Categories
NASIONAL

Saham FGV melonjak susulan laksana tranformasi

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Saham FGV Holdings Bhd (FGV) di Bursa Malaysia naik pagi ini, selepas syarikat perladangan itu mengumumkan rancangan melupuskan perniagaan bukan teras dan aset bernilai RM350 juta.

Pada 10.04 pagi, saham FGV naik tiga sen kepada 85 sen dengan mencatatkan transaksi 9.54 juta saham.

Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, syarikat mengenal pasti bidang-bidang bagi kerjasama atau perkongsian pembangunan strategik dalam usaha untuk memanfaatkan kekuatan dan merapatkan jurang kapasiti, sekiranya wujud.

“Kami juga sedang menyemak semula struktur modal dan kos kewangan kami. Selain itu, kumpulan sedang melakukan penilaian terhadap saiz keperluan sumber manusia yang tepat.

“Dianggarkan FGV akan dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM150 juta pada 2019 menerusi langkah menangani ketirisan dan ketidakcekapan yang berlaku,” katanya dalam surat kepada pemegang saham yang dimaklumkan kepada Bursa Malaysia, semalam.

Katanya menerusi pelan transformasinya, FGV akan membuat pembetulan terhadap isu-isu diwarisi dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan memulihkan integriti operasi, untuk manfaat pemegang saham.

Beberapa inisiatif sedang dilaksanakan, termasuk melakukan semakan semula secara menyeluruh oleh kumpulan terhadap dasar dan amalan bagi pemerolehan.

 

– BERNAMA