Categories
AGENDA NASIONAL

Kerugian FGV punca resolusi bayaran yuran pengarah ditolak

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Keputusan menolak tiga resolusi berhubung pembayaran yuran serta manfaat pengarah FGV Holdings Bhd (FGV) dibuat berikutan prestasi syarikat itu yang mengalami kerugian RM1.08 bilion pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, Ahli Lembaga Pengarah Felda telah membuat penelitian sewajarnya ke atas resolusi yang dibentangkan dan bersetuju menolak kesemua resolusi membabitkan pembayaran yuran dan manfaat kepada ahli lembaga syarikat itu.

“Lembaga Pengarah Felda juga berpandangan bahawa yuran dan manfaat pengerusinya adalah antara yang tertinggi berbanding syarikat perladangan lain yang tersenarai.

“Melangkah ke hadapan Felda dan FGV akan terus mengadakan perbincangan dan libat urus untuk menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat, kerajaan yakin ia dapat diselesaikan dengan baik dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Datuk Hanafi Mamat yang ingin tahu punca sebenar cadangan pembayaran itu tidak diluluskan.

Pada 25 Jun lepas, pemegang saham utama FGV – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan 33.7 peratus; Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) (5.0 peratus), dan LTAT (1.25 peratus), telah menolak tiga resolusi berkaitan bayaran yuran pengarah pada mesyuarat agung tahunan (AGM) kumpulan itu.

Resolusi itu bertujuan mendapatkan kelulusan berhubung pembayaran yuran pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, bayaran yuran pengarah bagi tarikh 26 Jun 2019 sehingga AGM seterusnya dan bayaran manfaat yang boleh dibuat bagi tempoh 26 Jun 2019 sehingga AGM berikutnya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

FGV harap selesaikan penjualan Trurich penghujung September

KUALA LUMPUR, 29 MEI: FGV Holdings Bhd (FGV) berharap penjualan aset perladangannya di Indonesia, Trurich Resources Sdn Bhd (Trurich), akan selesai pada hujung September tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Beliau berkata syarikat usaha sama 50:50 dengan Lembaga Tabung Haji (TH) itu bernilai RM1 bilion, termasuk hutang.

“Terdapat tujuh pihak yang berminat dan ketika ini kami sedang dalam perbincangan dengan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan kewangan suku pertama syarikat itu, di sini hari ini.

Trurich memiliki dan menguruskan 42,000 hektar ladang kelapa sawit di Utara Kalimantan (Kaltara) dan Tengah Kalimantan (Kalteng)

Haris Fadzilah berkata tiga daripada tujuh pihak yang berminat itu menunjukkan minat untuk membeli kedua-dua ladang di Kaltara dan Kalteng, manakala empat pihak yang lain berminat untuk salah satu ladang itu.

“Kami sedang dalam rundingan. Sebaik-baiknya kami mahu menjual keseluruhan (Trurich),” katanya.

FGV dan TH dilaporkan, merancang untuk menjual Trurich bagi menambah baik kedudukan kewangan dan kedua-dua pihak telah bekerjasama dengan penasihat undang-undang untuk menilai minat pembeli yang berpotensi.

Laporan itu berkata kedua-dua FGV dan TH mungkin meletakkan nilai Trurich sebanyak US$1 bilion. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saham FGV melonjak susulan laksana tranformasi

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Saham FGV Holdings Bhd (FGV) di Bursa Malaysia naik pagi ini, selepas syarikat perladangan itu mengumumkan rancangan melupuskan perniagaan bukan teras dan aset bernilai RM350 juta.

Pada 10.04 pagi, saham FGV naik tiga sen kepada 85 sen dengan mencatatkan transaksi 9.54 juta saham.

Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, syarikat mengenal pasti bidang-bidang bagi kerjasama atau perkongsian pembangunan strategik dalam usaha untuk memanfaatkan kekuatan dan merapatkan jurang kapasiti, sekiranya wujud.

“Kami juga sedang menyemak semula struktur modal dan kos kewangan kami. Selain itu, kumpulan sedang melakukan penilaian terhadap saiz keperluan sumber manusia yang tepat.

“Dianggarkan FGV akan dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM150 juta pada 2019 menerusi langkah menangani ketirisan dan ketidakcekapan yang berlaku,” katanya dalam surat kepada pemegang saham yang dimaklumkan kepada Bursa Malaysia, semalam.

Katanya menerusi pelan transformasinya, FGV akan membuat pembetulan terhadap isu-isu diwarisi dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan memulihkan integriti operasi, untuk manfaat pemegang saham.

Beberapa inisiatif sedang dilaksanakan, termasuk melakukan semakan semula secara menyeluruh oleh kumpulan terhadap dasar dan amalan bagi pemerolehan.

 

– BERNAMA