Categories
NASIONAL

Buku teks program dwibahasa dibekal bermula Mac

PUTRAJAYA, 9 JAN: Pembekalan buku teks Program Dwibahasa (DLP) untuk semua sekolah yang menawarkan mata pelajaran Matematik Tingkatan 3 dan Sains Tingkatan 3 dilaksanakan mulai Mac ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata, pembekalan buku teks tersebut tidak dapat dilaksanakan pada awal sesi persekolahan ekoran perubahan untuk menambah baik sistem perolehan dan mengelakkan sistem rundingan terus sejak pertengahan 2018.

Katanya, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak terjejas, KPM mengambil langkah-langkah alternatif sementara.

“Kesemua sekolah yang menawarkan DLP dibekalkan dengan empat cakera padat yang mengandungi empat bab awal buku teks subjek berkenaan untuk digunakan semasa proses PdP,” katanya.

KPM berkata beberapa pautan di laman sesawang http://bukutekskssm.my dan http://sasbadisb.com turut disediakan bagi membolehkan guru dan murid memuat turun bahan pembelajaran DLP.

KPM turut meminta semua pentadbir sekolah menyebarluaskan maklumat berkaitan bagi memastikan guru dan murid memanfaatkan bahan-bahan yang disediakan untuk membantu proses PdP mata pelajaran tersebut.

– BERNAMA