Categories
NASIONAL

KKMM alu siasatan SPRM terhadap FINAS

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu kewangan membabitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Justeru, Menterinya, Gobind Singh Deo berharap suruhanjaya itu akan memberi respon segera bagi mendapatkan gambaran jelas terhadap pentadbiran FINAS selama ini.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM ini dan minta dipercepatkan keputusannya kerana ia membabitkan jumlah yang sangat besar,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, laporan Ketua Audit Negara menyatakan kedudukan kewangan FINAS dan prestasi kewangan serta aliran tunai, pada 31 Disember 2016 tidak selaras dengan piawaian pelaporan ditetapkan.

Laporan itu turut menghuraikan 11 sebab sebagai asas kepada pendapat bertentangan dengan Penyata Kewangan FINAS.

“Saya memandang serius laporan Ketua Audit Negara ini dan laporan bahawa Penyata Kewangan FINAS tidak memberi gambaran benar dan saksama adalah berat serta sama sekali mematahkan integriti sistem kewangan FINAS sepert diharapkan di dalam penyata kewangan itu.

“Ia menunjukkan sistem perakaunan FINAS sangat lemah dan tidak boleh diterima serta tiada akauntabiliti bagi jumlah wang sangat besar,” kata Gobind lagi.

Laporan itu menghurakan antaranya cukai pendapatan lebih RM6.2 juta dan RM3.2 juta bagi tahun taksiran 2006 sehingga 2015 dan RM2.1 juta bagi 2016; ketepatan baki bank (RM11.5 juta); baki pendahuluan dan penghutang pinjaman (RM2.4 juta) dan (RM3.04 juta); penghutang sewaan (RM81,707) di mana identiti penghutang sewaan tidak dapat dikenal pasti; baki penghutang pelbagai sebanyak RM146,107 dan berbaki kredit sebanyak RM12.6 juta yang tidak dapat dikenal pasti; pelbagai pemiutang (RM1.3 juta) dan RM30.1 juta yang tidak dapat dikenalpasti; keraguan berkaitan deposit filem berjumlah (RM18.4 juta) dan sebagainya.

Sehubngan itu, katanya, satu lembaga perbadanan baharu FINAS dilantik terdiri daripada individu berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang perfileman, karyawan serta perakaunan.

“Saya akan umumkan badan baharu ini pada minggu depan dan berharap mereka dapat meningkatkan prestasi FINAS supaya kita boleh berjaya dalam industri ini, bukan sahaja di Malaysia tetapi di pentas dunia,” katanya.