Categories
EKONOMI

AirAsia raih 2 anugerah Kelab Billion Ringgit The Edge 2018

KUALA LUMPUR, 12 DIS: AirAsia meraih dua anugerah berprestij di Kelab Billion Ringgit The Edge 2018 kerana pertumbuhan keuntungannya yang kukuh sejak tiga tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, anugerah tersebut adalah untuk Pertumbuhan Keuntungan Tertinggi Selepas Cukai Lebih Tiga Tahun untuk Syarikat Modal Besar RM10 Bilion Hingga RM40 Bilion Permodalan Pasaran serta Pertumbuhan Tertinggi Keuntungan Selepas Cukai Selama Tiga Tahun untuk Produk dan Perkhidmatan Pengguna.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pengiktirafan ini mencerminkan komitmen AirAsia untuk membina perniagaan yang kukuh dan menguntungkan dan memberikan nilai terbaik kepada pemegang saham.

“Kami akan meneruskan perjalanan kami dalam kecemerlangan apabila kami berubah menjadi sebuah syarikat teknologi perjalanan yang akan melihat AirAsia berkembang melepasi penerbangan kepada perjalanan dan gaya hidup penuh, dengan tulang belakang digital yang membolehkan kami mewujudkan pengalaman mudah alih, lancar, lebih khusus,” tambahnya.

Kelab Billion Ringgit The Edge, yang dianjurkan The Edge Media Group, dimulakan pada2010 untuk mengiktiraf syarikat tersenarai berprestasi tinggi di Malaysia dengan permodalan pasaran lebih RM1 bilion.

SUMBER: BERNAMA