Categories
GLOBAL

Turki mungkin minta PBB campur tangan kes Khashoggi

WASHINGTON/ANKARA 21 NOV: Turki tidak berpuas hati secara keseluruhan terhadap tahap kerjasama diterimanya daripada Arab Saudi berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi dan mungkin menuntut siasatan rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jika perhubungan dengan Riyadh menemui jalan buntu.

Menteri Luarnya Mevlut Cavusoglu bercakap kepada media di Washington semalam selepas bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata, Turki berkongsi maklumat terbaharu berkaitan pembunuhan Khashoggi dengan AS dan mengulangi pendirian Ankara bahawa kebenaran perlu didedahkan terhadap siapa yang memberi arahan membunuh wartawan berkenaan.

“Sehingga kini, kami menerima tawaran Arab Saudi untuk bekerjasama dengan kami tanpa teragak-agak.

“Bagaimanapun, melihat kepada kerjasama itu kini, oleh kerana kami tidak menemui jawapan terhadap persoalan yang saya senaraikan, kerjasama ini bukan di peringkat yang kami mahu.

“Jika wujud kebuntuan di sini dan siasatan hanya sejauh itu atau tiada kerjasama penuh, justeru kami boleh membuat permohonan perlu untuk satu siasatan antarabangsa,” kata Cavusoglu menambah, beliau membincangkan isu itu dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Khashoggi, kolumnis akhbar The Washington Post berpusat di AS dan pengkritik kerajaan Arab Saudi dikendalikan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, dibunuh 2 Oktober lalu dalam konsulat Riyadh di Istanbul.

Selepas menawarkan pelbagai penjelasan bercanggah atas kehilangan Khashoggi, Riyadh berkata minggu lalu wartawan itu dibunuh dan anggota tubuhnya dikerat apabila ‘rundingan’ meyakinkan beliau kembali ke Arab Saudi, gagal. Pendakwa raya awam berkata, ia akan memohon hukuman mati lima suspek dalam kes itu.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pembunuhan itu diarahkan di ‘peringkat tertinggi’ kerajaan Arab Saudi, namun tidak menuduh Mohammed secara langsung. Arab Saudi menafikan putera raja itu mengarahkan pembunuhan Khashoggi.

Cavusoglu juga berkata, beliau dan Erdogan sudah mendengar rakaman audio pembunuhan Khashoggi.

“Ia amat menjijikkan. Jika anda mendengarnya anda faham ia adalah pembunuhan dirancang,” katanya, menambah terpulang kepada perundangan Turki untuk memutuskan mahu mendedahkan rakaman terbabit.

SUMBER: REUTERS