Categories
SUKANKINI

STA rai pemain tenis musim 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 NOV: Lebih 80 pemain bersama jurulatih dan pegawai Persatuan Tenis Selangor (STA) diraikan dalam satu Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Ke-12 bertempat di Blackbox @ SACC Mall, semalam.

Lima pemain menerima penghargaan berdasarkan pencapaian terbaik sepanjang tahun 2018 dan hadiah disampaikan Presiden STA, Dato’ Mohamad Taufik Omar bersama Naib Presiden, YDM Tengku Dato’ Mohamed Tengku Harun.

Hayden Khoi-Menon memenangi Anugerah Most Improved Player 2018 selepas memenangi tiga kejohanan tempatan serta mewakili Malaysia pada kejohanan ITF World Junior Tennis, Sri Lanka.

Anugerah Most Promising Player (Lelaki) 2018 dimenangi pemain di ranking kelima ATF, Christian Andre Liew Sheng dengan pencapaian tempat kedua dan ketiga keseluruhan dalam dua kejohanan antarabangsa selain terpilih menyertai pasukan Asia ke Eropah bagi kejohanan Bawah 14 tahun Eropah.

Sharifah Elysia Wan Rahman pula mengungguli kategori Most Promising Player (Wanita) 2018 dengan tiga kejayaan kejohanan tempatan, mewakili Malaysia di Junior Fed Cup di Kuching Sarawak serta mewakili Selangor pada SUKMA 2018 di Perak.

Anugerah Best Player (Lelaki) 2018 di berikan kepada pemain di ranking ITF ke-395, Darrshan Suresh yang kini menyertai kejohanan di India atas lima kejayaan peringkat antarabangsa selain mewakili Selangor pada SUKMA 2018 di Perak.

Sementara Anugerah Best Player (Wanita) 2018 diberikan kepada pemain ranking pertama kebangsaan, Suhana Sofia Adam Das atas pencapaian mewakili Malaysia dalam Fed Cup 2018.

Dalam majlis sama turut berlangsung penyampaian hadiah kepada 80 pemain yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir bagi 10 kategori sempena STA/MBPJ Milo Junior Monthly Medal Masters serta STA-Genting Junior Age Group Master.

Penghargaan turut diberikan kepada barisan penaja sepanjang musim 2018 iaitu Genting Malaysia Berhad, PKNS PREC, Nestle Product dan F&N Baverages Marketing Sdn Bhd.

Turut diraikan peserta luar negara yang terdiri daripada Uzbekistan, Tajikistan, Vietnam, Filipina dan Korea.