dikenalpasti pada 31 Okt lepas iaitu Jannatun Cintya Dewi, berusia 24 tahun, berasal dari Kacamatan Jawa Timur.

Pada khamis (1 Nov lepas), pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui “flight data recorder (FDR)” pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas di perairan Tanjung Karawang, dan kini fokus pencarian adalah kepada sebahagian lagi kotak hitam pesawat itu iaitu “Cockpit Voice Recorder (CVR)”.

Operasi SAR hari keenam hari ini turut menggunakan teknologi canggih seperti teknologi sonar di koordinat yang ditemui FDR berkenaan, kira-kira 500 meter dari koordinat pesawat itu terhempas.

Penerbangan JT610, yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal, terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin lepas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Juruterbang Lion Air hantar isyarat amaran

JAKARTA 2 NOV: Juruterbang pesawat Lion Air dari Bali menghantar isyarat amaran beberapa minit sejurus berlepas disebabkan masalah teknikal tetapi ia berjaya diatasi dan beliau meneruskan penerbangan ke Jakarta.

Ia adalah jet sama yang terhempas beberapa jam kemudian, mengorbankan semua 189 penumpang dan anak kapal.

Ketua pihak berkuasa lapangan terbang bagi kawasan Bali-Nusa Tenggara, Herson, memberitahu selepas panggilan itu, juruterbang memberitahu menara kawalan pesawatnya terbang seperti normal dan tidak akan kembali ke lapangan terbang seperti diminta.

“Kapten sendiri cukup yakin untuk terbang ke Jakarta dari Denpasar,” kata Herson.

Juruterbang pesawat lain yang mendekati Bali sejurus selepas jet Lion Air berlepas, memberitahu beliau diarahkan terbang mengelilingi lapangan terbang dan mendengar perbualan radio antara juruterbang Lion Air dan pengawal trafik udara.

Disebabkan panggilan Pan-Pan, kami diminta jangan mendarat lagi, mengelilingi lapangan terbang di udara.

“Pesawat Lion Air meminta untuk berpatah balik ke Bali lima minit sejurut berlepas, tetapi kemudian juruterbang berkata masalah sudah diselesaikan dan akan meneruskan penerbangan ke Jakarta,” kata juruterbang yang enggan dikenali itu.

Juruterbang menggunakan panggilan ‘Pan-Pan’ merujuk keadaan penting.

Ia adalah satu tahap di bawah ‘Mayday’, yang menunjukkan keadaan amat genting.

Jurucakap Lion Air enggan memberi ulasan apabila ditanya mengenai amaran yang diberikan terdahulu.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

Kotak hitam dipercayai milik Lion Air ditemui

JAKARTA, 1 NOV: Kotak hitam pesawat Lion Air yang terhempas, pada Isnin lalu dilaporkan ditemui di perairan Tanjung Karawang, pagi ini.

Menurut siaran langsung televisyen tempatan, TV One yang mengikuti operasi pencarian itu, kotak hitam dan sebahagian bangkai pesawat terbabit ditemui pasukan penyelam tentera Indonesia, kira-kira jam 10.30 pagi ini.

Setakat jam 11 pagi waktu Indonesia barat, belum terdapat makluman rasmi berkenaan penemuan itu oleh pihak berkuasa Indonesia.

Mengikut laporan televisyen berkenaan, kotak hitam itu dibawa ke Kapal KM Baruna Jaya 1.

Ketua Kesiapsagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi sebelum ini berkata, empat kapal yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu yang memiliki teknologi sonar mengesan isyarat ping di koordinat sama, di perairan Tanjung Karawang.

Fokus pencarian pesawat Lion Air yang terhempas hari ini bertumpu di satu koordinat dikesan isyarat ping dari kotak hitam pesawat itu.

Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal, terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada jam 6.20 pagi, di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lion Air: Objek dipercayai bangkai pesawat dikesan- TNI

JAKARTA, 31 OKT: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pada Isnin, hari ini mengesan satu objek dipercayai bangkai pesawat itu.

Laporan televisyen tempatan memetik Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto sebagai berkata pasukan SAR yang menggunakan teknologi sonar mengesan objek tersebut di satu koordinat di perairan berkenaan.

“Belum diyakini (bangkai pesawat), saat ini (kami) telah fokus satu titik (koordinat), apa yang diduga (dipercayai) adalah bahagian JT610 (pesawat Lion Air),” katanya dipetik siaran televisyen Berita Satu.

Beliau yang turut serta dalam operasi pencarian itu berkata pasukan penyelam telah diarahkan ke lokasi berkenaan.

Operasi pencarian 24 jam itu yang melibatkan anggota tentera, polis serta Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas)menggunakan 35 kapal, tiga helikopter serta tiga pesawat selain pasukan penyelam.

Operasi pencarian turut menggunakan peralatan canggih seperti pemerum gema berbilang alur, sonar dan kenderaan kawalan jauh (ROV) bagi mengesan bangkai pesawat.

Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi hari sama waktu Indonesia Barat, dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Bangkai pesawat Lion Air JT610 hampir ditemukan

JAKARTA 31 OKT: Bangkai pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Tanjung Karawang kemungkinan telah ditemukan, kata Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto.

Menurut beliau, melalui penggunaan teknologi sonar, pihak berkuasa yakin mereka telah menemukan lokasi pesawat Boeing 737-Max itu yang terhempas ke dalam laut kelmarin.

“Kami amat yakin telah dapat menentukan koordinat bangkai pesawat itu,’’ katanya.

Walau bagaimanapun menurut beliau, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada bangkai itu adalah milik pesawat terbabit.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Tragedi Lion Air: JT610 meragam sehari sebelum nahas

SINGAPURA/JAKARTA 30 OKT: Pesawat Boeing 737 MAX milik Lion Air yang terhempas di Indonesia pagi semalam terbang dalam keadaan terhuyung-hayang ketika penerbangan malam sebelumnya apabila ia mengalami masalah teknikal, menurut data daripada laman web pengesan penerbangan FlightRadar24.

Ketika berlepas dari Denpasar di Bali malam kelmarin, pesawat melaporkan perubahan luar biasa dalam altitud (ketinggian) dan kelajuan ketika beberapa minit penerbangan termasuk penurunan 875 kaki (267 meter) dalam tempoh 27 saat apabila ia biasanya menaik, sebelum stabil dan meneruskan perjalanan ke Jakarta.

Bagaimanapun, juruterbang meletakkan pesawat pada altitud maksimum 28,000 kaki (8,534.4 meter) berbanding 36,000 kaki (10,972.8) di laluan sama awal minggu ini.

Ketua Eksekutif Lion Air, Edward Sirait memberitahu media semalam, masalah teknikal berlaku dalam penerbangan Denpasar-Jakarta namun ia sudah dipulihkan ‘mengikut prosedur.’

Dua daripada penumpang pesawat menghantar tulisan di Instagram, melaporkan mereka bimbang mengenai masalah dengan sistem pendingin hawa dan lampu kabin sebelum pesawat berlepas lewat hampir tiga jam.

“Saya berang kerana sebagai penumpang yang membayar tiket, kami berhak menyoal keselamatan pesawat,” kata seorang daripadanya, hos televisyen, Conchita Caroline. Beliau menambah ada bunyi bising ‘pelik’ enjin ketika berlepas yang berterusan sepanjang penerbangan.

Tidak jelas jika masalah kabin berkaitan dengan masalah teknikal disebut Edward. Penerbangan Denpasar-Jakarta mendarat jam 10.55 malam waktu tempatan Ahad, memberi jurutera tempoh enam jam setengah untuk pemeriksaan sebelum ia berlepas untuk penerbangan malang Jakarta-Pangkal Pinang jam 6.20 pagi semalam.

Pesawat terjunam ke dalam laut kira-kira 13 minit sejurus berlepas dari Jakarta dan kesemua 189 penumpang dipercayai maut. FlightRadar24 juga melaporkan kelajuan dan altitud luar biasa ketika beberapa minit pesawat JT610 berada di udara semalam.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

Nahas Lion Air: Pasukan mencari temui beberapa mayat

JAKARTA 30 OKT: Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia menemui beberapa lagi mayat di lokasi pesawat Lion Air yang terhempas ke dalam laut dan mengorbankan semua 189 penumpang serta anak kapal.

Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Muhammad Syaugi berkata, puluhan penyelam terbabit dalam usaha menyelamat.

Pasukan penyelamat sudah mengisi 10 beg dengan anggota badan manusia yang akan dibawa ke Jakarta untuk dikenal pasti identiti mayat.

Katanya, sebanyak 14 lagi beg diisi dengan serpihan pesawat yang dikumpulkan dan usaha mencari bangkai pesawat di dasar laut masih diteruskan hari ini.

“Kami berharap dapat menjumpai rangka utama kerana serpihan pesawat yang terapung di air sudah dikutip,” kata Syaugi.

Bagaimanapun, agensi itu menolak kemungkinan untuk mencari mangsa yang selamat semalam, selepas menjumpai bahagian badan manusia selepas pesawat itu dipercayai terjunam sedalam 30 hingga 40 meter ke dalam Laut Jawa.

“Keutamaan kami ketika ini adalah untuk mencari rangka utama pesawat dengan bantuan kapal perang yang dilengkapi peralatan sonar untuk mengesan logam bawah air,” kata jurucakap agensi pencarian dan penyelamat Indonesia, Yusuf Latif.

Setakat ini agensi mencari masih belum menjumpai perakam suara dan data.

Pesawat malang itu dalam penerbangan dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang sebelum ia terputus hubungan, kira-kira jam 6.30 pagi.

SUMBER: REUTERS

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB ucap takziah keluarga mangsa nahas pesawat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 30 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa nahas pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Karawang, Indonesia, semalam.

Menerusi catatan terbaharunya di Twitter hari ini, beliau menyatakan rasa simpati dan sedih selepas menerima perkhabaran itu.

“Saya melahirkan rasa dukacita atas kehilangan penumpang dan krew pesawat Lion Air JT610 yang terhempas semalam di perairan Kerawang.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Ucapan takziah kepada ahli keluarga di atas ujian yang berat ini. #JT610,” tulisnya.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 yang membawa 189 penumpang dan anak kapal dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas pada jam 6.20 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Pesawat berkenaan sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).