Categories
PBT SELANGOR

MPSJ roboh kilang besi buruk ceroboh tanah kerajaan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 6 DIS: Enam premis besi buruk dikenakan tindakan perobohan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akibat menceroboh tanah milik kerajaan, hampir tiga tahun.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkurnain Che Ali berkata, premis besi buruk itu bukan saja menjalankan operasi secara haram, bahkan turut mendatangkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan.

Katanya, ada penduduk mendakwa pekerja premis di situ sering membuat pembakaran besi secara terbuka sehingga menghasilkan asap hitam serta bau busuk.

“Disebabkan itu, kita terus bertindak untuk membuat kerja perobohan memandangkan pemilik juga mengabaikan amaran yang diberi sebelum ini. Tindakan diambil mengikut Akta 426 (A).

“Atas kesalahan berkenaan, pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara tidak lebih lima tahun,” katanya ketika operasi premis besi buruk, di Kampung Bukit Lanchong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Mohd Farid Shaharir, serta 50 kakitangan MPSJ, PDT Petaling, Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Pengairan Selangor.

Mohammad Zulkurnain berkata, tindakan perobohan yang dijalankan secara bersepadu itu turut dipersetujui EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau.

“Sebelum ini, MPSJ sudah banyak beri teguran kerana mungkin mereka ingat kita main-main.

“Ini juga adalah operasi perobohan terbesar membabitkan premis besi buruk di Subang Jaya, sekali gus memberi pengajaran dan ingatan kepada premis lain supaya tidak mengingkari undang-undang ditetapkan,” katanya.