Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jaga hak kaum lain demi kemakmuran negeri – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 21 JAN: Menjaga hak kaum lain tanpa mengira batas agama menjadi tunjang kemakmuran dan kesejahteraan Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari.

Beliau berkata, kemakmuran negeri itu juga adalah untuk semua kaum termasuk Melayu, Cina, India, Sikh dan yang lain termasuk Orang Asal.

“Saya orang Islam tetapi saya sudah berjanji saya akan menjaga hak semua kaum tanpa mengira batas kaum dan agama.

“Oleh itu, kita rakyat Selangor jangan berpecah belah, kita mesti bersatu hati dan perhatian kita mestilah ditumpukan kepada usaha untuk melonjakkan ekonomi negeri dengan itu kita akan menjadi kuat dan negeri kita akan bertambah kaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Perasmian Sambutan Thaipusam Peringkat Negeri Selangor di Kuil Sri Subramaniyar, di sini, malam tadi.

Turut hadir, EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd Rahman dan Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan.

Amirudin berkata, beliau berbangga apabila sambutan Thaipusam di Selangor berlangsung dengan lancar sehingga ke hari ini.

Katanya, sambutan dianjurkan sejak 2008 itu memberi erti yang besar kepada rakyat Selangor khususnya masyarakat Hindu.

“Komitmen Kerajaan Negeri adalah menjamin keadilan buat semua selagi warganegara berpayung di bawah perlembagaan nasional.

“Kerajaan Negeri sentiasa berfikir untuk membantu masyarakat dan ia menjadi keutamaan, ini kerana Kerajaan Pakatan Harapan sudah belajar daripada sejarah dan tidak akan melakukan kesilapan seperti Barisan Nasional.

“Kita jamin orang Melayu, India dan Cina akan duduk seimbang serta bahagia, oleh itu marilah kita tinggalkan perkara dan sangkaan buruk,” katanya.