Categories
AGENDA NASIONAL

TMM2020: Pelancaran perdana hujung tahun ini

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan membuat pelancaran perdana Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) pada hujung tahun ini, kata Timbalan Menteri Motac, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata selain itu, prapelancaran TMM2020 dengan kerjasama setiap negeri juga akan diadakan bermula Januari 2020.

Beliau berkata, pelbagai usaha akan dilaksana secara berterusan bagi mempergiat kempen TMM2020 dengan kerjasama semua pihak termasuk media, bloggers antarabangsa dan ahli Parlimen.

“Prapelancaran dengan kerjasama setiap negeri itu adalah bagi meningkatkan publisiti TMM2020, selain itu kita juga akan mengadakan majlis sambutan di lapangan terbang dan pintu-pintu masuk negara yang terpilih untuk menyambut pelancong pada hari pertama TMM2020.

“Kita juga akan buat program suai kenal bersama media, bloggers dan influencers (pempengaruh) antarabangsa serta agensi pelancongan luar negara, di samping satu sesi taklimat khas berkaitan pelaksanaan kempen TMM2020 akan diadakan pada 19 November di sini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang meminta Motac menyatakan tindakan yang telah dibuat kementerian itu untuk menarik 20 juta pelancong semasa kempen TMM2020.

Tambah Muhammad Bakhtiar, kerjasama dengan semua pihak itu akan memfokuskan kepada mempromosi pelancongan budaya yang mengandungi elemen kesatuan kaum dan kepelbagaian budaya.

Sempena TMM2020, Motac dengan kerjasama Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) ​berjaya mengesahkan bidaan bagi 38 acara perniagaan antarabangsa pada tahun depan.

“Melalui kerjasama ini bagi mempromosi TMM2020, kita akan dapat menyaksikan penyertaan 49,699 delegasi tempatan dan antarabangsa, serta bakal menghasilkan impak ekonomi berjumlah RM590 juta,” katanya.

Beliau berkata, imej negara pada masa kini adalah positif dan ia dapat dibuktikan apabila negara menerima pengiktirafan antarabangsa contohnya Kuala Lumpur dinobatkan pada kedudukan keenam bagi World’s Most Visited oleh Mastercard pada 2019.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bidang seni pemangkin pembangunan ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Bidang seni perlu dilihat sebagai landasan yang mampu bersaing ke arah pembangunan ekonomi negara menerusi penghasilan pelbagai karya artis muda tempatan, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata, koleksi seni berpotensi menjadi aset berharga yang akan mencipta dimensi baharu secara profesional dan sejarah kepada negara pada masa hadapan.

“Pertandingan Bakat Muda Sezaman ini memainkan peranan penting bagi mengetengahkan artis muda tempatan yang berbakat serta berpotensi menghasilkan karya dari pelbagai jenis media dan gaya dalam berkarya.

“Sejak pertandingan ini diperkenalkan dan kini telah masuk edisi ke-25, ramai pengkarya di peringkat ‘Biennale’ dan ‘Triennale’ antarabangsa sudah berjaya dilahirkan,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Bakat Muda Sezaman (BMS19) atau Young Contemporary Award di Balai Seni Negara di sini, malam tadi

Beliau berkata, kebanyakan artis muda berkenaan juga berjaya membina karier dan mencipta nama di peringkat tempatan mahupun antarabangsa seperti Shamsuddin Wahab, Syafiq Nordin, Syed Fakharuddin yang membuat pameran antaranya di New York, Jepun, Korea dan China.

“Selain menawarkan pengalaman kerjaya profesional sebagai artis muda kontemporari, bidang seni juga menjadi platform membina hubungan antarabangsa serta menjenamakan seni Malaysia di luar negara,” katanya.

Menurut Bakhtiar, sempena Visit Malaysia 2020, penganjuran KL Biennale 2020 turut akan diadakan oleh Balai Seni Negara yang bakal menarik para pengunjung dalam dan luar negara, secara tidak langsung menjadikan acara seni itu sebagai antara tumpuan pelancong.

Katanya, penganjuran BMS19 juga selaras dengan objektif kementerian untuk menyediakan modal insan yang berilmu, berkemahiran, kreatif dan inovatif dalam sektor pelancongan dan kebudayaan.

Sebanyak 168 penyertaan diterima dan hanya 44 peserta layak ke peringkat akhir dengan karya bertemakan ‘Bebas’ menerusi karya seni instalasi termasuk bentuk seni konvensional seperti catan, cetakan dan arca.

Pada majlis itu pemenang, Samsudin Abdul Wahab memenangi anugerah utama dengan menerima wang tunai RM30,000 sementara dua lagi kategori dipertandingkan iaitu anugerah khas juri dan anugerah pilihan pelawat masing-masing menawarkan hadiah RM7,000 dan 2,000 kepada pemenang.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Tourism Malaysia rancang tarik pelancong Rusia dan Asia Tengah

LANGKAWI, 1 Dis: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menyasarkan lebih ramai pelancong dari bahagian timur Rusia serta negara Asia Tengah melawat Malaysia, pada tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, lebih kurang 52,000 pelancong Rusia melawat Malaysia tahun lalu dan jumlah itu disasarkan mencapai 100,000 menjelang akhir tahun depan.

“Jumlah kedatangan pelancong dari negara Asia Tengah seperti Uzbekistan dan Kazahkstan amat menggalakkan dan kita mahu menembusi pasaran itu lebih lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan renang antarabangsa ‘Oceanman’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia Tourism Promotion Board (Tourism Malaysia) mempunyai pejabat di Moscow dan Seoul yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk menjalankan usaha promosi di Rusia dan Asia Tengah.

“Kita merancang mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa pelancongan di Thailand dan Indonesia yang sejak sekian lama menerima ramai pelancong dari Rusia bagi membawa pelancong itu melawat negara ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar berkata, perancangan Qatar Airways untuk memulakan penerbangan ke Langkawi pada April tahun depan, akan mampu meningkatkan jumlah pelancong ke pulau peranginan ini.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa menyertakan Langkawi dalam laluan mereka selain memberi kemudahan bagi penganjuran lebih banyak acara antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.

Katanya, seperti kejohanan ‘Oceanman’ ini adalah antara acara antarabangsa yang sejajar dengan perancangan kementerian untuk meningkatkan jumlah pelancong ke pulau ini.

“Sejumlah 280 peserta daripada 19 negara mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan memberi kesan berganda apabila mereka membawa bersama anggota keluarga dan penyokong untuk melancong di Pulau Langkawi,” katanya

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Petisyen Helah Undang-Undang Sembunyi Penipuan Pilihan Raya

anwar white

PETALING JAYA 31 JULAI : Penolakan petisyen pilihan raya tanpa alasan munasabah cuma satu helah undang-undang dan cubaan menyembunyikan penipuan pilihan raya di negara ini.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan  badan kehakiman mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak yang memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah bukannya menolak petisyen itu atas alasan teknikal semata-mata.

Katanya semua petisyen pilihan raya yang dikemukakan kini sudah tiada makna kerana hakim yang dilantik khas tidak mahu mendengar petisyen itu untuk dibicarakan.

“Saya sudah suarakan kekecewaan kita terhadap sikap hakim-hakim yang dipilih khas untuk mengendalikan kes ini dengan hanya menggunakan su-isu teknikal yang kecil dan tidak munasabah. Bagi saya ia usaha untuk memperbodohkan rakyat.

“Petisyen-petisyen ini ditolak hanya kerana perkara kecil, saya rasa hakim perlu meneliti semula pengajian undang-undang mereka bagi menghormati prinsip keadilan, bukannya mencari alasan supaya kes itu tidak didengari.

“Sepatutnya hakim beri ruang untuk didengar semua pihak, kemudian baru putuskan ia benar atau tidak, tetapi sekarang, ruang itu dinafikan,” katanya.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) memfailkan kira-kira 39 petisyen terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu.

Isnin lalu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria campur tangan dalam isu petisyen pilihan raya ekoran keputusan mahkamah menolaknya tanpa alasan munasabah.

Beliau turut bimbang dengan penolakan petisyen pilihan raya yang kini sudah masuk 10 kes dengan alasan teknikal sedangkan mahkamah meletak jumlah kos yang tinggi setiap petisyen.

Antara petisyen yang mendapat perhatian ialah kes di Balik Pulau apabila mahkamah mengarahkan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik membayar kos RM120,000 selepas menfailkan keputusan pilihan raya bagi kawasan itu.

Bagi Parlimen Ketereh, Mahkamah Kota Bharu mengarahkan pempetisyen yang difailkan, Ab Aziz Ab Kadir membayar kos RM40,000 kepada responden pertama, Ahli Parlimennya, Tan Sri Annuar Musa dan masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga.

Bagi DUN Air Lanas, pempetisyen yang dinamakan Mustapha Deris diarah membayar kos RM30,000 kepada Adun Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagi DUN Kok Lanas, pempetisyen Shaberi Mohd Zain diarah membayar RM30,000 kepada Adunnya, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga.