Categories
EKONOMI

Malaysia naik ke tangga 15 dalam senarai menjalankan perniagaan Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Malaysia naik sebanyak sembilan tangga untuk berada di kedudukan ke-15 di kalangan 190 ekonomi dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2019 Bank Dunia, yang memberi pengiktirafan ke atas peraturan-peraturan mudah cara bagi menjalankan perniagaan yang terbaik.

Ahli Ekonomi Kanan dan Perangkaan (Pembangunan Ekonomi – Kumpulan Petunjuk Global) Bank Dunia, Arvind Jain berkata kepantasan dalam pembaharuan telah membantu melonjakkan Malaysia untuk berada di kalangan 20 ekonomi terbaik di dunia.

“Malaysia telah melaksanakan enam pembaharuan perniagaan pada tahun lepas, ini menyebabkan peningkatan dramatik dalam skor perniagaan secara keseluruhan, yang meningkatkan kedudukan Malaysia ke tangga 15 pada 2018 berbanding 24 sebelum ini,” katanya kepada pemberita dalam taklimat mengenai laporan itu, semalam.

Katanya, pembaharuan itu merangkumi kemudahan memulakan perniagaan, urusan memperoleh permit pembinaan, kemudahan elektrik, pendaftaran hartanah, perdagangan merentasi sempadan dan penyelesaian insolvensi.

Arvind mengakui membuat pembaharuan bukan mudah, beliau memuji rekod Malaysia pada kitaran sebelum ini dalam agenda reformasi dan berharap Malaysia akan terus berada dalam 20 senarai terbaik.

Menurut laporan berkenaan, lima negara teratas dalam kemudahan menjalankan perniagaan adalah New Zealand dengan skor sebanyak 86.59, Singapura (85.24), Denmark (84.64) Hong Kong (84.22) dan Korea Selatan (84.14).

Di ASEAN, Malaysia menduduki posisi kedua atau di belakang Singapura dengan markah 80.60, tetapi mendahului Thailand (kedudukan ke-27), Brunei (ke-55), Vietnam (ke-69), Indonesia (ke-73) dan Myanmar (ke-171).

Laporan Bank Dunia itu memberitahu Malaysia juga memiliki prestasi terbaik dalam beberapa bidang berkaitan dengan menjalankan perniagaan, seperti perlindungan ke atas pelabur minoriti di mana ia menduduki tempat kedua selepas New Zealand.

Kecemerlangan negara dalam bidang ini diperkukuhkan lagi dengan skor sebanyak 10 dalam Indeks Pendedahan.

“Pembaharuan yang dibuat pada tahun sebelum ini bagi menambah baik proses permit pembinaan telah membantu negara naik ke tangga ketiga dalam bidang berkaitan, sekarang hanya 54 hari sahaja diperlukan bagi mendapatkan permit di Malaysia berbanding dengan 158 hari di kebanyakan negara atau 133 hari secara purata di Asia Tenggara dan Pasifik.

Dalam urusan bagi mendapatkan bekalan elektrik, Malaysia sekarang disenaraikan pada tempat keempat di peringkat global, dengan kos untuk mendapatkan sambungan elektrik oleh perniagaan baharu di negara ini adalah lebih murah sebanyak 26 peratus daripada pendapatan per kapita berbanding purata sebanyak 625 peratus di Asia Timur dan Pasifik.

Bagaimanapun, negara masih lemah dalam urusan memulakan perniagaan, ia masih tertinggal pada kedudukan ke-122.

“Walaupun pelbagai pembaharuan telah dibuat pada tahun-tahun sebelum ini, pendaftaran perniagaan masih mengambil masa selama 13.5 hari dan langkah sebanyak 9.5 prosedur, berbanding dengan dua prosedur serta 1.5 hari di Singapura dan 3.5 prosedur serta 5.5 hari di Brunei, mereka adalah yang terbaik di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata dalam satu kenyataan bahawa fokus dan hala tuju inisiatif pembaharuan sedang berada di landasan yang betul, ini telah dicerminkan melalui kedudukan Malaysia yang lebih baik dalam tanda aras global.

Katanya, salah satu daripada inisiatif-inisiatif ini merupakan tindakan susulan yang diambil melalui cadangan yang telah disampaikan oleh kumpulan Bank Dunia kepada Malaysia.

Darell berkata, kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), telah banyak membuat pembaharuan kawal selia dan penambahbaikan melalui sokongan pihak-pihak yang berkepentingan.

Melangkah ke hadapan, dalam usaha mempercepatkan pembaharuan kawal selia untuk meningkatkan daya saing perniagaan, struktur tersebut akan diperkukuhkan bagi menangani sebarang isu di peringkat dasar dan pelaksanaan dengan lebih baik, katanya.

Katanya, kerajaan melalui Pemudah akan melaksanakan lebih banyak inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia baharu.

SUMBER: BERNAMA