Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Badan promosi pelancongan disaran sertai program di Jerman

LANGKAWI, 13 JAN: Kerajaan menyarankan badan promosi pelancongan negeri, termasuk pihak swasta supaya menyertai promosi pelancongan di Jerman, pada Mac ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penyertaan pada program promosi itu penting kerana Malaysia menjadi rakan rasmi negara bagi penganjuran International Tourismus-Boerse (ITB) 2019 yang akan diadakan di Berlin.

“Peluang sebegini tidak harus dilepaskan para pemain dalam industri pelancongan kerana ini adalah landasan promosi terbesar pelancongan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama penggiat industri perhotelan di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai ITB, perlu merujuk kepada pihak kementerian untuk tindakan lanjut dan pengesahan penyertaan.

“Saya yakin dengan penyertaan dari setiap negeri, ia akan memberikan impak lebih besar kepada industri pelancongan negara,” katanya.

*Sumber: BERNAMA