Categories
SUKANKINI

Sasar lahir pengadil wanita menjelang tahun depan – FAS

OLEH SHEEDA FATHIL

PUNCAK ALAM, 6 JAN : Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bercadang mahu melahirkan pengadil wanita menjelang tahun depan.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya sedang merangka beberapa garis panduan bertujuan mempromosikan bidang pengadilan kepada golongan wanita.

“Jika kita lihat di negara luar, golongan wanita aktif membabitkan diri selaku pengadil dalam sukan bola sepak namun di Malaysia agak kurang.

“Oleh itu, FAS komited untuk menggalakkan lebih ramai wanita berkecimpung dalam kerjaya selaku pengadil,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengadil dan Penilai Pengadil FAS 2019, di Kompleks Akademi Bola Sepak Merah Kuning di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Johan berkata, terdapat banyak liga dalam FAS daripada peringkat akar umbi sehingga veteran.

“Latihan kecergasan akan diadakan kepada calon pengadil wanita, manakala pelaksanaan untuk meletakkan mereka dalam mana-mana liga dilakukan secara berperingkat.

“Mungkin untuk permulaan kita akan letakkan mereka dalam perlawanan bola sepak kanak-kanak seperti bawah 12 tahun dan seterusnya,” katanya.