Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Elak pertindihan tawaran, KPM perkenal portal MyUPU kemasukan IPT

JOHOR BAHRU, 15 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) memperkenalkan MyUPU, portal bersepadu baharu untuk permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Instituti Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke peringkat asasi, diploma serta sijil mulai sesi akademik 2020/2021.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata portal tunggal tersebut bertujuan membolehkan lebih ramai lepasan SPM berpeluang melanjutkan pelajaran di samping mengelakkan berlakunya pertindihan tawaran.

“Tahun ini kami gabungkan, hanya gunakan ‘single window’ untuk semua penempatan ke IPT kerana tujuan kami adalah untuk mengelakkan berlakunya tawaran bertindih.

“Kami mahu mengelakkan seorang pelajar mendapat dua tiga tawaran seperti tahun-tahun sebelumnya. Tahun lepas terdapat 10,000 tempat dari keseluruhan institusi pengajian tidak diisi, jadi, menerusi MyUPU, diharapkan ia dapat memaksimumkan kapasiti yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Masuk IPT 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Turut hadir pada program disertai 100 pempamer merangkumi universiti awam dan swasta itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor Aminolhuda Hasan dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar.

Teo berkata terdapat 135,000 kapasiti atau peluang untuk melanjutkan pelajaran di semua IPT dan ILKA tahun ini dengan diharapkan kesemua kapasiti itu mampu diisi.

Sementara itu, berhubung program Jom Masuk IPT yang bermula hari ini sehingga 29 Mac depan, beliau berkata seramai 230,000 pengunjung disasarkan KPM di lapan lokasi yang dianjurkan di seluruh negara termasuk 20,000 pengunjung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Menurut Teo, selepas Johor, program tersebut akan dianjurkan di Pahang, Kedah, Sabah, Perak, Terengganu, Sarawak serta Selangor.

“Program ini bertujuan untuk mempromosi dan menyebarkan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan IPT, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik dan Kolej Komuniti serta ILKA,” katanya.

Beliau berkata penganjuran program tersebut juga seiring dengan pembukaan permohonan kemasukan ke IPT awam mulai 24 Februari sehingga 31 Mac ini bagi lepasan SPM dan 24 Februari sehingga 7 April bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM sasar tubuh kesatuan pelajar di lima universiti tahun depan

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan untuk menubuhkan kesatuan pelajar di lima universiti awam pada tahun depan, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata setakat ini kementerian menerima kerjasama dan sokongan yang sangat memberangsangkan daripada semua universiti awam bagi merealisasikan hasrat itu. 

“Kalau boleh kami nak semua universiti sama ada awam atau swasta mempunyai kesatuan pelajar mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, malam tadi.

Maszlee berkata penubuhan kesatuan pelajar di universiti dapat melatih pelajar untuk menjadi lebih matang dalam mengendalikan diri sendiri serta memberikan mereka lebih pengalaman dalam menguruskan kesatuan, kewangan dan aktiviti mahasiswa. 

“Kami harap penubuhan kesatuan pelajar yang bermula di UIAM ini akan diikuti oleh universiti lain selepas ini,” katanya. 

Maszlee berkata kesatuan pelajar UIAM merupakan ‘bayi sulung’ bagi kesatuan pelajar selepas terkubur kesatuan pelajar Universiti Malaya (UM)  lebih 40 tahun lalu. 

Sebagai penghargaan, kesatuan pelajar UIAM menerima dana RM100,000 secara one-off (bayaran sekali) daripada KPM selain turut menerima peruntukan tahunan RM170,000 dari UIAM untuk aktiviti pelajar dan operasi mereka. 

Sementara itu, Mazlee turut melancarkan ‘Buku Membaca: Motivasi dan Kaedah’ hasil tulisan Datuk Seri Prof Zaini Ujang terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). 

Buku setebal 205 halaman itu mendedahkan 1,001 rahsia dan tips berkaitan membaca selain berkongsi pelbagai teknik pembacaan termasuk kaedah luncuran dan imbasan. 

Ia dibahagikan kepada empat bahagian meliputi 10 bab yang mengupas secara terperinci mengenai Masyarakat Membaca, Persediaan Membaca, Teknik Membaca dan Epilog Membaca. 

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggabungan UMT, UniSZA wujudkan pusat rujukan global

 

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mewujudkan sinergi bagi menjadi pusat rujukan antarabangsa dalam bidang khusus dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Matlamat ini akan tercapai jika penstrukturan dilakukan dan sebuah universiti yang lebih besar dapat diwujudkan dengan profesor yang lebih banyak dan kelengkapan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas program Wacana Ilmu Dekad Membaca Kebangsaan di Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Maszlee berkata kursus yang sepatutnya menjadi ‘niche’ atau khusus dan rujukan peringkat antarabangsa di UMT dan di UniSZA tidak berlaku sekarang, umpamanya di UMT di mana kursus maritim yang disasarkan menjadi pusat sumber rujukan maritim di ASEAN dan Asia Tengah tidak berlaku kerana sibuk dengan kursus-kursus lain.

Beliau berkata pencapaian UMT berbanding universiti-universiti lain agak tidak begitu memuaskan malah menduduki tempat kedua terbawah sebelum ini dengan tahap kebolehpasaran graduan rendah.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi baru-baru ini, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA. Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 Sept lepas.

Langkah penggabungan itu bagaimanapun mendapat bantahan termasuk pelajar UMT dan UniSZA. UMT yang terletak berhampiran dengan UniSZA mempunyai kira-kira 11,000 pelajar manakala UniSZA kira-kira 12,262 pelajar.

Menurut Maszlee, ketika isu UMT dan UniSZA dibincangkan di Kabinet, Jemaah Menteri mencadangkan agar kedua-dua universiti itu disinergikan seperti yang dilakukan di Norway, Finland, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

Susulan itu, katanya Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan jawatankuasa yang terbabit dalam libat urus dengan pemegang taruh dan melihat potensi dari sudut yang pelbagai mengenai penggabungan itu untuk dibawa hasil kajian ke Kabinet dan diluluskan secara prinsip.

“Kajian awal yang dilakukan di peringkat KPM mendapati banyak unsur positif (penggabungan) cuma yang perlu diuruskan ialah pelan komunikasi, struktur serta kursus yang bertindih,” katanya.

Maszlee berkata KPM sudah membuat libat urus dengan Jepun, China dan United Kingdom, dan negara luar akan datang menjadi rakan strategik dalam melonjakkan pendidikan Malaysia apabila penggabungan itu berlaku kelak.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Buku teks program dwibahasa dibekal bermula Mac

PUTRAJAYA, 9 JAN: Pembekalan buku teks Program Dwibahasa (DLP) untuk semua sekolah yang menawarkan mata pelajaran Matematik Tingkatan 3 dan Sains Tingkatan 3 dilaksanakan mulai Mac ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata, pembekalan buku teks tersebut tidak dapat dilaksanakan pada awal sesi persekolahan ekoran perubahan untuk menambah baik sistem perolehan dan mengelakkan sistem rundingan terus sejak pertengahan 2018.

Katanya, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak terjejas, KPM mengambil langkah-langkah alternatif sementara.

“Kesemua sekolah yang menawarkan DLP dibekalkan dengan empat cakera padat yang mengandungi empat bab awal buku teks subjek berkenaan untuk digunakan semasa proses PdP,” katanya.

KPM berkata beberapa pautan di laman sesawang http://bukutekskssm.my dan http://sasbadisb.com turut disediakan bagi membolehkan guru dan murid memuat turun bahan pembelajaran DLP.

KPM turut meminta semua pentadbir sekolah menyebarluaskan maklumat berkaitan bagi memastikan guru dan murid memanfaatkan bahan-bahan yang disediakan untuk membantu proses PdP mata pelajaran tersebut.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa UM gesa pentadbiran universiti umum tarikh pilihan raya kampus

Pilihanraya kampus

SHAH ALAM, 30 OKT : Mahasiswa Universiti Malaya (UM) masih menanti tarikh Pilihan Raya Kampus 2013-2014 (PRK 2013-2014) disaat hampir semua universiti awam di negara itu membentuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) masing-masing.

Pengerusi Pro M UM, Abdul Muqit Muhammad berkata, setakat ini mereka hanya berkempen tanpa mengetahui bila tarikh penamaan calon dan pembuangan undi serta sistem pengundian PRK yang bakal digunakan.

Katanya, tarikh PRK bakal dilangsungkan hanya bergantung kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) Datuk Rohana Yusuf dan penangguhan ini menunjukkan rasa tidak yakin pihak pentadbiran.

Mengikut tarikh yang diberikan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), PRK UM sepatutnya diadakan pada 23 Oktober lalu, sama tarikh dengan hari pengundian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Keyakinan kami untuk menang cerah selepas berlaku tsunami di beberapa kampus seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kita yakin di UM juga kita mampu untuk tawan balik kampus.

“Dari sudut kampen penerimaan pelajar UM memang rata-rata menyokong kuat Pro-M,” katanya kepada TV Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang menggesa agar pihak pentadbiran Universiti Malaya mengumumkan segera tarikh pilihan raya kampus dengan segera.

“Hal Ehwal Pelajar kena umumkan segera, umumkan segera kerana para pelajar akan bercuti untuk pertengahan semester,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Pada PRK 2012-2013, Pro-M tewas kepada Pro-Aspirasi pada kerusi penentuan Majlis Tertinggi apabila calon tunggal kerusi Bebas mengambil keputusan menyokong Pro-Aspirasi sekaligus menjadikan kedudukan 22-21.

Sebelum ini, Pro-M UM mendedahkan mendedahkan wujud campur tangan Hal Ehwal Pelajar UM dan Umno dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UM.

-EZY