Categories
NASIONAL

Wujud sejuta peluang pekerjaan bukan janji kosong

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Manifesto Pakatan Harapan untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu bukan hanya janji kosong, sebaliknya ia akan dilaksanakan.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, kerajaan mampu mencapai sasaran itu, namun negara pada masa ini menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

“Masalahnya ialah guna tenaga penuh dengan peratusan tidak bekerja hanya 3.4 peratus dan kekurangan tenaga kerja, justeru usaha sedang dibuat supaya kita dapat lebih banyak tenaga kerja yang boleh meningkatkan pendapatan negara ini.

“Meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 adalah dasar kerajaan, ia semestinya boleh dicapai dalam tempoh lima tahun dan usaha pertama dimulakan dengan meningkatkannya daripada RM1,000 kepada RM1,100 yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) sama ada kerajaan akan melaksanakan janji mewujudkan sejuta peluang pekerjaan seperti terkandung dalam manifestonya.

Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran suku ketiga 2018 mencatatkan kadar 3.4 peratus, tidak berubah berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, kadar pengangguran graduan pada 2017 adalah 137,400, meningkat 4.4 peratus berbanding 131,600, pada 2016.

“Golongan ini yang berada dalam proses transisi daripada alam pembelajaran kepada pasaran pekerjaan juga akan melalui proses untuk mendapatkan pekerjaan.

“Antara program yang dilaksanakan bagi menangani perkara ini ialah menaik taraf sistem portal pekerjaan JobsMalaysia sebagai projek pembangunan kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ke-11; Program Penempatan Pekerjaan (3P) antaranya karnival kerjaya dan temu duga terbuka,” katanya.

*Sumber: BERNAMA