Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Suruhanjaya TVET dan Industri perlu diwujudkan untuk penyelarasan lebih cekap

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Nurul Izzah Anwar menegaskan keperluan mewujudkan Suruhanjaya TVET dan Industri di bawah Parlimen adalah untuk penyelarasan yang lebih cekap dalam bidang itu.

Katanya, suruhanjaya itu antara lain perlu berfungsi sebagai penggerak utama dalam usaha meningkatkan TVET dengan menyelaraskan tujuh kementerian yang bertanggungjawab sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga mahir negara.

“Kita dengar banyak benar kementerian yang mengawal selia, jadi semua ini, Insya-Allah, saya gabungkan menerusi Rang Undang-Undang untuk menubuhkan Suruhanjaya TVET dan industri.

“Bertahun-tahun Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) mengalami masalah ini, dan pada saya kalau kita nak selesaikan, kita kena pergi ke pangkal masalah dan kita harus berani melakukan sesuatu, dan akhirnya Parlimen harus jadi badan yang terulung untuk mengawal selia, JPK patut diletakkan di bawah Parlimen,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini malam tadi.

Nurul Izzah berkata beliau komited dan fokus dalam bab legislatif iaitu melaksanakan suruhanjaya ini dan menegaskan keperluan penyelarasan dalam mengawal selia kesemua tujuh kementerian sedia ada.

“Kalau kita tengok mana-mana negara lain, di United Kingdom contohnya ada Ofsted. (The Office for Standards in Education, Children’s Services and Skills) Ofsted nak tutup (industri), atau buka, dialah berkuasa. Jadi di sini, kita perlu ada Suruhanjaya TVET. kenapa? Untuk mengawal selia tujuh kementerian,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional telah meletakkan tujuh kementerian bagi pelaksanaan TVET iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani manakala Kementerian Sumber Manusia sebagai penyelaras.

SUMBER: BERNAMA