Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Tourism Malaysia rancang tarik pelancong Rusia dan Asia Tengah

LANGKAWI, 1 Dis: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menyasarkan lebih ramai pelancong dari bahagian timur Rusia serta negara Asia Tengah melawat Malaysia, pada tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, lebih kurang 52,000 pelancong Rusia melawat Malaysia tahun lalu dan jumlah itu disasarkan mencapai 100,000 menjelang akhir tahun depan.

“Jumlah kedatangan pelancong dari negara Asia Tengah seperti Uzbekistan dan Kazahkstan amat menggalakkan dan kita mahu menembusi pasaran itu lebih lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan renang antarabangsa ‘Oceanman’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia Tourism Promotion Board (Tourism Malaysia) mempunyai pejabat di Moscow dan Seoul yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk menjalankan usaha promosi di Rusia dan Asia Tengah.

“Kita merancang mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa pelancongan di Thailand dan Indonesia yang sejak sekian lama menerima ramai pelancong dari Rusia bagi membawa pelancong itu melawat negara ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar berkata, perancangan Qatar Airways untuk memulakan penerbangan ke Langkawi pada April tahun depan, akan mampu meningkatkan jumlah pelancong ke pulau peranginan ini.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa menyertakan Langkawi dalam laluan mereka selain memberi kemudahan bagi penganjuran lebih banyak acara antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.

Katanya, seperti kejohanan ‘Oceanman’ ini adalah antara acara antarabangsa yang sejajar dengan perancangan kementerian untuk meningkatkan jumlah pelancong ke pulau ini.

“Sejumlah 280 peserta daripada 19 negara mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan memberi kesan berganda apabila mereka membawa bersama anggota keluarga dan penyokong untuk melancong di Pulau Langkawi,” katanya

SUMBER: BERNAMA