Categories
SELANGOR

Polis sedia kawal keselamatan sempena Perayaan Krismas Peringkat Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 DIS: Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Daerah Kajang bersedia sepenuhnya bagi mengawal keselamatan dan kelancaran lalu lintas sempena Sambutan Perayaan Krismas peringkat Selangor 2018, di Padang Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), pada 15 Disember ini.

Ketua JPKK, Deputi Superitendan (DSP) Azmi Awang Lah berkata, kawalan keselamatan itu membabitkan kira-kira 50 anggota yang akan ditempatkan di lokasi program termasuk beberapa tempat awam lain yang sudah ditetapkan.

“Mereka akan membuat pemantauan sepanjang masa bermula petang sehingga program berakhir bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Melalui anggota yang akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan sepanjang program, mereka bukan sahaja ditugaskan menjaga keamanan serta keselamatan tetapi turut memastikan aktiviti program berjalan lancar,” katanya kepada SelangorKini.

Azmi berkata, orang awam dinasihatkan membuat perancangan teliti dan hadir awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas kerana jangkaan lebih 8,000 pengunjung akan memeriahkan sambutan berkenaan.

“Pengunjung juga disaran menggunakan sistem pengangkutan awam kerana dikhuatiri tempat letak kereta disediakan tidak mampu menampung jumlah kenderaan berdasarkan jangkaan orang ramai yang akan hadir.

“Diharapkan pengunjung mematuhi setiap arahan dikeluarkan oleh pihak kami dari semasa ke semasa,” katanya.