Categories
SELANGOR

Program Jom Shopping dikaji semula pastikan releven

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 NOV: Pelaksanaan Program Jom Shopping sama ada ia relevan untuk diteruskan pada masa akan datang akan dikaji sejajar dan bersesuaian dengan prestasi kewangan negeri serta senario ekonomi semasa.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, sebarang syor atau cadangan dialu-alukan dalam memastikan rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan sentiasa mendapat manfaat serta terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.

“Kerajaan Negeri sentiasa tuntas dalam menyelusuri pelbagai inisiatif untuk membantu mengurangkan masalah kemiskinan yang kian menghimpit rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut sama ada program Jom Shopping akan menggunakan sistem e-kasih untuk pengesahan status, Ganabatirau berkata, sistem tradisi masih digunakan sebagaimana ia mula diperkenalkan sebelum ini.

Terdahulu, program Jom Shopping diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2012 bermatlamat meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan.

Menerusi program itu, setiap keluarga berpeluang membuat pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih bersempena tiga perayaan utama antaranya Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.